Sabtu, 19 Disember 2015

Terkadang aku juga terlupa : apabila yang kurang itu 'lebih' dan yang lebih itu 'kurang'....




Hidup berpasangan dan bekeluarga adalah salah satu nikmat rezeki dariNya. Dalam kehidupan perlu ada kerjasama demi melancarkan sesuatu urusan. Adakalanya juga kelelahan/keletihan di tempat kerja menjejaskan urusan lain di rumah, maka dengan itu aku percaya manusia diberi akal olehNya merencanakan gaya hidup atau aturan kerja. Maka dengan itu tercetuslah istilah 'cuti' demi masa yang lebih berkualiti bersama keluarga dalam memenuhi tuntutan peribadi. Kenyataan agar tidak melibatkan hal peribadi dalam kerja sebenarnya perlu dilihat dari sudut yang lebih dalam tanpa had kerana hakikatnya kehidupan peribadi yang 'sadis' mampu menjejaskan kerjaya manakala kehidupan peribadi yang bahagia mampu memberikan kejayaan dalam melaksanakan tugas. Sebagaimana kita dilarang 'mencuri' masa dalam kerja begitulah sebaliknya yang kita harapkan agar masa senggang kita tidak 'dicuri' atau dipergunakan untuk perkara sebaliknya. Kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi inilah yang sebenarnya mampu mewujudkan istilah modal insan yang lebih cemerlang. Institusi keluarga akan lebih kukuh dan nilai-nilai murni mampu berkembang dengan indah. Percaya  atau tidak ia mampu memberi kesan terhadap gaya hidup masyarakat malah mencerminkan keperibadian sesebuah negara.

Tuntutan dan keperluan hidup semakin mencabar.... dalam kehidupan berkeluarga mahupun berpasangan selain kerjasama juga kita perlu saling memahami dan cuba menyelami peranan dan kerjaya masing-masing. Tekanan hidup semakin tinggi dan kita harus menanganinya dengan bijaksana. Setiap kali merasa letih setelah melalui fasa-fasa tertentu jangan mudah merungut dan membandingkan peranan insan lain dalam keluarga kita dengan terburu-buru. Sebelum 'menghukum' insan lain di atas 'kelelahan' yang kita alami (tugas atau sumbangan kita) lihat terlebih dahulu 'sumbangan' dan apa yang dilalui oleh pasangan atau ahli keluarga  yang lain, kesukaran dan 'kelelahan' mereka sendiri dari sudut kerjaya mahupun 'sumbangan' dalam peranan lain secara peribadi baik fizikal atau selainnya. Adakalanya  kita mengadu perihal keletihan  kita sesama mereka yang juga ada 'keletihan' mereka sendiri seolah-olah hanya kita yang buat lebih...kita buat itu dan ini. Kita merasakan kita lebih baik tetapi tidak sedar pula kekurangan diri kita yang membuatkan insan-insan yang berharga dalam hidup kita 'semakin jauh' sehingga ada ketika kita lupa dan terlepas pandang dengan 'sumbangan' mereka, kita terlalu mengharapkan yang lebih dari orang lain sehingga kita gagal untuk menghargai orang di sekeliling kita malah tanpa sedar terbit rasa cemburu dengan waktu senggang mereka yang tidak seberapa lantas menyebabkan mereka memendam perasaan sehinggalah pada suatu hari teguran yang dilafazkan untuk kebaikkan mereka mencetuskan ledakkan 'bom jangka' yang tertanam dalam jiwa  akibat kekecewaan kerana rasa tak dihargai. Segala kebaikkan seolah-olah tidak pernah wujud dek penglihatan yang jumut. Apabila ini berlaku maka banyak pihak akan terluka perasaan. Walaupun  ia mungkin akan berlalu dengan atau tanpa kemaafan perkara tersebut mungkin akan berbangkit di masa hadapan ataupun meninggalkan parut di dalam hati masing-masing.


Maka, andai kita rasa 'letih' dengan kehidupan yang sedang kita lalui...rujuklah padaNya terlebih dahulu. Kita seharusnya tidak meletakkan 'keletihan' itu dalam senarai rungutan kita, namun tak salah juga jika kita mengadu padaNya yang Maha Pengasih. Redha dan mohon padaNya jalan keluar yang terbaik untuk kita menghadapi ujian dariNya.  Keletihan itu tidak wajar disuburi dengan rungutan. Insya'Allah jiwa yang 'kacau' akan jadi tenang dan hubungan sesama insan akan lebih  kukuh dan harmoni. 

Tiada ulasan: