Isnin, 28 Disember 2015

Masakkan kitar semula

#'Makeover' the leftovers'

Gempak jerr #bunyinyer... sayangnya dalam entri kali ini aku tak ambil gambar 'sebelum' hanya selepas. Saja nak kongsi masakkan dari lebihan masakkan. Rasanya ramai  wanita-wanita di luar sanapun dah semakin ekonomi dan inovatif bab makanan nie. Makanan semalam atau sebelumnya yang elok sebenarnya mampu tahan lama kalau disejukbekukan. Sayang kalau lauk lebih yang masih elok dibuang begitu saja.....tak dinafikan ada juga yang kurang selera dengan lauk yang 'dipanas'kan semula...jadi di sini aku nak kongsi masakkan 'kitar semula' untuk membangkitkan selera tu. Silap 'haribulan' 'geng' yang nak makanpun tak perasan yang itu lauk 'kitar semula'. Jangan  salah faham  bukan nak mengenakan...apa salahnya dengan lauk semalam...kelmarin...last month . ..oppss! Asalkan masih elok dan bersih. Yang you'allzz makan makanan sejuk beku kat pasaraya tu lagi lama tauuu...berbulan usianya. Emmm.

Inilah hasil makanan kitar semula aku hari ini:

Dari ayam goreng kunyit(semalam) yang biasa-biasa bertukar menjadi....


Ayam masak kicap 'special'. hanya panaskan sesudu minyak, tumis bawang,cili dan masukkan tomato beserta kicap. Tambahkan setengah keping asam gelogor. Apabila mendidih, tutup api dan taburkan daun sup. Siappp!!

Menu ke 2 :

Dari kari ayam kepada .....


...serunding ayam (kasar) : Basuh ayam dan nyahkan kuah kari,tak perlu basuh habis biar ada rasa kari. Carik isi ayam kasar+halus mengikut citarasa. Tos/perah isi ayam.Panaskan sesenduk minyak dan goreng  isi ayam sehingga kering. Gaul/kacau sehingga tahap gareng yang digemari. Tambah cili api atau serbuk cili untuk rasa pedas. Siap ! 

Hidangkan bak Restoran 5 bintang! Huhuhu... :)



Sabtu, 26 Disember 2015

Tetamu

Alhamdullillah  Ya Allah Ya Razak...

(Aminnn...) sumber mutiara  kata & doa :
Fb seorang saudara.


Setelah kehadiran si kecil sejak sebulan setengah yang lalu, tetamu jauh dan dekat tak putus melawat terutamanya ketika hujung minggu. Di antara  mereka  adalah kenalan sekerja, jiran tetangga,  saudara-mara dekat dan jauh merentasi sempadan negeri. Tak kurang juga yang sudi bermalam di teratak cilik kami sehingga ada ketika 2 keluarga terpaksa berhimpit-himpit di ruang tamu dan di bilik seadanya demi melihat insan baru yang dinanti-nantikan.

Lukisan sebagai hadiah oleh kanak-kanak berpangkat 'makcik' kepada si kecil kami.

Semoga ketidakselesaan mereka digantikan Allah dengan keselesaan lain dan diberi kemudahan dalam segala urusan. Kehadiran  dan budi baik mereka amat kami hargai. Terima kasih di atas pelbagai hadiah dan sumbangan untuk si kecil. Ketidakhadiran kenalan dan saudara-mara yang turut menitipkan ucapan dan doa juga menjadi satu semangat buat kami. Hanya Allah  yang dapat membalasnya. Maafkan andai ada kesilapan dan kekurangan dari kami.

'pantang lepa'!


sempat tidur!

Lola yang turut 'meraikan' kahadiran si kecil...huhuhu lepas nie semua kena cuci. Takut tertinggal bulu.

Buat kerja 'senyap-senyap'....
Dalam kehadiran  tetamu yang ramai terutamanya beserta kanak-kanak biasalah keadaan 'sepah-sepah'. Tetapi kemas mengemas sebenarnya perlu untuk melancarkan perkara-perkara selainnya terutamanya jika rumah tidak berapa luas. Adakalanya  rasa segan nak mengemas 'beriya-iya' di hadapan mereka bimbang dikatakan 'berkira'. Jadi saya nak kongsi sedikit tips/petua  buat kerja rumah tatkala tetamu bermalam di rumah kita.

Menyediakan sarapan adalah satu kemestian kecuali jika berasa kurang sihat, suami beli sahaja  makanan di luar.
Bangun awal pagi sebelum subuh untuk menguruskan pinggan mangkuk yang belum dicuci. Kurangkan bunyi bising dan membasuhlah dengan cermat. Bunyi jatuhan air di sinki agak kuat juga tatkala sunyi pagi maka aku letakkan penggosok besi yang berongga nie. Selain mengurangkan bunyi, airpun tak merecit. Bunyi air jadi kurang dan tak mengganggu tetamu yang sedang tidur.




Bila orang dah ramai, penggunaaan  cawan@gelas bertambah.  Susunan barang pula di dalam kabinet yang tinggi kerana barang-barang tersebut jarang digunakan. Lucunya 'tuan rumah'pun terlupa apa yang 'disusun'.Untuk mengelakkan 'trajedi punggah-memunggah' keperluan yang 'tak perlu' lihat saja pantulan bayangan di atas untuk mengetahui 'isi kandungan. (Tips ni boleh digunapakai bagi kabinet yang diperbuat dari stainless  steel ) Sesetengah kabinet ada juga 'build in' cermin. Kalau tak ada boleh juga d.i.y (lekat cermin  untuk kemudahan masa hadapan)  

Jika sebelum ini air dibancuh akhir sebab takut cepat sejuk tetapi dengan adanya teko termos nie air panas boleh dibancuh seawal subuh untuk penyediaan sarapan. Teh, kopi atau koko...sesuka hati diri 'awal'nya...! Bentuknyapun praktikal untuk hidangan terus. Bila air dah siap bolehlah tumpukan perhatian kepada perkara-perkara  yang lain. :) :) . Manalah tahu ketika itu bayi mula minta susu atau meragam. Jangan lupa bancuh juga air yang tak berapa panas untuk kanak-kanak. Hidangkan sarapan bersama air kosong atau mineral...saya letak air mineral saje. Beli siap-siap dalam kotak. Tak 'gaduh' stok air kosong. Kalau 'filter' air canggihpun tak secepat hidangan sebotol mineral yang sedia ada. Huhuhuhu... (pujuk hati sebab belum mampu memiliki filter sejuk+panas idaman) hehehe! 

Buat masa nie, ini sahaja yang sempat saya kongsi. Jika ada lagi nanti saya buat tambahan. Ok baiiii.

Isnin, 21 Disember 2015

Amanah: Bayiku milikNya...

9 tahun dilihat sebagai jangkamasa yang panjang tanpa cahayamata. Aku pernah diberi pelbagai tanggapan negatif tanpa cahayamata  sepanjang  jangkamasa itu. Tetapi aku tidak pernah memendam perasaan kerana hanya Allah yang tahu rahsia kami. Adakalanya  aku tak nafikan rasa terluka dek saranan,'khidmat nasihat percuma' dan kata-kata dari mereka yang terlebih  'tauliahnya' lebih-lebih  lagi sessi dan persoalan  itu berlangsung secara terbuka tanpa pasangan di sisiku. Aku terkadang berasa pelik kenapa dalam hal ini kaum wanita mudah 'menyerang' kaum sejenisnya...adakah ia sebagai satu kepuasan ataupun semata-mata  kerana ingin menunjukkan  'kelebihan' masing-masing? Namun aku tidak menafikan ada diantara kaum sejenisku yang memahami dan tidak memanjangkan persoalan-persoalan berkaitan sebagai rasa hormat. Aku juga bersyukur  kerana  dikelilingi oleh sebahagian besar rakan sekerja yang bersikap positif dan rialistik  dalam hal ini.

Sebelum  kehadiran  cahayamata pertamaku  kehidupan peribadiku pernah'dianggap' sedih dan sepi. Kebahagiaan kami seolah-olah dinafikan. Setiap kali hadir kenduri kendara,merewang atau 'lepak' ramai-ramai, aku tanpa gagal dihujani oleh leretan persoalan berkaitan cahayamata. Kadang-kadang yang jadi tukang soal hanya seorang manakala sebahagiannya tukang pasang telinga. Alhamdullillah dalam sebak senyuman masih mampu aku ukirkan. Masih mahu 'bersedekah' melalui secangkir senyum semoga ia jadi penawar hati. Tidak sedarkah mereka yang kata-kata sedemikian mampu melukakan perasaan seseorang. Kesabaranku menyejukkan bara hati yang berbahang. Aku bersyukur kerana 'masa' dan pengalaman membantu aku menghadapi situasi sedemikian tetapi bagaimana dengan insan lain yang lebih sensitif dan mudah terluka? Bagaimana pula penerimaan insan lain yang penuh dengan tekanan hidup? Salahkah jika mereka menjauhkan diri andai hati tak tertahan dan membalas pula dengan kata-kata yang mungkin menimbulkan permusuhan? Ia mengkin nampak remeh tetapi bagi insan yang ' nipis' semangatnya ia mungkin memberi kesan yang berbeza tanpa kita duga. Tak salah bertanya...tetapi bila ia semakin meleret dan ditambah pula dengan jenaka 18sx sebagai tanda konon 'sporting' bukankah ia agak melampau? Ada yang melahirkan tanda simpati, kami ok tetapi sering diragukan pula. Namun ada juga sahabat-sahabat yang jadi 'pembela' secara terang-terangan mahupun di belakang. Ada juga yang meminta maaf setelah memberi soalan cepu emas tu...aku tak kisah sebab ia soalan lazim pertemuan insani selagi ia bukan bersifat 'menyerang'. Semakin lama perkahwinanku bertahan, aku semakin matang menghadapi situasi tersebut. Seperti biasa aku anggap mereka sekadar terlalu mengambil berat walaupun tanpa sedar aku semakin 'menjauhi' demi menghindarkan 'penyakit hati'. Aku bersyukur kerana aku dapat berhadapan dengan situasi sedemikian. Aku percaya pada perancangan Allah. Selagi pasanganku sendiri bahagia disampingku dan tidak terlibat dalam 'konspirasi' berkaitan maka dia adalah jodoh yang terbaik untukku. Keserasian kami 'meninggalkan' pandangan yang remeh-temeh. Apa yang penting dalam mengukuhkan perkahwinan tanpa kehadiran  cahayamata  ketika itu adalah izinNya dan kasih-sayang sesama pasangan. Walaupun tidak pernah ada perbincangan dengan pasangan berkaitan hal sedemikian namun kami masih 'macam belangkas'. Sekiranya berlaku perselisihan faham, kami akan cuba menyelesaikannya tanpa membiarkan ia meleret-leret. Merajuk itu 'harus' juga tatkala jiwa tersentuh. (Kuikuikui). Bagi aku selagi pasangan kita saling sokong-menyokong biarpun bukan dengan kata-kata ia sudah cukup memadai untuk aku abaikan insan sekeliling yang pernah melukakan hatiku.

Bila telah sekian lama 'berdua' melayari alam perkahwinan  aku akui aku mulai rasa bimbang untuk memiliki cahayamata. Bukan sahaja bimbang akan kemampuanku sebagai seorang ibu tetapi yang lebih membimbangkan  aku adalah apabila melihat situasi dunia masakini  yang semakin mencabar. Adakalanya  aku menangis sendirian bukan  sedih kerana ketiadaan cahayamata sebaliknya menangis kerana kebimbangan yang amat sangat andai bakal anak yang kumiliki akan sengsara di dunia yang fana ini. Bimbang dia mungkin jadi mangsa kejahatan manusia, peperangan,pergolakkan dunia, rasis, politik, malah tewas dengan bisikkan syaitan dan sebagainya. Setelah 9 tahun aku tak tahu apakah perasaan yang tergambar jika nyawa ditiupkan di dalam rahimku. Akhirnya  aku memohon doa kepada Allah...'andai ketiadaan cahayamata merupakan yang terbaik dalam kehidupanku aku redha...namun andai kehadiran  cahayamata  adalah yang terbaik untuk kami maka aku juga redha ya Allah...'

#Aku tidak kisah lagi dengan tanggapan atau persoalan masyarakat.

Dengan izin Allah jiwaku seolah-olah bersedia dengan kehadiran si kecil dan Allah mengamanahkan seorang insan di kantung rahimku... segala kebimbangan aku sebelum ini semakin surut apabila aku sulami setiap ketika dengan doa dan pengharapan kepadaNya...'Ya Allah Ya Rahim Ya Muhaimin...kutitipkan dia (anakku) padaMu Ya Allah, maka Kau lindungilah dia dunia dan akhirat Ya Allah, kau isikanlah dadanya dengan cahaya keimanan dan amal soleh....'

Tiada pengharapan  yang tinggi selain mendoakan kejayaan...keselamatan dunia & akhirat...

Setiap ibu yang waras pastinya akan lakukan apa yang  terdaya untuk melindungi anaknya...tetapi dengan cabaran hari ini apakah terdaya kita menghadapi cabaran yang tak terduga? Adakah kita cukup kuat bertahan? Kebimbanganku sekali lagi singgah di jiwa. Hati kecilku memujuk...


Duhai hati...duhai jiwa yang keresahan, titipkanlah keyakinan pada Allah. Lihatlah lembaran kisah nabi Musa a.s. betapa tingginya kepercayaan dan keyakinan ibunya(Yukabad) terhadap jaminan Allah sehingga beliau melindungi bayinya dengan melepaskan bayinya ke dalam sungai. Bayangkan perasaan dan  kasih sayang seorang ibu yang  menghanyutkan bayinya sendiri ke dalam sungai, tetapi naluri ibu nabi Musa a.s didorong dengan jaminan Allah untuk berbuat demikian tatkala Firaun memerintahkan agar semua bayi lelaki di bawah jajahan takluknya dibunuh demi kelangsungan pemerintahannya. Dengan kuasa Allah nabi Musa a.s ditemui oleh keluarga Firaun malah dipelihara dan dibesarkan pula oleh keluarga Firaun setelah isteri Firaun sendiri 'terpesona' dengan kehadiran bayi yang dihanyutkan itu. Dengan izin Allah, jika di mulut singa sekalipun seseorang itu akan selamat dan berbekalkan dengan redha dan keyakinan yang tinggi terhadapnyaNya Yukabad akhirnya dapat menyusui anaknya sendiri di istana Firaun. Insya'Allah  Allah pasti membalas keredhaan kita dengan sebaik-baiknya balasan.

... Aku harap aku sentiasa berdoa dan tidak lalai dariNya. Tanpa jemu belajar memahami untuk menyuburkan keredhaan dan keyakinan itu. Sesungguhnya kehadiran cahayamata dalam hidupku membuatkan aku semakin menghargai  insan yang bergelar ibu. Setiap kali kutatap wajah cahayamataku...aku titipkan doa penuh pengharapan dan keyakinan hanya padaNya agar kami diberikan ketabahan dan kesabaran memikul amanah ini. Moga setiap dari kita dilindungiNya  dunia dan akhirat.

perkongsian FB

Kepada  insan  yang  belum memiliki cahayamata...yakinlah dengan perancangan Allah. Walaupun dengan usaha, manusia lain tidak berhak mengukur status dan had kesungguhan kita. Sesungguhnya rezeki dariNya hadir dalam pelbagai bentuk dan situasi. Apa yang kita ada atau tidak ada pada hari ini adalah yang terbaik  untuk kita. Jangan kerana kata-kata insan lain hubungan kita dengan pasangan jadi retak berantakan sedangkan pasangan kita mungkin ok jer malah saling menyanyangi setelusnya. Sentiasa istiqomah dan meminta padaNya ketabahan dan ketetapan hati. Yakin dengan rahmat dan kasih sayangNya.


*ada juga insan yang minta tips dariku...ketahuilah tiada rahsia dariku melainkan ia rahsia Allah bukan penentuan dari manusia dan kita hanyalah pinjaman. Jodoh,pertemuan ...rezeki,ajal adalah rahsia Allah. 

Sabtu, 19 Disember 2015

Terkadang aku juga terlupa : apabila yang kurang itu 'lebih' dan yang lebih itu 'kurang'....




Hidup berpasangan dan bekeluarga adalah salah satu nikmat rezeki dariNya. Dalam kehidupan perlu ada kerjasama demi melancarkan sesuatu urusan. Adakalanya juga kelelahan/keletihan di tempat kerja menjejaskan urusan lain di rumah, maka dengan itu aku percaya manusia diberi akal olehNya merencanakan gaya hidup atau aturan kerja. Maka dengan itu tercetuslah istilah 'cuti' demi masa yang lebih berkualiti bersama keluarga dalam memenuhi tuntutan peribadi. Kenyataan agar tidak melibatkan hal peribadi dalam kerja sebenarnya perlu dilihat dari sudut yang lebih dalam tanpa had kerana hakikatnya kehidupan peribadi yang 'sadis' mampu menjejaskan kerjaya manakala kehidupan peribadi yang bahagia mampu memberikan kejayaan dalam melaksanakan tugas. Sebagaimana kita dilarang 'mencuri' masa dalam kerja begitulah sebaliknya yang kita harapkan agar masa senggang kita tidak 'dicuri' atau dipergunakan untuk perkara sebaliknya. Kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi inilah yang sebenarnya mampu mewujudkan istilah modal insan yang lebih cemerlang. Institusi keluarga akan lebih kukuh dan nilai-nilai murni mampu berkembang dengan indah. Percaya  atau tidak ia mampu memberi kesan terhadap gaya hidup masyarakat malah mencerminkan keperibadian sesebuah negara.

Tuntutan dan keperluan hidup semakin mencabar.... dalam kehidupan berkeluarga mahupun berpasangan selain kerjasama juga kita perlu saling memahami dan cuba menyelami peranan dan kerjaya masing-masing. Tekanan hidup semakin tinggi dan kita harus menanganinya dengan bijaksana. Setiap kali merasa letih setelah melalui fasa-fasa tertentu jangan mudah merungut dan membandingkan peranan insan lain dalam keluarga kita dengan terburu-buru. Sebelum 'menghukum' insan lain di atas 'kelelahan' yang kita alami (tugas atau sumbangan kita) lihat terlebih dahulu 'sumbangan' dan apa yang dilalui oleh pasangan atau ahli keluarga  yang lain, kesukaran dan 'kelelahan' mereka sendiri dari sudut kerjaya mahupun 'sumbangan' dalam peranan lain secara peribadi baik fizikal atau selainnya. Adakalanya  kita mengadu perihal keletihan  kita sesama mereka yang juga ada 'keletihan' mereka sendiri seolah-olah hanya kita yang buat lebih...kita buat itu dan ini. Kita merasakan kita lebih baik tetapi tidak sedar pula kekurangan diri kita yang membuatkan insan-insan yang berharga dalam hidup kita 'semakin jauh' sehingga ada ketika kita lupa dan terlepas pandang dengan 'sumbangan' mereka, kita terlalu mengharapkan yang lebih dari orang lain sehingga kita gagal untuk menghargai orang di sekeliling kita malah tanpa sedar terbit rasa cemburu dengan waktu senggang mereka yang tidak seberapa lantas menyebabkan mereka memendam perasaan sehinggalah pada suatu hari teguran yang dilafazkan untuk kebaikkan mereka mencetuskan ledakkan 'bom jangka' yang tertanam dalam jiwa  akibat kekecewaan kerana rasa tak dihargai. Segala kebaikkan seolah-olah tidak pernah wujud dek penglihatan yang jumut. Apabila ini berlaku maka banyak pihak akan terluka perasaan. Walaupun  ia mungkin akan berlalu dengan atau tanpa kemaafan perkara tersebut mungkin akan berbangkit di masa hadapan ataupun meninggalkan parut di dalam hati masing-masing.


Maka, andai kita rasa 'letih' dengan kehidupan yang sedang kita lalui...rujuklah padaNya terlebih dahulu. Kita seharusnya tidak meletakkan 'keletihan' itu dalam senarai rungutan kita, namun tak salah juga jika kita mengadu padaNya yang Maha Pengasih. Redha dan mohon padaNya jalan keluar yang terbaik untuk kita menghadapi ujian dariNya.  Keletihan itu tidak wajar disuburi dengan rungutan. Insya'Allah jiwa yang 'kacau' akan jadi tenang dan hubungan sesama insan akan lebih  kukuh dan harmoni. 

Rabu, 9 Disember 2015

Siakap stim serai

Masih dalam ' berpantang' dan kini masuk hari ke 32. Asyik makan ikan bakar muak juga yer...ong jawo 'speaking London':seretttt (lekat tekak).

So nak kongsi resepi berpantang yang orang tak berpantangpun terbuka selera.

(Warna kuning terhasil dari perapan halia semalaman/tanpa kunyit)

Seekor ikan siakap disiang, dibasuh bersih dengan limau dan diperap semalaman di peti beku bersama bahan-bahan berikut:

Blender: 1/2 senduk air, 3 cm halia muda,secubit serbuk lada hitam,2 batang serai,4 ulas bawang putih,1 ulas bawang ros@bawang kecil.

Penyediaan: nyah bekukan ikan. Masukkan semua perapan ikan ke dalam periuk stim/kukus (saya guna 'magic pan' sahaja). Kukus@stim sehingga ikan empuk@masak, taburkan sedikit potongan bawang holland dan daun sup. Perisakan dengan garam.

Siap!! :)

Jumaat, 4 Disember 2015

Sungai udang klang

#Sungai Udang'ku' sayang...

...mengingatkan aku pada kem Sg. Udang Melaka...#Sg. Udangku Sayang pula mengingatkan aku pada lagu rasmi Majlis Perbandaran Selayang iaitu 'Selayangku Sayang'.


Aku dilahirkan sekitar lewat 70an di Bandar Kuala  Lumpur. Tetapi dibesarkan dan diberi pendidikkan  penuh di Kampung kelahiran arwah abah iaitu Sungai Udang Klang...kini istilah 'kampung' Sungai Udang dah tak berapa nak tepat kerana alamat rumahku kini dah pun 'lama' bertukar jadi 'Jalan Sungai Udang'. Disebalik pelbagai 'suara-suara' rungutan  tentang kepadatan yang semakin ketara aku tetap 'menyanyangi' lokasi tempat aku dibesarkan ini. Tempat aku 'berkubang' lubok nipah ketika zaman kanak-kanak mencari ikan pelaga bersama adik. Tempat di mana hujan pernah selalu dinanti-nantikan sebagai peluang untuk 'bermain' dan menadah tubuh di kolong atap zink (konon bermandi-manda air terjun) lebih 30 tahun yang lalu.Walaupun kelahiran K.L aku bangga mengatakan bahawa aku 'anak Selangor' memandangkan tempat tinggal, pendidikkan awal & akhir serta kerjayaku kini di Selangor. Saudara-mara sebelah arwah nenek juga  ramai di sini dan mewarisi tanah turun temurun, malah sebelum menyarung jersi Kebangsaan aku terlebih dahulu menyarung jersi dan mengibarkan bendera Selangor di 'pentas kecil SUKMA serta arena tempatan'. Bukan bersikap kenegerian sekadar bicara kosong memandangkan ada insan yang mengatakan 'aku tak cukup Selangor' memandangkan aku kelahiran Kota K.L (oh..apa2 saja asalkan kita bernaung dibawah tanahair yang sama, tolong jangan terlalu beremosi sebab walaupun dengan 'jasa aku yang tidak seberapa' (berjasa ker? :'( )serta pendidikkanku yang tak berapa nak tinggi aku rasa aku juga layak menerima apa jua bentuk keistimewaan  yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada 'anak-anaknya' sebagaimana negeri-negeri lain juga..hahahah).



jambatan  ke  -3  Klang dalam pembinaan.

Berbalik pula kepada '#Sungai  Udangku Sayang'...Setelah lebih 30 tahun di sini aku melihat pelbagai perubahan disamping berbagai perkara yang tak pernah berubah. Kedai runcit dan gerai makan rancak beroperasi menjadi salah satu sumber pendapatan kebanyakkan 'orang luar' yang kini menetap di Sungai Udang. Mungkin entri ini bukan platform  yang tepat untuk menyalurkan pendapat tapi mungkin juga dapat melihat sejauh mana pandangan dan impian penduduk Sungai Udang dan jiran sekitarnya (Jalan Yadi, Kg.Delek dan seantero  denganya) mahupun penduduk di kawasan-kawasan yang lainnya.

#Aku tidak mahu menyentuh perihal politik dalam entri ini. Aku pasti ia teramatlah sensitif dan aku tidak mahu sebarang 'kekecohan ataupun perbalahan'.

Aku cuma mahu mengajak beberapa pihak baik kerajaan, swasta atau agensi angkasaraya sekalipun agar melihat 'keperluan terpinggir' dan peluang di Sungai Udang yang sedia semakin padat dengan penduduk baik tempatan mahupun warga asing.Aku juga Ingin menitipkan angan-angan peribadi sebagai penduduk marhain yang semakin dahagakan sesuatu yang nampak remeh tetapi bermakna. Pembinaan jambatan ke-3 Klang mungkin dapat membantu dari segi 'trafik' biarpun buat masa ini pengguna perlu bersabar dengan hiruk-pikuk pembinaan yang sedang dijalankan. Namun begitu,tanpaperancangan yang teliti,jambatan harapan ini mungkin juga menjadi punca kesesakkan yang lain pula.

Memandangkan  Bandar Klang sendiri semakin sibuk 'alangkah bahagianya' aku selaku penduduk Sg Udang apabila sebuah Bank dibuka lebih sepuluh tahun lalu di Simpang 4. Walaupun bukan 'bank rasmiku' dan aku percaya tak ramai penduduk disini ketika itu menggunakan Bank Hong Leong tetapi aku rasa Bank tersebut (Hong Leong) sangat bijak. Bayangkan seluruh penduduk termasuk aku menggunakan perkhidmatan mesin ATMnya tanpa sebarang saingan. Nak 'turun' Klang dengan 'jem'nyer...belum lagi +,-,minyak kereta. Paling siksa ketika urusan pencen arwah abah. Kami (untuk mak) perlu menguruskan pengeluaran di Bank Muamalat yang terletaknyer di ceruk bangunan lama dengan parking yang 'menyedihkan. (Dulu Bank ni kat Sebelah Proton Pantai Baru...mudah parking dsbgainyer) Oleh kerana pencen mak perlu di 'bank in'kan dulu/slip maka tak boleh nak 'direct' mesin ATM lain-lain bank. Kenapalah Bank-bank yang banyak digunakan oleh orang-orang bumiputera(Bank Rakyat, BSN,Bank Muamalat,Tabung Haji) tidak mensasarkan lokasi@cawangannyanya di kawasan-kawasan yang penduduknya padat bumiputera selain kebarangkalian merupakan pesara ataupun pelanggan tetap yang sedia ada. Baru-baru ini RHB membuka cawangannya di Simpang 4 :) walaupun bukan 'bank betul'(easy  RHB) tetapi cukup menyeronokkan sebab aku pemegang kad bank berkenaan. Harap RHB dapat buka Bank sebenar...mudahlah nak buat urusan ASB sebab pejabat pos disinipun bukan 'pejabat pos sebenar'(hanya memberi servis tertentu dan bukan servis penuh sebagaimana pejabat pos di Bandar Klang). Dahulu pejabat  pos Sg.Udang terperosok di dalam pasar kecil Simpang  4 bertahun-tahun  lamanya, kini masuk era 2015 pula terjojol di tepi jalan tetapi yang menyedihkan pelanggan perlu beratur dan situasi serta kemudahan sama saja macam sebelumnya(zaman kanak-kanakku)cuma beza yang lama 'tersorok dan redup'...kini terjojol dan panas. Parkirpun mengharapkan semata-mata bahu jalan. Alangkah bahagianya andai ada 'pejabat pos sebenar' ada di Sungai Udang. Tak perlu menambah sesak di Bandar Klang. Tak rugi rasanya andai 'pejabat pos sebenar' dibuka dengan kemudahan 'full house' di Sungai Udang. Walaupun Sg. Udang merupakan kawasan pinggir bandar tetapi kebanyakkan kawasan rumah lot tiada nombor rumah. Peti surat di masih cara lama di kawasan kejirananku iaitu 10-15 rumah 1 peti..Aku yakin satu rumah satu peti boleh direalisasikan memandangkan ketika 'berkunjung' di Kampung Jawa, Klang rumah-rumah sewa yang tercerukpun ada nombor rumah. Aku pernah menerima kad 'feedback' Pos Malaysia dan aku turut mencatatkan permasalahan berkaitan tetapi sehinggakini tiada penambahbaikkan. Pernah satu hari 'rumah' yang menjadi 'wakil' peti pos terbakar maka semua surat-surat turut musnah terbakar. Adakalanya peti surat penuh dengan nama-nama penyewa yang dah tak wujud. Paling sedih ada insan nakal yang tidak bertanggungjawab membuka surat-surat orang lain. Paling susah masa pos laju@berdaftar nak sampai rumah...akhirnya jadi tak berapa nak daftar dan tak berapa nak laju sebab terpaksa pula buat tuntutan di pejabat pos (ke bandar lah kita...) Mungkin Pihak Pos boleh menginovasikan satu 'meter' ala-ala scan bil air@api untuk identiti pemilik rumah bagi penghantaran surat dan sebagainya. Jika bil utiliti seperti  bil elektrik dan air boleh sampai di muka pintu mengapa tidak surat? Rasanya kewujudan 1 peti 1 lot sudah tidak relaven  di kawasan pinggir bandar seperti di sini.


Apabila perkara seperti mewujudkan kawasan komuniti masyarakat yang meliputi perkara-perkara berbangkit ini menjadi  topik perbualan ada saja suara-suara yang mencantas. Tak cukup tanahlah....macam-macam  alasan, tetapi aku lihat ada saja iklan jual tanah selain projek perumahan yang semakin menggila dengan harga 'putus nyawa' untuk golongan berpendapatan  rendah mahupun sederhana  seperti aku.

Alangkah bahagianya sangat...

...andai pusat komuniti masyarakat 'di satu tempatkan...'.dengan kemudahan 'luarbiasa' jangka panjang untuk keperluan kebiasaan masyarakat. Ia bukan sahaja akan menyumbang terhadap pembangunan modal insan  tetapi juga 'kesihatan mental' penduduk...(kurangkan tekanan jiwa bersesak di bandar). Pusat komuniti seantero  dengannya perlu diwujudkan secara telus dan sistematik di mana-mana lokasi padat penduduk dan tidak semestinya di kawasan bandar semata-mata kerana tidak mustahil kawasan kampung ini akan bertukar kepada status bandar suatu hari nanti.

macam-macam  boleh tambah nie...harharhar...takpun bina bangunan bertingkat yang berparkir bawah tanah untuk jimat ruang.



Namun aku cukup bahagia...

Lokasi berdekatan sudah wujud perpustakaan awam(belakang Ekomart-harap ada papan tanda yang jelas di jalan utama)...masjid yang ditambahbaik dan di'tambah' lagi dengan kemurnian seorang hamba Allah yang melepaskan  'tapak' tambahan untuk kegunaan masjid (parking dan aktiviti korban) walaupun masih diperingkat jualan. Sekolah Kebangsaan dan Agama telah tersedia. Kawasan perkuburan di Sungai Sireh juga telah diwujudkan selain pembinaan jambatan dan jalanraya yang menghubungkan kampung-kampung di sekitarnya dengan lokasi tapak perkuburan. Sampah juga dikutip terus dari kediaman oleh pihak Majlis Perbandaran. Kedai-kedai pelbagai mulai tumbuh bak cendawan di Simpang 4...cuma yang perlu ditambahbaikkan adalah penempatan kewujudan peniaga-peniaga kecil yang terlalu hampir di bahu jalan malah ada yang di atas longkang pembinaannya. Adakalanya terlalu nak berniaga sampai tak fikir tentang pelanggan yang nak letak kenderaan, memang parkir tak akan cukup tapi sekurang-kurangnya  biarlah ada ruang yang selamat nak memberhentikan kenderaan tanpa mengganggu trafik. Kesukaran tersebut sebenarnya menyebabkan pelanggan seperti aku tak jadi singgah dan peniaga sendiri akan kerugian. 

Padang awam yang luas memang tak wujud lagi. Kalau ada Taman Rekreasipun bagus...jika teringin beriadah bolehlah singgah Taman Pengkalan Batu di Jalan Tepi Sungai lebih kurang 1-2km dari Sungai Udang. Rumah-rumah pula makin cantik walaupun padat , begitu juga dengan kemudahan jalanraya...cuma harap dapat diperhebatkan lagi peruntukkan jalan tar di lorong-lorong kawasan kediaman lot tanpa perlu sebarang permohonan sebaliknya melalui pemantauan pihak yang berkaitan.(tar lorong masuk di kejiranan rumahku hanya wujud ketika aku berusia 30 tahun sempena satu pilihanraya sekitar pertengahan tahun 2000....) Pasar-pasar malam juga perlu ditambahbaikkan dengan mewujudkan padang serbaguna yang bersesuaian dengan era masa kini. Apapun aku berterima kasih dan masih yakin serta percaya akan wujudnya pihak-pihak tertentu yang sentiasa berusaha 'memakmurkan' Sungai Udang.


YDP baru Klang 2016:Dato Mohammad Yasid Bidin
Sumber: Akhbar Selangor Kini


Apapun  sembang  kosong  saja  tak  guna. Kita sebagai  warga setempat tak kiralah warga tempatan  atau asing wajar memainkan peranan  yang positif terutamanya dalam aspek kebersihan. Sekurang-kurangnya  kita  tidak mengabaikan kebersihan sekitar kawasan masing-masing  dan mengamalkan cara pembuangan  sampah yang betul dan tak 'kedekut' membungkus sampah dengan baik agar tidak mudah terburai ketika proses pengangkutan  sampah dilakukan. Pihak yang berkenaan mungkin boleh menghadiahkan  tong sampah secara berperingkat  kepada pembayar cukai serta kediaman yang menjaga kawasan masing-masing sebagai galakkan.

Kita harus menghentikan stigma mengharapkan pekerja pembersihan . Pekerja pembersihan sepatutnya lebih terarah membersihkan dedaunan 'sampah alam' dan pasir-pasir dijalanan agar kelestarian alam lebih terurus dan jalanraya lebih selamat bukan asyik menguruskan sampah yang dibuang merata-rata dalam 'kawalan' induvidu.


Terima  kasih  kepada  penggerak Selat Klang atas 'feedback' terkini pernah saya utarakan. Semoga berjaya!

typo: sg udy - Sg. Udg (Sungai Udang) & ...1 peti surat 1 rumah....



Apa kata orang Sg. Udang?

Perkembangan  lain:

Febuari 2016
Pejabat pos mini kini telah berpindah disebelah premis bangunan  yang sama tetapi dengan penambahbaikkan  kaunter 'di dalam' maka orang awam tidaklah berpanas sangat. :)