Ahad, 4 Oktober 2015

Jurnal kehamilanku (4) : menghitung hari....

Pejam celik pejam celik...masuk 7 bulan setengah kandunganku. Terasa baru semalam ku tinggalkan  saat-saat mabuk yang 'ekstream'. Walau adakalanya 'morning  sickness' menyerang tetapi tidak seperti sebelumnya. Selera makan telah kembali walaupun sehingga hari ini sebarang hidangan ayam mahupun masak lemak tidak sanggup kujamah. Tidak mengapalah kerana pintu selera telah terbuka dan ada beberapa  pilihan lain yang mampu ku telan.



Kandungan  mula terasa padat dan sendat. Syukur  ke hadrat Allah kerana tiada masalah lain yang membimbangkan. Buat masa ini kedudukkan  bayi normal dan pergerakkan  bayi aktif . Jantina juga telah diketahui...selebihnya aku berserah kepadaNya, semoga kami dilindungiNya.

Amalan & Makanan tambahan



pengambilan  buah delima secara  konsistan setiap minggu sejak usia kandunganku 5 bulan membantu peningkatan  bacaan HB.

Pada usia kandungan  ini, aku cuba untuk membuat persediaan  dari segi mental dan fizikal. Betis mulai kejang terutamanya ketika tidur. Ketika tidur aku akan pastikan kaki lebih tinggi dari badan dan mengiring ke sebelah kiri. Badanpun mula sengal terutamanya jika banyak berdiri, berjalan setelah melakukan kerja rumah@membeli-belah barangan dapur. Mungkin kerana pengambilan  susu yang  semakin berkurangan. Syukur kerana tidak mengalami bengkak kaki, cuma kesan dari kecederaan ACL ku sebelum ini menjejaskan pergerakkanku kerana tumit yang keradangan belum lagi pulih.Tekak mula rasa 'kembang' nak hadap madu dan susu kambing (pil) yang sebelum  ini  aku amalkan, oleh kerana itu aku selang-selikan dengan pengambilan  susu kotak sedia bancuh Anelen perisa vanila. Seberang bentuk alternatif  perlu dicuba/diganti untuk 'melengkapkan' kekurangan yang lain.

Alhamdullillah sekurang-kurangnya  tak putus pengambilan  susu. Kurma juga masih ku amalkan 1-3 biji sehari, selain pengambilan pil abatus sauda dan minyak dara zaiton.

Minyak Bio Oil pula menjadi pilihan sebagai minyak sapuan di kulitku sejak usia kandunganku mencecah 4 bulan.

Kebetulan  kelapa pandan yang berbuah di laman telah matang...rajin dengan malas jer nak 'tebuk'. Menurut pengalaman 'orang lama' dan para ibu ianya baik di amalkan untuk kandungan 7 bulan ke atas. Baik untuk tenaga dan 'membersihkan' kulit bayi. Mulai esok aku akan cuba amalkan pengambilan  air kelapa sekerap mungkin. Tetapi pengambilannya perlu dijarakkan dari sebarang makanan tambahan yang lain.

Persiapan

Persiapan barangan bersalin juga sudah ku sediakan dan letak di dalam kereta sepanjang masa. En.suami pula baik hati buat 'double  check ' dan susun atur semula barang keperluan ku dan bayi. Jururawat  di klinik desa juga telah memberi nasihat tentang persediaan  barangan  untuk dibawa ke hospital selain melarang penggunaan botol susu di awal kelahiran bayi nanti walaupun niatku hanya untuk menyimpan susu badan yang berlebihan. 'Kalau nak rasa penangan bisa mulut doktor bawalah botol ye...' cukup dengan penyusuan secara semulajadi. Ok baru aku faham. Untuk peringkat awal penyusuan terus dari ibu, tak perlu risaukan perkara lain. Selain itu jururawat  mula menerangkan tentang tanda-tanda bersalin dan perlunya merancang keluarga selepas ini untuk kesihatan dan pemulihan diri.




Memang debaran itu kian terasa. Suasana yang bakal kuterima  adalah sesuatu yang diluar jangkaanku. Hanya Allah yang berkuasa dan Maha Mengetahui. Aku tak putus berdoa  mengharapkan  segalanya dipermudahkanNya. Aku yakin Dia telah menentukan sesuatu  yang terbaik untukku.

Bidan pilihan

Aku telah mengambil keputusan untuk mengambil khidmat bidan daripada Natalis Beauty  Confinement setelah beberapa siri rujukkan. Deposit permulaan telah aku bank in. Buat masa nie urusan berjalan lancar cuma adakalanya aku berbelah- bahagi dengan jenis pakej yang aku pilih...berbaloikah? Sekejap sangatkah? Cukupkah tempoh yang kupilih? Apapun ia kembali kepada kemampuan dan kesanggupan kita....

*Antara sebab aku memilih Natalis Beauty adalah kerana menurut pengusahanya, bidan diberi latihan 2 dalam 1 iaitu cara moden & tradisional serta mendapat rujukkan pihak hospital*. Selain itu ia menawarkan pakej tinggal bersama serta memasak untuk makanan pantang serta lengkap dengan urutan dan bertungku untuk ibu & anak.



Insya'Allah  aku akan kongsikan pengalaman bersama Natalis Beauty di masa akan datang.

Sebelum  ini carta teratas pilihan bidan adalah 'makcik Biah' iaitu bidan kampung di kawasan  kejiranan  ku. Urutan makcik Biah memang serasi denganku. Tetapi untuk peringkat awal aku memerlukan bimbingan penuh selain seseorang  yang dapat menyediakan  masakan pantang dan menguruskan bayi sementara  aku masih lemah. Maklumlah kami nie 'pengantin lama...tetapi bakal ibu bapa baru'. Aku yakin Allah akan 'campakkan' bakat semulajadi  kepada kami, cuma kami perlu mengiringinya dengan ilmu dan sokongan. Walaubagaimanapun untuk penutup atau pertengahan pantang nanti aku akan menggunakan khidmat dan pengalaman makcik Biah yang berpengalaman  itu.

...harap mak bidan Natalis Beauty tak kisah dengan kewujudan 'ahli keluarga' kami ni...kena maklum juga nanti manalah tahu ada mak bidan yang fobia miau!


Yang pastinya  aku cuba memilih  yang terbaik sesuai dengan kemampuanku memandangkan suami perlu membuat persediaan yang lain dari segi keperluan harian kelak. Bertahun aku membuat simpanan sendiri dan untuk situasi ku ianya sesuatu yang amat diperlukan memandangkan aku perlu berdikari dalam banyak perkara.

Ziarah ibu...

Sementara  masih larat nie hati memang nak jumpa mak. Rasa rindu menebal dijiwa. Ajal maut penentuan Allah. Tidak semestinya ketika melahirkan walau hakikatnya ia adalah perjuangan antara hidup dan mati seorang wanita. Aku cuma mahu menatap wajah tabah mak. Memohon maaf kepadanya atas apa jua kekuranganku. Mujur encik suami memahami. Aku tidak membuat permintaan kepada suamiku sebaliknya encik suami yang menggalakkanku. Sehari sebelum berangkat ibu mertuaku pula demam. Kami menunaikan permintaannya untuk membeli madu dan lemon. Malam itu juga kami nak bawa mak ke klinik tetapi ditolak sebab mak kata mak beransur pulih, naluri seorang ibu bila dah pulih sikit mula mengelak doktor sebab rasa bimbang 'menyusahkan' anak-anak walaupun  aku redha kerana 'suamiku mutlak milik ibunya' dan untuk situasi ini anak lelaki wajib mengambil berat dan melebihkan ibunya....dan keredhaan seorang isteri itu terhadap perkongsian kasih ini akan jadi satu keringanan selagi mana seorang suami  itu bertanggungjawab dan saling bertolak ansur. Walaupun hampir setiap minggu berjumpa aku faham bila rasa sakit adakalanya seseorang ibu hanya mahu melepaskan kerinduan terhadap anak-anak...itu adalah penawar 'bahagia di hatinya'. Selain itu suasana jerebu yang berpanjangan melanda tanahair membuatkan demam dan sakit tekak mudah bertandang. Orang mudapun terkesan inikan pula yang telah berusia...

Syurga dunia

Keesokkan petang, sempat kami balik ke kampung suami kakak untuk berjumpa dengan mak walaupun hanya tidur semalaman.

dJ man


Alhamdullillah  kakak sekeluarga sihat-sihat belaka. Rezeki bertambah kerana mereka baru sahaja menerima tempahan DJ & makanan untuk karnival kesihatan setempat selain dari tempahan saat-saat akhir kek pertunangan. Berkat menjaga orang tua(abang ipar turut tinggal berhampiran dengan kediaman orang tuanya)...walaupun mereka tidak mewah tetapi tiada putus cabang rezeki. Insya'Allah.


Kek Slim River : Bingkisan homemade 'From Slim River with love....ringkas dan sedap...menariknya kek ini selain sedap, krim yang digunakan adalah adunan sendiri, lembut ...kurang berminyak serta tidak muak. 


Tak banyak  yang dibualkan  dengan mak kerana situasi mak yang 'kurang sihat'. Seperti biasa aku yang sekali-sekala jumpa nie akan 'memanjakan' mak dengan cara aku. Kepit/potongkan kuku kaki dan kuku jari tangan mak. Mak rabun dekat adakalanya bila mak potong kuku senget benget. Kakak pula tak menang tangan nak memenuhi keperluan mak, nak memenuhi tanggungjawab sebagai ibu...isteri...memastikan ubat-ubat mak...sesekali aku datang aku akan manjakan mak dengan mengurut urat-urat di kaki mak yang mulai 'pecah-pecah' Tetapi biasalah bila dah jumpa kakak, boraknyer tak 'hingat'!! Kikiki Tetapi  aku yakin mak memahami situasi yang aku lalui. Sebelum pulang kukucup dahi mak tanda kasih yang tidak terluah....semoga Allah panjangkan umur mak (dan ibu bapa mertua ku) dalam penuh keberkatan. Betapa hebatnya mak melahirkan  kami 5 beradik....Tabahnya dirimu dan arwah abah melalui kehidupan lalu yang serba-serbi mencabar dalam membesarkan kami...

Maka bersyukurlah  wahai insan-insan yang masih memiliki 'syurga' mereka (ibu bapa) di dunia. Walaupun  takdir dan situasi masing-masing  berbeza ia adalah ujian & nikmat dariNya.

                                :)



Tiada ulasan: