Jumaat, 29 Mac 2013

Cerpenku : mencari ketenangan


Aidah menarik nafas dalam-dalam, pemergian arwah suaminya benar-benar memberi tamparan yang hebat dalam hidupnya. Perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta malah bukan juga atas pilihan keluarga tetapi desakkan keluarga yang kurang senang dengan keakraban mereka sejak di bangku sekolah. Aidah dan arwah suaminya sebenarnya sahabat karib yang gemar bersosial dan hidup bebas.Apabila mereka sama-sama ke luar negeri melanjutkan pelajaran, ketika itulah keluarga mendesak agar mereka bersatu. Akhirnya mereka bersetuju tetapi mereka telah menjadikan tiket perkahwinan itu sebagai jalan untuk mereka lebih bebas lagi. Oleh kerana suaminya orang berada, segala urusan diuruskan arwah suaminya.
Aidah diberi kebebasan dalam pergaulan malah kehidupan mereka yang agak kebaratan itu menjadi kebanggaan mereka dan tidak pula ditegur ibu bapa mereka.


Kini Aidah menjadi balu tanpa kasih sayang suami yang selama ini lebih sebagai sahabat karib. Entah kenapa,  kebebasannya selama ini dirasakan semakin terbatas sedangkan kini segala keputusan terletak di tangan Aidah sendiri.
Hari demi hari jiwa Aidah terasa kosong, keseronokkan yang dikecapinya selama ini seakan-akan telah tamat tempoh.
'Sunyinya hati ini bagai hidup sendirian walaupun di tengah-tengah kesibukkan kota dan kemeriahan malam ditemani gelak tawa rakan- rakan...adakah aku terlalu merindui arwah sedangkan aku hanya menangis ketika hari pertama pemergiannya?', sayu hati Aidah tatkala menjamu mata bersama-sama rakan-rakan sekerja di ambang tahun baru itu.
'Eh, why U muka so sedih nie? U misses you're hubby yek?' Karim merangkul bahu Aidah untuk menyatakan keperihatinannya. Diusapnya anak rambut Aidah yang hitam melekat.
Aidah menepis lembut perbuatan Karim.Walaupun sebelum ini ia satu kebiasaan, namun malam itu Aidah berasa janggal dengan perbuatan Karim. Keperihatinan Karim gagal mengisi satu ruang kosong yang ada dibenak hati Aidah.
'Maaf...I..tak sihat, I nak balik...' Ringkas jawapan Aidah lantas meninggalkan rakan-rakannya yang masih dibuai keseronokkan menanti percikkan bunga api di KLCC.

  
Ketika Aidah menuju ke arah keretanya, tiba-tiba tubuh Aidah tersungkur di lantai jalan. Lenganya terasa amat perit akibat sentapan yang kuat. Kemeriahan orang ramai seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku pada Aidah. Aidah cuba bangun namun pandangannya kabur dan pengsan di situ juga.
'Alhamdullillah puan dah sedar', seorang jururawat membetulkan wayar-wayar tiup yang terhimpit di lengan Aidah.
'Macam mana saya boleh berada di sini?' Aidah kebingungan.
'Awak kena ragut Aidah', satu suara yang agak dikenali Aidah menerjah ke corong telinganya.
'Su...Suhaila? Bila kau balik, macam mana kau ada kat sini? Aidah terkejut melihat kelibat Suhaila yang sedang duduk di sebelah katilnya. Sudah lama Aidah tidak bertemu dengan Suhaila sejak Suhaila ke Australia 2 tahun lalu.
Suhaila tersenyum sambil memegang erat tangan Aidah. Airmatanya bergenang.
'Orang ramai jumpa kau pengsan kat KLCC dan bawa kau ke mari, jangan risau peragut tu dah kena cekup. Kebetulan ada 2 orang polis lalu kat situ, lunyai jugak orang ramai belasah peragut tu...'
Aidah menarik nafas lega dan bersyukur kerana terselamat. Masih ada lagi orang-orang yang mulia membantunya.
'Kebetulan aku kat hospital nie boleh aku temankan kau, akupun tak ada siapa lagi kat dunia nie', jawab Suhaila.
'ISH! Jangan cakap macam tu, walaupun kau yatim piatu, kau masih boleh bekeluarga...mustahil gadis cantik macam kau tak ada peminat! Kau tak 'tackle' ke pakwe mat salleh kat Australia tu? Usik Aidah.
Suhaila hanya tersenyum, digenggamnya erat jari jemari Aidah.
'Kenapa naluri aku merasakan kesedihan yang sarat dalam diri kau Aidah?' Soal Suhaila bersahaja sambil memandang tepat wajah Aidah yang seolah-olah kehilangan seri itu.
Mendengar soalan Suhaila, airmata Aidah tertumpah tanpa sempadan. Aidah menekup mulutnya dengan sebelah tangannya menahan sendu sendan yang menjadi beban hatinya. Suhaila hanya membisu membiarkan Aidah menangis sepuas-puas hatinya.
'Aku telah kehilangan sahabat karib yang aku sayangi tetapi tidak sempat menyanyanginya sebagai seorang suami yang sepatutnya memiliki aku sebagai isterinya...
.....Aku tidak pernah menangisi pemergiannya sehinggalah sejak akhir-akhir ini aku rasa terlalu kekosongan dan aku gagal mengisi kekosongan ini dengan segala apa yang aku penuhi dalam hidupku...
....Aku berasa sangat sedih dengan kehidupanku sendiri sehingga pada hari ini aku tak dapat merasakan kegembiraan yang  ada disekelilingku, ketenangan tiada dalam hatiku...'Aidah menahan sebak.
'Kau terlalu berusaha mencari kebahagiaan sedangkan kebahagiaan itu ada padaNya, kau hanya perlu mendekatiNya maka Dia akan dekat padamu', Suhaila memberikah kata-kata pendorong.

Entri pic 2015

'Kau tak faham Su...hidup aku penuh dosa...aku pernah...' Kata - kata Aidah terhenti apabila Suhaila meletakkan jejarinya lembut di bibir Aidah.
Segala apa yang kau kerjakan biarlah Allah yang menilaikan, pengakuanmu jadikanlah satu keinsafan, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang'. Terang Suhaila.
'Mudah kau ungkapkan, apakah dosa aku yang berpuluh tahun ini akan terampun dengan usiaku yang semakin sikit? Lebih baik aku teruskan dengan cara aku sendiri, lainlah macam kau bertudung litup,  dosa kau tak terkejar dengan dosa aku nie, aku cemburu dengan kau, walaupun kau belajar di negara asing jatidiri dan pegangan kau masih kuat,...'Aidah berputus asa dengan dirinya sendiri.
Suhaila menggeleng-gelengkan kepalanya dan mula membuka ceriteranya sendiri....
'Ajal maut, dosa pahala bukan kerja kita untuk menilai, tak terlambat taubat kita selagi nafas dikandung badan, aku sendiri pernah lalai, leka malah pernah mencemuh kewajipan yang Allah perintahkan, tapi aku diberi peluang dan hidayahNya, selama ini aku layari internet untuk perkara yang sia-sia sehinggalah aku terbaca kisah gadis berketurunan Arab di London. Gadis ini berusaha menegakkan perintah Allah untuk memakai hijab tetapi dihalang untuk mendapat pendidikkan disekolah, lebih 2 tahun gadis tersebut bergelut di mahkamah dan menerima pelbagai kecaman malah dipulaukan rakan-rakan sebaya, sedangkan di negara kita sendiri tidak ada sebarang halanganpun tetapi kita lalai. Aku kecewa dengan diri aku kerana hanya tersedar apabila melihat kesukaran orang lain... Aku bertaubat dan berdoa agar aku  diberi keampunan dan ditetapkan pendirian walaupun bayang-bayang dosa memburu setiap langkahku. Aku tak tahu adakah perbuatan ku selama itu terampun, namun aku yakin kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya. Airmataku mengalir setiap kali memohon keampunanNya sehingga aku dapat merasakan satu ketenangan yang tidak tergambar oleh kata-kata. Aku juga berdoa agar berpeluang untuk berdakwah walau ketika saat nyawa dihujung tanduk'.
'Maksud kau dengan berhijab, dosa-dosa aku akan terampun? Kebahagiaan, syurga akan menjadi jaminan buat aku?' Aidah memalingkan wajahnya ke sebuah katil di sebelahnya. Seorang wanita terbaring bersama tabung oksigen dan tidak sedarkan diri.
'Maksud aku...kita perlu dekatkan diri padaNya, rasakan kehadiranNya dalam hati...insya Allah segala yang dirasakan satu 'keberatan' akan berubah kepada satu keringanan.Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang', lembut Suhaila menyusun kata-kata dengan harapan sahabatnya itu akan mengerti apa yang cuba disampaikannya.
Airmata Aidah tumpah lagi. Aidah mengerti apa yang Suhaila cuba sampaikan, cuma Aidah sukar menerima kenyataan itu. Selama ini keegoan menjadi perisai untuk dia mendekatiNya. Hari ini tembok keegoan Aidah runtuh tatkala hati tersentuh dengan dorongan Suhaila.
'Aku takut sekiranya Allah tidak menerima aku...' Suara Aidah terketar- ketar, dadanya sebak menahan degupan jantungnya yang dirasakan kian laju.
'Takut pada Allah lebih baik kerana itu tandanya masih ada iman di dalam hati, berusahalah untuk mendekatiNya Insya Allah akan sentiasa ada sinar di setelah melalui kegelapan...' Suhaila melepaskan jari jemari Aidah. Mata Aidah semakin layu dek rasa pening yang tiba-tiba menghambat kepalanya.
'Puan..puan o.k? Seorang doktor menghampiri Aidah yang cuba bangun dari perbaringanya.
'Su...Suhaila mana, mana perempuan yang menemani saya malam tadi?' Anak mata Aidah liar mencari Suhaila.
'Tidak ada siapa yang menemani puan malam tadi kecuali jururawat yang bertugas, puan tidak sedarkan diri sejak semalam', jelas Doktor Amran sambil menenangkan Aidah.
'Malam tadi saya sedar doktor, saya berbual agak lama dengan Suhaila...dia memang menemani saya di sini', Aidah cuba meyakinkan Doktor Amran.
'Puan maksudkan Suhaila Abdullah?' Seorang jururawat mencelah. Aidah pantas mengangguk kepalanya.
Jururawat dan Doktor Amran berpandangan antara satu sama lain, seakan-akan ada kisah lain di sebalik persoalan Aidah.
Pandangan jururawat itu beralih kepada katil kosong disebelah Aidah.'Sudah sebulan arwah di sini dan sejak seminggu lalu arwah koma, arwah hanya tersedar beberapa minit sebelum menghembuskan nafas yang terakhir subuh tadi. Kami tak dapat menghubungi saudara maranya kerana dia...' Kata-kata jururawat itu terhenti apabila Aidah membuka mulutnya.
'Yatim piatu.....' Aidah bersuara perlahan. Airmata Aidah mula bertakung dibirai matanya.
'Awak kenal dia?' Soal Doktor Amran.
Aidah mengangguk. 'Dia sahabat saya,
dunia akhirat...' Aidah mengesat airmatanya yang hampir tumpah.
'Kalau begitu...saya serahkan amanah ini pada awak, arwah ada pesan untuk serahkan bungkusan ini sekiranya ada sahabat dia yang datang...' jururawat tersebut menyerahkan bungkusan itu kepada Aidah.
Dalam bungkusan itu terlipat rapi telekung bersulam biru bersama kitab tafsir Al-Quran, terdapat sebuah buku bertajuk ' Jangan Bersedih' diantara telekung dan tafsir tadi.
Airmata Aidah tak terbendung lagi, apakah perbualanya dengan Suhaila malam tadi hanya satu ilusi? Adakah malam tadi merupakan dakwah terakhir Suhaila atau....? Terlalu banyak persoalan yang berpusu-pusu masuk ke kotak fikirannya.
Sebak menujah ke dalam hati... perasaan Aidah bercampur baur,
Aidah mahu sujud kehadratNya, memohon keampuanan bagi dirinya dan arwah suaminya, Aidah ingin mendekatiNya, Aidah ingin merasai kehadiranNya yang selama ini diabaikan dan Aidah telah menemui jawapan yang dicari selama ini kerana...
....hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang....

1 ulasan:

teratak molek berkata...

Saya tidak mempunyai apa2 pendidikkan formal dalam penulisan selepas SPM sekadar cetusan minda sebagai pembacaan bersama.