Isnin, 26 Januari 2015

rezeki di tangan Tuhan...

Rezeki di tangan Tuhan....



Siapa tahu apa yang bakal mendatangi kita dalam kehidupan ini selainNya. Ada yang sangka permulaan sebuah kejayaan berterusan tetapi pengakhirannya satu kegagalan. Siapa sangka pula dari seorang yang tak ada apa-apa kemudian memiliki kesenangan hidup.

Adakalanya bila rasa dunia seakan tidak adil terhadap kita, kita abaikan orang-orang disekeliling kita. Kita berterusan mengeluh dengan nasib diri dan melihat kejayaan atau perjalanan   hidup   orang lain lebih beruntung dari kita sedangkan hakikatnya ada di antara mereka yang terlebih dahulu menderita, yang terlebih dahulu keseorangan...hanya mengharap doa dan hasil yang tidak seberapa sebagai pencetus semangat dan harapan cecita.





...aku tidak kesal deman sendirian, menangis sendirian dan bergelut dengan waktu ketika mula menapak dalam kerjaya. Walaupun aku punya 3 orang adik-beradik yang lebih tua. Mereka juga sedang menjalani ujian masing-masing. Aku juga terinspirasi dengan adik bongsu ku yang agak berani berdikari setelah kehilangan arwah abah 15 tahun dahulu. Aku sandarkan padaNya pengharapan agar aku tidak lagi mensia-siakan hidupku mengejar angan-angan dan dongengan. Hentikan segala mimpi yang melekakan. Sebagai seorang gadis ketika itu cabaran dan risiko ku redah dan tawakal kepadaNya. Aku bukan sempurna,pernah kilaf,memilih jalan salah,jatuh dan bangun dan jatuh semula. Sedihnya aku melihat segelintir anak-anak muda yang cerewet dalam pekerjaan walaupun rezeki halal di depan mata sedangkan keluarga pula memerlukan bantuan tambahan. 'Tidak minat' menjadi alasan sedangkan diri berkebolehan. Sanggup goyang kaki semata-mata menunggu kerjaya impian yang belum tentu milik kita. Mengelak dari belajar sesuatu yang baru walaupun ringkas kerana tidak merasakan ia satu keperluan. Mengeluh nasib diri tanpa rasa syukur dan berusaha meningkatkan kehidupan sendiri.


Zaman gelap

Aku sendiri punya cita-cita,  dan impian itu tidak sepenuhnya tertunai sehingga hari ini namun itu tidak menghalang aku untuk mencari pekerjaan untuk menampung hidupku sendiri ketika awal kedewasaanku. Di awal 'cari makan' dalam keadaan bermodal RM100 dan tidak berkenderaan aku pernah tidur di kedai basikal tempat aku merantau seketika di negara jiran bersendirian kerana tawaran bekerjasama atas pengalamanku di bidang sukan, kerana takut kelewatan dan jimat belanja aku tidur di premis kedai 'bos'. Aku pernah berbasikal di lebuhraya dari Sg. Besi ke Damansara yang penuh dengan kenderaan laju kerana mengelak kesesakkan  lalu lintas dan masalah pengangkutan awam dan hampir 'disapu' kenderaan laju, pernah diherdek pengawal keselamatan yang memarahi aku kerana membawa basikal masuk lif pekerja hotel (bukan lif tetamu tau)tempat aku pernah bekerja sebagai 'house keeping' di hotel 4 bintang(sehingga aku terpaksa mendaki parking tempat letak kenderaan), pernah berjalan kaki dari stesen bas Klang pulang ke rumah (lebih kurang 3-4km)kerana tiada tambang ketika mula-mula bekerja di sebuah kolej, naik berbas-bas sehari, lenguh berdiri 44km di dalam bas mengejar kerja sambilan, tidur di surau pejabat kerana tugas lebih masa...bla bla dan bla...panjang rasanya senarai...adakalanya penat ketika perjalanan lebih menyiksakan dari bekerja di tempat tugas itu sendiri...pernah lebih 2 tahun berbasikal berhujan dan berpanas malah menempuh risiko apabila pulang lewat malam dan meredah awal pagi kerana tugas khas, sebelum mampu membeli skuter ketika Allah memberi aku rezeki dan diterima kerja di daerahku sendiri dan perbagai lagi pengalaman sebelum stabil....memang aku ada saudara mara yang mungkin boleh membantu dari segi kewangan tetapi ia adalah perkara yang terakhir jika terdesak dan kecemasan untuk aku pertimbangkan kerana mereka juga punya keluarga dan masalah masing-masing. Secara luaran mungkin nampak berkemampuan tetapi hakikatnya mereka mempunyai pelbagai tanggungan dan tanggungjawab. Selagi boleh berusaha maka kesukaran itu adalah biasa. Rasanya ramai juga antara kita yang pernah melalui zaman 'gelap' ni...Cuma yang sedih melihat anak-anak muda yang adakalanya pelajaran 'zero' tapi memilih kerja, kalau berbasikal bukan mtb@motosikal ribu riban mula rasa malu...walaupun segala bantuan permulaan kerja seperti duit makan,lesen memandu dan kemudahan motorsikal tersedia, hanya sekejap sahaja kekalnya di tempat kerja.  Permintaan pula bermacam-macam tetapi hasil mengecewakan. Alasan gaji kecil,jika sedemikian memadai cari kerja di tempat berdekatan. Jika gaji yang kecil itu dimanfaatkan dengan baik Insya'Allah  ada keringanan untuk kita dan keluarga sementara  mengintai peluang lain. Menoleh seketika dibelakang, aku seakan tidak percaya perjalanan yang aku lalui dan aku tidak pernah sekali-sekala menyalahkan sesiapa malah kini aku berasa lega dengan sifat berdikariku ketika itu. Aku hanya mulai memiliki lesen di  usia 20an setelah berhempas pulas 'overtime'. Zaman aku dulu lesen memandu+motosikal berharga rm450. Mungkin ketika ini, jumlah tersebut   dianggap murah, tetapi bayangkan dengan gaji permulaan rm583 ketika itu. Bukan mudah juga kan nak menyimpan? Alhamdullillah  berjaya juga aku memperolehi  lesen memandu menggunakan wang kocekku sendiri dan dipermudahkanNya.  Teringin juga nak jadi askar tetapi mata pula rabun....

Walaupun  tidak berpelajaran tinggi,aku sentiasa mengintai kursus-kursus jangka pendek demi membuka lebih banyak peluang dan pengetahuan terutamanya di zaman 'bujang' . Disamping bekerja, Aku turut menyimpan wang dari gaji yang tak seberapa ketika itu untuk menimba ilmu. Aku pernah menduduki  kursus asas perniagaan MARA, kursus tiket kapal terbang....kursus bahasa Inggeris..masakkan dan sebagainya adakalanya yang tak ada kena mengena dengan minat....nampak remeh dan lucu tetapi itulah pengisian yang bermakna, kot-kot jika ada peluang yang lebih baik untuk melangkah lebih jauh selain mencari 'diri'.

antara sijil kursus yang disertai

Pelbagai temuduga : kerjaya impian zaman remaja


Sepanjang tempoh kerjayaku yang belum stabil aku sentiasa mengintai  peluang terhadap siri temuduga pekerjaan  yang dirasakan sesuai dengan tahap akademikku. Sehinggalah aku bekerja di PBT aku masih rajinkan diri menyertai  siri temuduga kerana ketika itu masih berjawatan kontrak. Aku belum rasa terjamin ketika itu. Segala pekerjaan yang meliputi ruang lingkup SPM aku cuba biarpun adakalanya ia nampak terlalu 'gah' untuk aku. Aku juga beranikan diri menyertai temuduga pramugari baik Air Asia...MAS mahupun Singapore Airlines kerana merasakan untuk tahap SPM disitulah gaji paling besar aku boleh dapat. Rasa keldil diri ini bila ditemuduga dikalangan ribuan wanita cantik yang dah macam supermodel  dan ratu cantik. Seperti diduga,memang sukar nak lepas peringkat ke 2 temuduga tu....hehehe tapi makin lama makin seronok nak pergi setiap kali ada temuduga berkaitan. Aku mula mencabar diri untuk melihat sejauh mana aku mampu bawa diri dalam temuduga jawatan 'berkaraktor metropolis' ni walaupun tak dinafikan harapan ku tidaklah terlalu menggunung. Lantas aku jadikan siri temuduga pramugari ni sebagai latihan  mengasah 'skill' komunikasi dan yakin diri sehinggalah aku berjaya tergolong dalam kelompok peringkat akhir pemilihan temuduga awal bersama Singapore  Airlines di Hotel Nikko. Rasa bagai satu pencapaian bila jadi top 25! hehehe. Faktor kegagalan aku pada peringkat akhir adalah komunikasi dalam pergaulan. Aku memang 'lambat panas' dalam bersosial ketika itu dan sifat pemalu bukanlah tiket untuk kerjaya sedemikian. Diri perlu pantas menyerap karektor dalam apa jua situasi.  Itulah kali terakhir  aku menyertai temuduga-temuduga pramugari. Bukan kerana serik, tetapi kerana aku mula kenal diriku. Pencapaian 'tertinggi' peribadi dalam temuduga itu cukup memberi kesan terhadap diriku. Apabila semakin matang juga aku mula sedar pramugari bukanlah kerjaya impian sebenarku...ia merupakan sebahagian episod sebahagian besar angan-angan gadis bak 'princess-princess'...tak dapat nak aku jelaskan di sini tetapi aku percaya ada wanita di luar sana yang memahami maksudku....apapun dongengan ini telah berakhir dan aku 'terus move on' untuk sesuatu yang lebih rialistik...

Kerja sambilan:

Jadi 'retis'...

Zaman bujang memang 'langkah panjang'... pelbagai 'genre' bidang berani ku cuba. Konon nak taraf hidup lebih baik....@bahasa jujurnyer nak jadi kaya. Kebetulan di suratkhabar  ada tawaran menyertai iklan. Itupun aku cuba...sudahlah lokasi castingnya sangat asing bagiku...tapi ia tak jadi alasan. Macam biasa untuk temuduga Aku telefon pihak terbabit bertanyakan alamat casting....naik bas ke lokasi terdekat dan kemudian serah lokasi pencarian pada teksi. Aku tak mahu menyusahkan adik beradik untuk hantar aku 'merata-rata'. Apapun dalam hal begini sebagai seorang wanita perlu ada tambahan hati-hati dan jangan terlalu 'excited' bimbang menjadi mangsa sendikit dan sebagainya. Perlu siasat tawaran dan pastikan kewujudannya. Pernah juga aku terjebak dengan iklan nak cari model. Rupa-rupanya iklan 'peribadi', iklan nak cari 'awek'. Aku hampir membuat kesilapan  paling besar dalam hidup namun Allah Maha Pengasih. Menunjukkan  aku jalan ysng lurus dan kembali kepada dunia rialiti.

100 women for sunsilk

Iklan shampoo
Pengalaman lalu tidak menamatkan ke'beranian'ku menceburi bidang pengiklanan. Kali ini aku lebih matang dan berhati-hati dengan iklan yang ditawarkan di dalam suratkhabar. Walaupun aku bukan supermodel berjaya juga aku sebagai pelakon tambahan bagi iklan Sunsilk. Kami diberi sagunati RM500. Pengambaran sehari sahaja di KLIA tetapi perlu lapor diri untuk 3 hari 2 malam di sebuah hotel di KL untuk pilih baju dan info.

Rentetan dari penyertaan tersebut, syarikat pengiklanan menawarkan kerja sampingan mempromosi barang pelanggan mereka di pasaraya. Walaupun bukan jadi pelakon tv...ala2 sales jer (promo barang secara 'live')tetapi bayarannya berbaloi dengan penat lelah kita. Cuma kenderaan ketika itu menjadi punca utama kesukaranku melangkah lebih jauh dalam bidang pengiklanan ini menyebabkan aku terpaksa menolak tawaran ke dua dalam mempromosi barangan pelanggan agensi pengiklanan tersebut. 

Aku juga masih melakukan kerja sambilan di hotel sebagai housekeeping biarpun telah diterima bekerja di PBT ketika awal penglibatanku. Akhirnya  aku tinggalkan terus pekerjaan di hotel tersebut setelah mendapati komitmen  lebih masa perlu ditumpukan pada tugas hakiki ku.


Inspirasi dalam perkenalan singkat:

'Seorang makcik bertaraf penduduk tetap di tempat kerjaku hanya seorang pengemas pejabat dan pencuci tandas di pelbagai tempat sejak 30tahun lalu, tetapi berkat kerja keras, beliau berjaya menyara anaknya hingga ke Universiti.'

Rezeki di tangan Tuhan...


Tumpuan  sebenar...

Akhirnya  setelah 5 tahun berjawatan kontrak  akhirnya aku berjaya memperolehi jawatan tetap setelah mengharungi pelbagai siri peperiksaan dan kursus berkaitan. Aku ambil keputusan untuk fokus dengan kerjaya sedia ada. Umurpun makin meningkat. Masa yang pergi tidak mungkin dikembalikan. Walaupun gaji kecil tetapi banyak godaan bila dan menjawat jawatan separa kerajaan ni. Godaan pinjaman...koperasi dan pelbagai tawaran kredit. Silap haribulan kalau salah percaturan boleh bankrup jadinya. Aku sendiri membuat kesilapan ini. Setelah berjaya mendapat kelulusan kad kredit,laju saja 'duit' keluar tanpa disedari malah aku mendapat  kelulusan permohonan kad kredit ke 2. Konon nak 'buat cover' dan penggunaan minyak kenderaan tetapi sifat cermat itu tak bertahan lama. Ada sahaja keinginan yang tak perlu. Ada kecemasan sikit laju saja kad kredit ku calit akibatnya 'tutup lubang gali lubang'.


Tujuan pinjaman

  Kesimpulannya, bila kita rasa macam tak punya apa-apa; jangan mudah putus harap dan memilih jalan mudah dengan membuat pinjaman bank yang sia-sia. Terutamanya kakitangan kerajaan yang mudah mendapat kelulusan dan dijadikan sasaran. Tidak salah meminjam cuma kita harus membuat perancangan yang bijak kerana tanggungan dan komitmen jangka panjang. Apabila pendapatan tetap meningkat usah bazirkan duit pinjaman yang dipohon kepada sesuatu yang berteraskan hiburan semata-mata tanpa mendatangkan hasil kebaikkan atau manfaat di kemudian hari. Sabar kerana kesenangan tidak hadir sekelip mata. Rugi kita menanggung beban bertahun-tahun hanya untuk menikmati kemewahan sementara. Mujur ketika kali pertama memperolehi pinjaman peribadi (hanya lepas rm10 ribu), aku 'pejam mata' menambak tapak tanah pusaka. Tapak tanak tersebut agak rendah dan berpaya. Konon nak bina rumah kecil sebesar bilik hotel, tetapi tak berjaya. Namun aku 'bela' jet tapak tu berdikit-dikit.


Rumah pertama.....

Belum wujud : Tiada skim rumah pertamaku...tiada brim...

Seperti diriku sendiri ketika usia muda memang tak terlintas di fikiran akan berjaya membina rumahku sendiri. Impian itu sentiasa ada tetapi rasa sangat mustahil dengan gaji yang rendah ketika itu. Genap 4 tahun kerja bergred N17 (gaji asas tak sampaipun 800 ketika itu)aku berhasil membeli sebuah rumah kos rendah(bulanan lebih kurang rm300) biarpun baki gaji cukup-cukup makan untuk kenderaan,belanja dapur... Aku tekad untuk memiliki rumah sendiri ketika itu kerana merasakan tidak mampu nak kumpul duit untuk membina rumah walaupun arwah abah tinggalkan tapak rumah untuk kami adik beradik. Kakak ku pernah juga mohon rumah dengan pusat zakat ketika itu tetapi tidak berjaya walaupun ketika itu kami adik beradik masing-masing kesempitan. Mak memang ada pencen....ketika itu nilai pencen mak hanya rm300 lebih. Dengan wang itu jugalah kami gunakan untuk perubatan mak dan perkara yang berkaitan. Ketika memohon bantuan pejabat  daerah pula mereka mengatakan kami tidak layak dan bukan asnaf. Takpelah kami redha. Walaupun kami hanya mengharapkan sebuah rumah kecil kerana kediaman kami ketika itu teruk dimamah anai-anai mungkin...ramai lagi insan yang lebih sukar ketika itu.
Selepas beberapa ketika aku tekad untuk beli kereta. Ada kereta ni nampak macam senang tapi komitmen dan keperluannya juga perlukan 'rm', dengan gaji yang ngam2 nampak macam giler jer...namun  bukan niatku untuk hiburan@bangga diri tetapi keranakeperluan membawa emak setiap bulan ke hospital untuk rawatan. Ketika itu adik telah memiliki  kereta kancil...namun tak adil rasanya menyerahkan bulat2 perkara itu kepada beliau. Bila aku dah ada kereta dapatlah kami bergilir-gilir  cuti untuk rawatan mak. Kerja masing-masingpun tak terjejas. Yang penting jangan sampai berbelanja melebihi pendapatan sehingga menyusahkan orang disekeliling kita dengan alasan kesukaran kita. Alhamdullillah  apabila ku toleh 'zaman' yang berlalu,pendapatan  yang kecil penuh keberkatan bila kita membuat jasa kepada orang tua kita...walaupun cukup2 makan tak pernah pula aku 'miss' bayaran bulanan kereta mahupun penyelenggaraan. Hati mula sebak...kerana tak seberapa berbakti pada arwah abah...malah 'jasa' untuk makpun memang tak terbalas walaupun mak mengidap penyakit 'kejiwaan' sejak aku berusia 5 tahun. Kesakitan mak melahirkan kami adalah pengorbanan tak tertanding.  ...hanya doa dan amal jariah yang dapat ku teruskan untukmu abah yang tabah memelihara kami dan setia menerima ujianNya disamping kekurangan emak...moga diterimaNya sebagai bekalanmu...moga di kantung syurga dirimu sementara menunggu akhirat yang nyata...moga tidak dihisaf dirimu dan di tempatkan Dia terus ke syurga firdausi... jangan dipersalahkan ibu bapa andai kita tidak dibesarkan dengan sempurna. Mungkin ketika itu, itulah yang terbaik dapat mereka lakukan...benar memang kehidupan silam memberi kesan terhadap anak-anak tetapi apabila kita dewasa dan 'berakal' maka kita perlu mencorakkan diri kita agar menjadi lebih baik.

Teratak molek

Kerana keinginan tinggal di 'landed house', Alhamdullillah  selepas lapan tahun bekerja aku berhasil meminjam wang di bank bagi membina sebuah rumah yang comel setelah berjawatan tetap. Rezeki jodoh bersama suami urusan pinjamanku dipermudahkanNya. Dapat sahaja duit kwsp dari jawatan kontrak yang ditinggalkan aku pantas menutup segala hutang piutang dan kad kredit yang kini pupus dalam kehidupanku. Sesenpun tak dapat nak 'berpoya-poya' tetapi beban yang digalas akibat perancangan yang lemah sebelum ini telah berjaya ku hapuskan. Alhamdullillah, lega sangat. Aku juga bersyukur dan percaya Allah menambah keberkatan dari rezeki jodoh bersama suami meluaskan kesempitan yang ada kerana 'keselesaan' yang kumiliki hari ini (walaupun tak mewah) bukanlah kerana aku seorang. Kehadiran seorang suami menambah fokus diriku terhadap perkara-perkara yang lebih penting. Sekarang aku cuma ada hutang asas sahaja iaitu hutang peribadi yang digunakan ketika membina  rumah dan bayaran kereta, memadailah dengan pendapatanku yang  sederhana  ini. Walaupun baki gaji seadanya kerana komitmen  bulanan sekurang-kurangnya kemudahan asas telah dipenuhi dan kehadiran seorang suami yang sangat bertanggungjawab  serta penyayang mendayakan semua ini. Susah senang kini kami lalui bersama. Sentiasa berbincang dalam kebanyakkan hal. Bertambah semangat diri... Insya'Allah .

'Famili'

Dalam entri ini bukan niatku untuk menulis tentang kejayaanku yang tak seberapa dalam mengharungi semua ini, aku masih melalui pelbagai ujian lain sebagaimana kalian. Aku juga masih insan biasa berpendapatan biasa...banyak juga kesilapan yang pernah aku lakukan sepanjang perjalanan itu. Apa-apa juga boleh terjadi di masa hadapan   dengan   ketentuanNya. Jika ada yang masih tak terkesan kerana belum membuat kesilapan sedemikian, belajarlah dari kesilapan dan perjalanan orang lain. Agama perlu dijadikan panduan utama. Setiap kali kilaf jangan berputus asa untuk bertaubat dan memperbaiki diri walau sebesar manapun dosa yang kita rasakan. Berjuang untuk melalui jalan yang lurus. Semoga hidup kalian akan berjaya setidak-tidaknya mampu berdikari dan membina kehidupan untuk diri serta serba sedikit sumbangan untuk ibu bapa tercinta agar mendapat keberkataNya. Sekecil manapun gaji kita jangan sekali-sekala kedekut dengan ibu bapa, hidup ini bukan untuk diri sendiri semata-mata. Ada hak orang lain dalam pendapatan kita maka tunaikanlah zakat . Selain itu restu dan doa ibu bapa akan meluaskan hidup yang dirasakan sempit. Selagi mereka bernyawa, mereka adalah punca disebalik kejayaan kita. Jangan sekali-sekali membelakangkan mereka. Jika sikit yang kita perolehi bertambah sempit kocek kita sebenarnya jika kita berkira dengan orang tua kita/suami/isteri. Begitu jugalah sebaliknya semakin luas rezki kita andai memberi dan berbelanja ke jalan yang betul. Istiqomahlah dalam menyimpan biarpun hanya rm10 sebulan.

Info  grafik  :  sumber  perkongsian  FB  

Tiada ulasan: