Isnin, 16 November 2015

Jurnal kehamilanku (6) : Tanda bersalin, dari Hospital Bersalin Razif ke HTAR.

Syukur hanya padaMu Ya Allah...
Amanah dariMu telah lahir ke dunia
8.11.2015...satu lagi fasa baru dalam hidupku... kami namakan si kecil ini yang diberi maksud  : 'yang hidup_orang-orang yang bersyukur' *



Anak sulong
Pengalaman  hamil  anak pertama memang mengujakan  namun tidak dinafikan ada waktu ia menguji keimanan dan ketabahan terutamanya  saat-saat melalui fasa mabuk/alahan kehamilan yang teruk ataupun ketika menghadapi detik-detik cemas ketika bersalin. Segala-galanya adalah sesuatu yang baru dan baharu.

Imbas semula (jurnal 5) :manusia merancang....
Seperti di jurnal kehamilanku  sebelum  ini, aku merancang dan  membuat persediaan bersalin sama ada di Hospital Bersalin Razif atau HTAR. Tujuan utama Hospital Bersalin Razif menjadi pilihan  adalah kerana ingin memilih doktor dan kakitangan  wanita bagi memeriksa  dan menyambut kelahiran nanti. Dalam erti kata lain... mencari lebih keberkatan dan menjaga aurat terutamanya usaha menabungku sejak beberapa tahun di ASB mengukuhkan kewangan untuk menggunakan khidmat swasta. Selain  itu juga,  kebetulan  suami tidak sihat dan masih perlukan rawatan harian berkaitan pembedahan  kecil di kepalanya maka adalah relaven untuk berada di Hospital swasta yang pada pandanganku  akan lebih memberi perhatian terhadap induvidu dan suami tidak perlu risau dengan 'kebajikan' ku di sana. Walaubagaimanapun aku tidak menolak  kemungkinan untuk bersalin  di HTAR jika keperluan lebih terarah ke situ.

Tanda-tanda bersalin: 




*Lendir bercampur  darah*Pecah air ketuban
*Sakit perut yang kerap dan mengeras

***peringatan  dari jururawat & doktor di klinik desa untuk lapor diri di hospital  jika ada di antara tanda-tanda tersebut.





Kucing bunting di Klinik 1Malaysia:

10 hari sebelum 'due date' tiada tanda-tanda yang  ketara. Sempat seharian di rumah mertua 'menumpang' kasih ibu. Badan  agak lesu mungkin kerana penat menemani suami membuat  rawatan harian dan berulang-alik di wad sebelum ini. Ketika di klinik  1Malaysia kelihatan seekor kucing betina yang sarat bunting. Inginku bawa pulang tetapi tak terdaya menguruskannya. Seorang kanak-kanak lelaki mengajuk-ajuk ibu kucing itu dan cuba menyentuh/pijak dengan kaki pantas aku bangun sehingga terasa senak tetapi suara tidak terkeluar. Ibu kanak-kanak-kanak  tersebut berada di situ tetapi  tidak berkata apa-apa, mujur ibu kucing itu bertindak garang pantas mengangkat kuku mempertahankan dirinya menyebabkan kanak-kanak  tersebut berundur kerana hampir dicakar. Aku bimbang kucing tersebut akan disakiti orang kerana terlihat cuba mencakar kanak-kanak tersebut selain  itu bimbang juga jika kanak-kanak itu turut tercedera dek tindakkan kurang matangnya...

Kebetulan  ada '99 Mart' bersebelahan lalu aku beli sekeping wetfood dan mengumpan ibu kucing tersebut keluar dari klinik. Kanak-kanak tadi turut mengekori jejakku ke luar pintu. Aku katakan pada kanak-kanak  itu dengan lembut sambil memberikan sekeping wetfood pada ibu kucing tersebut : kucingpun ada rasa sakit, macam orang yang datang nak jumpa doktor kat sini...




Alhamdullillah  kanak-kanak  itu mula menyantuni ibu kucing tersebut apabila melihat aku memberi wetfood tersebut. Ibu kucing itu kelihatan  sangat lapar dan sarat...tetapi sangat 'ramah' dengan manusia. Sejak itu, setiap kali aku menemani  suami, aku akan belikan wetfood pada ibu kucing tersebut yang kebetulan berada  di situ sekitar 10pagi.

'Miau...mungkin ini kali terakhir kita bertemu kerana aku juga akan bersalin pada bila-bila masa nanti, semoga Allah melindungimu...',  kataku pada ibu kucing tersebut.

Setiap makhluk dijanjikan Allah rezekinya masing-masing  dan aku hanyalah insan yang digerakkan hati olehNya sebagai perantaran. Semoga ibu kucing ini mendapat tempat yang sesuai dan selamat  untuk beranak nanti. Tiba-tiba rasa sayu...tolong jangan tanya kenapa tidak aku bawa pulang saja ibu kucing ini. Selagi aku ke sini dan terlihat kelibatnya Insya'Allah akan terus 'kusantuni' ia.


Mood kemas rumah & memasak


' ..dalam setiap doa kuselitkan permintaan agar proses bersalin berjalan lancar,terasa pantas pula masa berlalu. Kutitipkan hanya pada Allah diriku dan kandunganku, mohon keampunan agar bersih dari dosa...bebas dari noda...'


Aku semakin aktif mengemas rumah. Walaubagaimanapun aku tetap beringat dan kerja-kerja dilakukan dengan hati-hati. Apa-apa saja boleh berlaku andai cuai. Amalan pemakanan yang aku amalkan di saat-saat akhir  ini adalah meminum air kelapa pandan, buah delima dan kurma, selain meneruskan pengambilan kapsul minyak zaiton. Aku mula rasa muak dengan pil susu kambing namun aku cuba menggantikan tambahan kalsium dengan susu kotak pula. Suami perlu berpantang kerana luka pembedahan kecil di kepalanya belum sembuh sepenuhnya. Setiap hari walaupun lesu aku akan buatkan singgang dan ikan goreng kegemaran suami. Rasa puas dapat memasak untuknya. Aku 'buat kuat' dihadapannya agar dia tidak perasan kelesuan aku. Jika dah bersalin nanti banyak yang  suami perlu  buat sendiri. Biarlah air tanganku mengakhiri selera tekak suamiku sebelum aku melakukan perjuangan yang hanya Allah yang tahu awal dan pengakhiranya.

1 minggu sebelum 'due date' :11 am, asyik terkucil.


Air zam-zam menjadi pilihanku hari ini...

Entah mengapa  sepanjang hari ini tiba-tiba rasa nak terkucil. Agak kerap sehingga selepas buang air kecilpun aku terkucil sendiri sehingga terpaksa  pakai pad. Aku mula keliru adakah air ketumban yang mengalir kerana tiada bau hancing kencing tetapi berdikit-dikit  pula. Adakalanya terkucil setelah 'mengucil'. Aku terus menghubungi kakak untuk  kepastian. Kakak kata kebiasaannya air ketuban kalau pecah akan mengalir sekali bukan sikit-sikit, tetapi kalau was-was hari ini atau esok seeloknya buat pemeriksaan doktor. Aku sendiri tidak rasa apa-apa kontraksi kecuali sedikit senggugut ringan, maka aku abaikan saja dan menganggap rasa terkucil ini merupakan gejala akhir kehamilan kerana kepala bayi sudah berada di bawah dan menekan pundi kencing. Maklumlah seminggu lagi 'due date'nya.

 4 pm : tanda darah...

Sedang aku mulai baring tiba-tiba terasa ada satu tusukkan pantas tapi lembut dari dalam tempat peranakkanku. Ketika itu aku baru minum segelas air zam-zam. Terasa macam ada belon yang ditebuk dari dalam... tetapi tidak sakit. Kelihatan tanda darah! Aku cuba tenangkan diri. Pesanan dari klinik desa kalau ada petanda sebegini perlu laporkan diri di hospital. Aku terus ke bilik air mandi dan menukar baju...makanan si lola,lulu dan lala kupastikan terisi penuh. Aku ingat lagi perbincangan perkongsian pengalaman dengan kawan-kawan . ..jika tidak ada kontraksi walaupun ada tanda darah tak semestinya  bersalin ketika itu. Maka bertenang dan bersiap untuk buat pemeriksaan. Setelah siap baru aku kejutkan suami yang baru saja lena. Suami agak terkejut dengsn situasi tersebut. Pada mulanya aku ingin membuat  pemeriksaan di Poliklinik ibu dan anak (Alia) terlebih dahulu malangnya pada  hari  minggu  ia tutup sementara dan hanya  beroperasi semula jam 5pm. Kami mengambil keputusan  untuk terus ke Hospital Bersalin Razif. Jika diizinkanNya mungkin aku akan terus daftar untuk bersalin andai benar hari ini detiknya.

Kerana 'Ahad' : Kekecewaan  di sebalik tirai besi....

Pintu masuk utama Hospital  Razif  ditutup pada hari Ahad tetapi pintu kemasukkan bersalin terbuka 24jam dibahagian tepi. Akan tetapi kami perlu mendaki tangga 1 tingkat terlebih dahulu. Aku anggap ini senaman yang baik  di saat-saat akhir, namun aku mula bayangkan...'macam manalah nak  panjat tangga ni kalau tiba-tiba perut dah sakit?...

Tiba di tingkat satu geriji pintu berkunci. Mungkin atas dasar keselamatan. Kelihatan jururawat  melakukan  kerja-kerja  mereka. Aku mula rasa teruja. Aku menekan buzzer loceng dengan harapan dapat menemui doktor. Seorang jururawat  berbaju biru menghampiri kami di sebalik 'tirai besi' yang masih berkunci. Perbualan berlaku di situ sahaja walaupun aku membawa kad klinik. Aku sangka kami dapat masuk untuk membuat pemeriksaan kerana 'keluar tanda'. Perbualan berbunyi lebih kurang begini...

Saya : Assalammualaikum  cik, 'due date' saya 15hb ni (lagi seminggu) tapi baru tadi ada keluar tanda darah. Boleh tak saya jumpa doktor untuk pemeriksaan? (Niat hati nak 'comfirm'kan keadaan.)

Jururawat : Puan ada rasa kontraksi atau sakit-sakit?

Saya : sikit-sikit macam sesunggut. Tapi ini anak pertama saya, agak keliru sikit perasaan ni sebab tengahari  tadi asyik terkucil dan ada air jernih mengalir selepas itu, tak tahu sama ada terkucil atau air ketuban pecah.

Jururawat  : doktor tak buat 'klinik' hari ni melainkan kes bersalin. Kita hanya boleh wadkan puan dulu. Ataupun puan datang esok pagi bila rasa dah sakit baru datang. Lagipun puan tak ada sebarang kontraksi...biasanya pengalaman  anak pertama ni lambat sikit.

Saya : (aik aku ni bukan kes bersalin ker? Serba salah, macam mana kalau tanda darah ni membawa kepada saat-saat bersalin? Atau dibuatnya aku masuk wad lepas tu seminggu baru bersalin tak ke kes haru. Tiada penjelasan yang lanjut tentang ertikata/atau apa yang aku akan terima jika 'diwadkan'. Sekurang-kurangnya  kalau dapat buat pemeriksaan oleh mereka yang bertauliah taklah aku kalut, ini borak disebalik tirai besi berdasarkan pengalaman saja).." err jadi kes saya ni macam mana ye, kalau boleh nak 'comfirm'kan dulu dengan doktor".

Jururawat  : rasanya datang esok pagi sahaja untuk pemeriksaan atau bila dah rasa kontraksi.


Naluri seorang suami....

Perbualan  dengan jururawat tadi diakhiri dengan senyuman. Akupun beralah saja lagipun perut tak rasa sakit. Malu pula rasa nak kembali ke sana. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aku cadangkan pada suami agar pulang  sahaja. Mungkin aku terlalu berlebih-lebihan nak buat pemeriksaan. Akan tetapi suami  pula rasa terkilan dan tak sedap hati. Kata beliau sekurang-kurangnya dapatkan kepastian dan pemeriksaan doktor bukannya menerima cadangan jururawat berdasarkan pengalaman beliau semata-mata.

'Bukankah klinik desa dah pesan kalau ada tanda jer buat pemeriksaan nanti kalau jadi apa-apa menangis tak berlagu', suami memujuk agar kami ke HTAR saja memandangkan lokasinyapun berhampiran dengan kami ketika itu.

Seram sejuk rasanya. Kata-kata suami ada kebenarannya.

Serah diri di HTAR, Klang.

Tiba di HTAR kami melaporkan  diri di bilik kemasukkan  ibu bersalin (saringan). Sebelum itu sempat berjalan jauh dari parkir. Bukan suami tak mahu turunkan hampir di pintu masuk tetapi aku sengaja mahu beriringan dengannya walaupun berjalan jauh. Alhamdullillah dipermudahkanNya  untuk mendapat parkir. Aku pegang erat tangan suami. Manalah tahu...kena masuk wad. Mujur GL telah kusediakan sejak awal bulan lalu.


Kurang lebih jam 4.40pm

Tiba di bilik saringan aku ditemubual tentang keadaanku. Aku turut menceritakan dari A-Z berkaitan cecair dan tanda darah. Melihat pada keadaanku yang 'tidak luarbiasa' jururawat  HTAR juga menyatakan  jika ada tanda darah sedikit tak semestinya akan bersalin. Melainkan jika aku tidak berpuas hati  dengan  tindak balas  bayi maka mereka akan membuat pemeriksaan. Kalau diikutkan  memang aku puas hati dengan kandunganku tetapi aku tak puas hati dengan kekeliruan ini. Lalu aku beritahu saja aku tak puas hati dengan  pergerakkan bayi sebab tak mahu ia berpanjangan. Yang penting kami dapat penjelasan dan diperiksa oleh mereka yang bertauliah. Lagipun aku jelaskan pada mereka bahawa aku hanya mengikut arahan/nasihat klinik desa agar melaporkan  diri  ke  hospital  jika keluar sebarang tanda yang berkaitan tanpa atau dengan kontraksi. (Aduh datang salah, tak datangpun salah...mmm, mungkin aku yang 'berlebih-lebih'?, nyesal lak menyerah diri).


Konstraksi pertama
Ketika  itu  jururawat  sibuk dengan urusan lain, namun mereka terima juga permintaan  aku untuk diperiksa walau kelihatan aku biasa-biasa sahaja. Ini yang buat aku kagum dengan petugas HTAR. Akupun tukar baju pink. Bila dah tukar baju aku diminta berbaring di katil saringan dan diberi 'talipinggang' elektronik berwarna hitam. Ada beberapa orang bakal ibu baru dan baharu sedang diperiksa. Aku dibiarkan seketika dan seorang doktor wanita cina yang comel persis budak sekolah menengah menemubualku. Dalam perbualan itu tiba-tiba aku rasa sakit yang agak luar biasa tetapi seketika sahaja. Jururawat  kata ada sedikit kontraksi. Dia 'menggosok-goncangkan' perutku. Tak ingat pula kenapa. Hati mula berdebar-debar. Kemudian aku ditinggalkan semula. Dan dalam masa setengah jam rasa sakit mula menujah...rasa macam nak buang air besarpun ada, nak putus pinggangpun ada. Dalam pada itu seorang lagi doktor menemuramah kali ini suara aku dah tersekat-sekat menahan sakit.Tangan mula memegang besi sisi katil. Aku diam seribu bahasa cuba 'menikmati' detik-detik ini setelah perbualan tamat. Takut nak mengadu. Seorang doktor lelaki asyik melirik ke arah aku. Bukan lirikkan manja (jangan salah faham) tetapi jelas terpampang kebimbangannya terhadap aku. Aku pula hanya berpaut pada besi katil menahan sakit.Bimbang menyusahkan petugas kerana perasaan ini mungkin normal.
'Err cepatlah masukan patient  ni ke wad, ada yang terberanak kat sini nanti...'akhirnya doktor tersebut bersuara.
Jururawat  tenang sahaja dan memaklumkan  bahawa belum dapat lampu hijau ke wad(wad penuh). Salah seorang dari mereka siap pujuk aku agar bersabar. 'Lagipun ini anak pertama, lambat sikit',seorang jururawat  berseloroh. Sama jer kata2 mereka. Aku buat2 faham walau hakikatnya  aku sendiri tak faham dengan tubuhku yang semakin 'tenat' nie!

Sakit kuat
Seorang doktor memeriksa  'laluan' ... katanya ada bukaan. 'Ini 'fast delievery nie'..kata doktor tersebut. Tetapi tiada tindakkan diambil memandangkan aku sedang menunggu kemasukkan  wad. Mungkin bukaan tidak membimbangkan mereka.Tetapi aku mula rasa sangat tersiksa. Semakin kuat debaran seiring dengan rasa sakit yang menjadi-jadi dalam masa kurang sejam...ia datang dan pergi. Setiap kali rasa sakit itu pergi rasa lega sangat...namun baru nak rasa selesa ia kembali...hanya Allah yang tahu perasaanku. Aku tak lepas mengucap...berzikir dan menyebut namaNya Ya Fatah...Ya Muhaimin...Laillahaillahantasubhanakainnikuntuminalzolimin....mohon kekuatan, perlindungan...keampunan dan kemudahan...di saat kesakitan ini aku redhakan hati menerima sebarang kemungkinan  yang  bakal kuterima. Jururawat  turut mengingatkan aku tentang zikir. Aku sedar tiada siapa yang mampu 'mengubat' rasa sakit ini. Tak guna mengadu pada doktor dan jururawat hatta suamiku sendiri melainkan mengadu padaNya. Aku juga sempat memujuk hati...ini baru tanda, mungkin aku akan melalui perasaan ini sepanjang hari sebelum  bersalin.

Seorang  jururawat  senior  yang  melihat pautanku pada besi katil pula bersuara 'dah nampak macam sakit kuat tu...' lantas doktor yang tak senang duduk tengok aku tadi menghampiri sambil diiringi  seorang jururawat.

'Maaf puan, saya terpaksa  periksa....'

Aku relakan saja di saat kesakitan  ini, walaupun rasa macam baru 10minit doktor pertama memeriksa bukaan. Hanya tawakal dan berigstirfar  di dalam hati. Mohon segalanya  dipermudahkanNya.
Tiba-tiba keadaan jadi kelam kabut selepas doktor tersebut membuat  pemeriksaan.

'Cepat hantar kat labour  room!!!' -doktor
'Ha cepatnya!!!' - 2 orang jururawat mula menggelabah.

6.00-6.15pm
Macam tak percaya aku akan mulakan perjuangan sebentar lagi. Tanpa sedar airmata kesakitan telah mengalir. Tangan yang berpaut pada besi katil  dilepaskan dan diminta oleh jururawat untuk menampung perut. (Rasa macam nak meneran tapi kutahankan jebat! ) ketika diusung keluar aku sempat tersenyum apabila melihat suamiku disisi turut mengiringi jururawat  yang kelam-kabut mengejar lif. Soalan dari suami hanya dapat kubalas dengan senyuman yang terketar-ketar, pasti suami sendiri terkejut kerana sebelum ini aku biasa-biasa sahaja, tiba-tiba suasana dah bertukar.

'Puan tahan dulu, puan....sabar!' Pujuk seorang jururawat .

Rembat lif
Ketika itu keadaan agak sibuk kerana waktu melawat. Mana-mana lif yang terbuka dahulu walaupun sudah ada orang diminta untuk keluar. (Rasa istimewa pulak...hihihi) jururawat  menjerit minta tolong agar orang ramai tidak menekan butang lif yang lain untuk melancarkan perjalanan ke dewan bersalin.

Ketika memasuki sekitar dewan bedah, aku sudah tidak mempedulikan suasana sekeliling. Orang kata ada rasa 'horror' jika di HTAR kerana sempat melihat wanita-wanita lain bersebelahan tetapi yang aku perasan aku dimasukkan di satu ruang tidak berpintu namun begitu tidak ternampak pula kelibat wanita lain melainkan suara-suara bidan dan doktor yang sedang berusaha keras menyambut kelahiran. Ia macam sebuah tempat yang ada bilik-bilik kecil untuk bersalin.

Seterusnya dalam 'perjuangan'  tersebut tidak perlulah aku perincikan tentang cm bukaan, jahitan dan sebagainya. Rasa agak peribadi untuk dicatatkan disini. Tepat jam 6.40pm aku berjaya melahirkan seorang seorang hamba Allah...umat nabi Muhammad  S.A.W...bersyukur kehadratNya kerana jangka waktu antara konstraksi dan bersalin tidak terlalu lama. Alhamdullillah dipermudahkanNya. Aku terharu dan sebak di atas rezeki yang Allah berikan pada kami di saat-saat genting ini. Bersyukur kerana Allah menggerakkan hati suami untuk membawa aku ke HTAR setelah gagal mendapatkan jawapan yang memuaskan hati sebelum ini. Walaupun aku tidak dapat meneruskan hajat pertama untuk bersalin  di  Hospital Bersalin Razif, ini juga sebahagian dari rezeki pemberian Allah...untuk selamat melahirkan pada masa dan tempat yang betul. Kita hanya mampu merancang tetapi perancangan dari Allah itu lebih baik. Insya'Allah  duit untuk bersalin di Hospital Razif akan digunakan untuk akiqah anak. Selain itu aku kagum dengan petugas perubatan HTAR yang membantu sepanjang proses bersalin dan bantuan di wad. Biarlah tidak dilayan bak v.i.p asalkan keperluan dan pemeriksaan yang perlu dapat diterima. Jururawat  di wad bersalin pula agak komited dan tidak lokek membantu aku yang terkapai-kapai menguruskan  bayi buat pertama-kali. Cuma pinggang agak sakit ketika mengambil anak di sisi katil yang agak tinggi di HTAR.

Aku harap hospital-hospital bersalin akan lebih mengambil-berat  tentang hal berkaitan tanda-tanda bersalin yang nampak 'ringan', terutama petugas di Hospital Bersalin Razif. Bukan aku mahu memburukkan hospital  ini, tidak dinafikan Hospital Bersalin Razif  menjadi pilihan pertama aku sebelum ini. Barisan doktor di Hospital  swasta berkenaan juga telah berjasa menyambut ratusan insan ke dunia ini. Aku harap pihak mereka dapat menilai semula tentang pemeriksaan pesakit ketika hari cuti berkaitan tanda-tanda bersalin kerana kita tidak tahu bila kita akan bersalin sama ada waktu kerja...cuti ataupun lewat malam. Tidak semestinya anak pertama tanpa kontraksi awal seseorang wanita itu lambat bersalin. Biarpun nampak remeh dengan kehendak dan kuasaNya situasi  yang biasa akan jadi 'luarbiasa' dengan sekelip mata! 'Kun fayakun....'


Rezeki masing-masing  :   tak sangka setiap ibu dapat cenderahati ni di HTAR dari wad bersalin. :) memang seronok dapat 'jajan' tajaan. Taklimat dari jururawat  tentang kepentingan penyusuan ibu turut diadakan di sebelah pagi.


Ingatanku kembali pada suasana tegang di bilik bersalin. Walaupun aku tidak memperolehi 100 peratus petugas perubatan wanita & muslim tetapi aku redha dengan mudarat ini Allah mempermudahkan segalanya. Walaupun bernada tegas, Petugas/jururawat pula sering mengingatkan aku tentang igstirfar sepanjang tempoh perjuangan  tersebut malah ketika doktor bukan muslim mahu memotong tali pusat anak, petugas/jururawat   muslimah sempat memintaku/mengingatkan   agar berselawat ke atas junjungan besar Muhammad  S.A.W semasa proses tersebut. Terima kasih semua semoga Allah memberi balasan yang baik di atas tugas mulia kalian.

Alhamdullillah.




Tiada ulasan: