Selasa, 24 November 2015

Jurnal kehamilanku (7/akhir) : pengalaman berpantang bersama Natalis Beauty

Selepas melahirkan anak sulong di HTAR suami terus memaklumkan kepada Natalis Beauty (puan Suzy) untuk persediaan barangan mentah (dedaunan herba). Walaubagaimanapun  makluman kali ke-2 setelah keluar dari hospital perlu dilakukan juga.

Hari pertama aku masih  berada di HTAR, Alhamdullillah  setelah bayi dan aku disahkan sihat kami keluar dari wad pada hari ke-2. (Setelah bayi kencing & berak). Tak sabar rasanya menunggu kehadiran mak bidan.

Puan Suzy menghantar bidannya pada hari ke 3 (malam) dan kiraan hari akan bermula keesokkan harinya.  Aku memilih pakej bidan tinggal bersama selama  14 hari. Sebelum kehadiran mak bidan, aku dibantu oleh suami, adik dan ibu mertua. Mujur adik datang menunku tubuhku yang lemau.

Salam perkenalan
Memang pada permulaan  rasa kekok kerana ada 'orang asing' bersama. Adakalanya rasa bimbang...adakah aku membuat keputusan yang betul untuk khidmat ini? Namun aku ketepikan segala prasangka buruk dan belajar untuk menerima ilmu baru dan mungkin cara yang berbeza, tunggu dan lihat, beri peluang dan masa. Jangan 'stress' dengan pandangan orang lain atau mudah jatuh hukum dipermulaan pandangan dan bersedia untuk menyatakan penolakkan jika dirasakan sesuatu itu tidak sesuai. Aku sanggup membuat pelaburan ini bukan semata-mata untuk diriku dan bayi tetapi demi orang terdekat juga. Bayi bakal diamanahkan sementara buat insan yang baru kami kenali. Semoga Allah melindungi dan mempermudahkan segala urusan kami mahupun mak bidan tersebut.

Bidan yang akan bersama kami dikenali sebagai 'mak'. Seorang wanita berasal dari Medan awal 50an. Beliau kelihatan sangat berpengalaman.


Anti bedung
Cuaca bahang dan panas menjadi kebiasaan  bagi  kami  di kawasan  ini menyebabkan aku  tidak begitu tegar untuk membedung kemas bayiku.Malam itu, tak sampai 15 minit wajahnya yang kuning langsat sudah bertukar kepada merah kehitaman menahan panas dan ketidakselesaan. Tak sampai hati nak bedung lama-lama. Walaupun  mak bidan akan memulakan  tugasnya secara rasmi pada hari esok namun beliau tak kisah untuk mendapatkan  bayiku yang sedang menangis ketika itu. Terus dibedungnya kemas dengan kain batik. Memang bayiku nampak comel. Beliau juga menegur agar tidak menghalakan kipas secara terus kepada bayi dan aku. Namun, Kami agak kasihan dengan bayi yang dibedung kemas sebegitu rupa pada cuaca yang agak panas ini. Namun aku relakan saja. Selepas itu bayi kembali menangis lewat malam. Aku mengambil  keputusan untuk melonggarkan bedungan dan secara berperingkat  akhirnya bedungan itu terpaksa dileraikan terus.. Baru bayi senyap dan bangun hanya jika ingin menyusu.

Peranan bermula...
Sebelum Subuh mak bidan yang hanya mahu dikenali  sebagai  'mak' sudah mula bangun, bersiap untuk solat, memasak dan menyapu. Aku tidak mahu memberi arahan tentang tugas mengemas, cara dan susun atur rumah. Biarlah mak bidan buat ikut caranya agar tidak menyusahkan dan menyukarkan. Lagipun bukannya beliau akan bersama seumur hidup. Asalkan rumah bersapu dan jemuran diuruskan itu sudah cukup memadai. Namapun mak bidan takkan nak perah tenaga pada peranan yang bukan dalam skop kerjanya.

Air mandian bayi dan ibu juga  disediakan mak bidan. Lebih kurang jam 7 am 'mak' sudah mempersiapkan bayi untuk mandi. Pertama kali  bayi dimandikan mak bidan, bayi menangis sekuat hati. Aku lihat mak bidan mahir memandikan bayi dan tidak kekok membersihkan celah-celah kawasan daki yang perlu. Melihat pada cara pegangan dan basuhan, ternyata 'mak' ada 'skills/kepakaran' yang tinggi dalam bidang perbidanan.

Setelah bayi mandi, 'mak' akan membersihkan  tali pusat bayi yang masih belum tanggal termasuk keperluan membuang kotoran dan keputihan di kawasan sulit bayi. Kata  'mak' jika tidak dibersihkan bayi akan kegatalan dan tidak selesa. 'Mak' gunakan cotton but bayi ketika membersihkan tali pusat dengan bahan yang diberikan  oleh pihak hospital menurut  'mak' ia perlu dilakukan  dengan hati-hati  agar tali pusat hanya tertanggal ketika tiba waktunya...manakala keputihan dibersihkan pula dengan cotton but dan minyak bayi. Walaupun dengan hati-hati aku lihat cekap sahaja jari-jemari mak membersihkan kawasan berkaitan.
Bayi turut diurut dan ditunku  bagi merenggangkan dan melenturkan tubuhnya. Tangisan bayi semakin kuat dek urutan seolah-olah memprotes. Nampak macam kesian sehingga ibu mertuaku tak sanggup melihatnya. Namun aku relakan saja demi kebaikkan  bayiku, bukan aku tak 'terasa'...kerana aku yang melahirkan. Nampak macam 'kasar' tetapi aku percaya mak bidan tahu apa yang dilakukannya jika tidak pasti sudah 'sebakul' testemoni kekecewaan tersebar luas di internet... Selesai menguruskan bayi, bayi kembali dibedung kemas. Bab ini aku rasa kalut sikit sebab cuaca agak panas. Namun kerana baru selesai mandi aku anggap ia untuk melindungi kedinginan.

Cepat 'tangkap' suasana
Belumpun sampai tengahari  bedung bayi dibuka mak bidan. Kasihan katanya kerana cuaca yang membahang. Biarlah berbedung sekejap-sekejap selepas mandi sahaja. Rumah yang menjadi tugasan  'mak' sebelum ini semuanya jenis kondo. Berangin dan dingin. Mak bidan juga sudah tidak menegur tentang penggunaan kipas kerana telah memahami  suasana yang berlainan di sini untuk jangkawaktu yang singkat. Malah berasa kasihan untuk membedung bayiku. Lega rasanya. Sejak itu bayiku jarang dibedung kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Bayiku hanya dibedung seketika selepas mandi pagi. Jika ada jiran-jiran melawat baru kubedung kerana mereka rasa pelik dan perlu melihat bayi dibedung. Itupun sementara kekalnya. Kulit bayiku yang kuning langsat akan bertukar gelap kemerah-merahan dek menahan kepanasan.

Sebelah petang pula bayi dimandikan seawal jam 4 petang.Setelah menguruskan mandian, urutan dan tunku bayi giliran 'mak bayi pula bersauna,bertangas, mandi herba, berurut(pagi),berbarut dan bertunku..'.hehehe! Semua sekali siap dalam jam 5 lebih atau 6petang(sebelum jam 7.00 malam). Ketika Maghrib aku diminta memangku dan sentiasa bersama bayi.

'Lari' pakej
Masuk hari ke2 aku perasan ada kekurangan 'servis' dari pakej yang aku ambil. Sebenarnya dari hari pertama dah perasan (bayar kate ko...kuikui)tetapi aku sangka mungkin servis tersebut belum dimulakan. Tetapi bila dah masuk hari ke2 ia masih tidak dimulakan aku rasa satu keperluan untuk bertanya pada 'mak' tetapi 'mak' kata petang tak ada  mandian dan tunku tersebut. Mungkin pemahaman 'mak' terhadap pakej ini berbeza sebab aku tengok 'mak' macam 'blur' jer(tak fasih). Untuk kepastian aku menghubungi  semula Puan Suzy berkaitan hal tersebut. Mujur segala salah faham terlerai dan aku mendapat hak yang sepatutnya. Sebagai ganti, Puan Suzi memberikan aku 2 sessi berurut. Terubat rasa kekurangan :) . Aku tidak menyalahkan 'mak' kerana dia mungkin keliru dengan berbagai pakej yang pernah dilakukannya. Oleh kerana itu, pengajarannya kepada pelanggan jangan bimbang untuk menyuarakan masalah atau kemusykilan demi kepentingan bersama selain menyimpan memori pakej yang kita minta di telefon bimbit dan sebagainya. Untuk penambahbaikkan  kepada pihak Natalis Beauty saya cadangkan agar mak bidan diberikan salinan pakej yang diambil bagi mengelakkan kekeliruan.



Bersauna, bertangas,mandi herba, berbarut,bertunku dan berurut...begitulah seterusnya disebelah pagi & petang setiap hari (kecuali urut ibu hanya disebelah pagi). Urutan 'mak' memang terbaik lebih-lebih lagi  aku memang suka urutan yang kuat disamping tunku di setiap inci tubuh. Rasa berkurangan bisa-bisa sendi. Tersangatlah 'best'.

Pihak Natalis Beauty  menyediakan  1 barut ibu,namun ada 3 jenis lagi pemberian  adik dan kakak. Semuanya jenis yang berbeza. Kagumnya aku sebab ia tak jadi masalah untuk 'mak' kerana semua jenis barut yang ada beliau mahir gunakan. Jadi aku 'joli' barut pagi dan petang berlainan. Setiap hari berbasuh dan tak perlu berlapik kain batik terlebih dahulu untuk elak barut kotor.

Walaupun rasa 'dimanja' dengan urutan dan sebagainya badan tak lari dari rasa keletihan kerana bayiku sangat kuat menyusu siang dan malam. Badan dan pinggang semakin sengal dek keaktifan penyusuan. Namun ianya sangat baik demi kesihatan  bayi dan pengecutan rahim (sumber taklimat ibu-ibu di HTAR) Mujurlah aku ambil pakej urutan setiap hari sepanjang 14 hari ...dapat juga merenggangkan ketegangan urat saraf.


Jamu wangi
Bau jamu berasaskan manjakani, kunyit, gula merah dan sebagainya merupakan satu-satunya jamu dalaman yang disediakan  oleh 'mak' tetapi aku terpaksa menolak pengambilannya kerana bayi ada sedikit kuning dan pendedahan bayi terhadap kunyit,lada dan halia tidak digalakkan doktor untuk jangkamasa terdekat. Sempat juga aku minta 'mak' sejuk bekukan jamu tersebut untuk kegunaan di masa akan datang. Salah seorang
jururawat  klinik desa yang membuat lawatan juga tidak menafikan 'kehebatan' jamu tersebut cuma pengambilannya  perlu dielakkan sehingga bayi benar-benar mendapat bacaan kuning di bawah 150. Sementara itu kami ikhtiarkan cara tradisional dengan memandikan bayi dengan air rebusan daun inai. Selama tiga hari berturut-turut  juga 'mak' melayurkan daun sireh dan diletakkan pada perut bayi bagi tujuan penawar 'kuning'.


Jamu 'mak' di stok bekukan.

Alhamdullillah  dengan izinNya selera bayi terhadap penyusuan sangat baik,malah bayi juga tiada masalah buang air besar. Bacaan kuning semakin menurun dari 206 - 176 -169. Walaubagaimanapun jururawat  klinik desa masih menyarankan untuk ke Klinik Pandamaran  bagi pemeriksaan dan pemantauan selagi bacaan tidak menurun ke 150.


Serasi bersama
Baru masuk 3 hari kami semakin serasi. Mak bidan ni sebenarnya  pemalu sikit jadi kita kenalah ringan buka mulut agar mak selesa dengan tugas yang dilakukannya. Sempat juga aku temuduga  'mak' berkaitan pengalamannya dalam bidang perbidanan. Rasa bertuah pula dapat 'mak'. Rupanya di Medan, 'mak' sendiri merupakan bidan yang sangat  aktif bukan setakat menjaga ibu dalam  pantang malah telah menyambut ramai kelahiran di daerahnya. Di Medan juga, beliau mendapat pengajian/kursus perbidanan dari rumah sakit di sana dan perlu berdaftar bagi mendapat pengiktirafan. Kita biasa kenal atau jumpa ramai mak bidan yang menjaga ibu selepas pantang tetapi jarang sekali mengenali mak bidan kampung yang kebiasaannya menyambut kelahiran. Mungkin taraf hidup dan kos perubatan yang tinggi membuatkan ibu-ibu di daerah beliau lebih senang dengan cara tradisi selain keyakinan yang tinggi pada 'mak'. 'Mak' agak kagum dengan sistem kesihatan kita yang memantau perkembangan bakal ibu dan ibu-ibu baru melalui klinik desa. Beliau juga memuji kehadiran jururawat desa yang  hadir secara percuma dari rumah ke rumah. Aku juga tidak melepaskan  peluang untuk menimba ilmu dari mak selain tips berguna dalam mengendalikan bayi.

'Mak' juga biasa mencukur rambut bayi dan sering terlibat dalam majlis mencukur di tempatnya. Tujuannya ke Malaysia  selain pendapatan  yang lumayan adalah untuk menambahkan lagi ilmu perbidanan disamping mempelajari cara tradisi yang dimodenkan.

Antara pakej yang ditawarkan oleh Natalis Beauty:-
Harga setakat Nov 2015

Masak sendiri
Masakkan 'mak' biasa-biasa sahaja. Selama 3-4 hari aku biarkan saja 'mak' masak untuk aku, tunggu dan lihat ...jujurnya aku tidak begitu teruja nak makan 'cara masakkannya',(maaf ya!) mungkin kerana perbezaan budaya. Tambahan pula kehadiran   'mak' tak sampai setahunpun di Malaysia. 'Mak' sendiri memohon maaf kerana tidak tahu masakkan pantang yang sesuai dengan tekak kami. Aku sedar dalam masakkan berpantang kita tidak boleh memilih sangat cuma nampaknya aku lebih selesa menyediakannya sendiri. Tetapi 'mak' ringan tangan di dapur. Jika aku memasak 'mak' akan membantu aku dalam penyediaan bahan dan sebagainya. Paling kesian, aku yang 'sepahkan' dapur 'mak' tukang kemas. ' Mak' tak bagi aku basuh periuk dan cucian. Jika kita nak minta 'mak' masak cara kitapun 'mak' sedia ikutkan cuma sebagai 'orang muda' adakalanya rasa kekok dan tak sampai hati nak bagi 'arahan' pada 'mak'.

Bantu kurangkan sembelit selepas kelahiran: pengambilan buah-buahan dan jus oren.

Selepas ini saya cadangkan agar pihak Natalis Beauty memberi kursus kepada bidan-bidan mereka untuk masakkan berpantang selera malaysia kerana ia melibatkan pakej@servis yang ditawarkan. Ada juga perbezaan makanan yang 'boleh dan tidak' ketika berpantang misalnya menurut 'mak' segala jenis sayur boleh dimakan manakala jika ikut cara kita sayur yang menjalar dan sejuk tidak sesuai ketika berpantang. Serba salah apabila 'mak' tawarkan telur asin. Begitu juga dengan tapai ubi yang menurut 'mak' adalah sangat baik ketika berpantang tetapi bagi kita sebaliknya pula(kalau diikutkan hati tapai ubi tu 'favourite'!!). Mana yang ringkas sudah mampu kubuat sendiri lebih-lebih lagi sessi memanjakan badan dengan 'mak' menambahkan kecergasan seawal minggu pertama namun masih perlu berhati-hati. Sebenarnya aku tidaklah cerewet dalam masakkan sebaliknya sangat ringkas. Cukup dengan sayur yang dicelur,ulam dan ikan bakar asalkan ikan tersebut dibasuh dan direndam dengan perahan limau terlebih dahulu. Tidak mengapalah, yang penting  bayi diuruskan 'mak' dengan begitu baik sekali (mandi, urut,tunku bayi) selain urutan dan tunku 'mak' yang memang tip top! Jadi dalam hal ini akupun tidak berapa kisah tentang hal masak-memasak.

Jika ambil pakej penuh, walaupun berbayar kita harus tahu apa yang diperlukan dan tidak diperlukan  dalam beberapa situasi. Contohnya masuk hari ke 9 aku dah tak selesa bertangas...jadi aku 'let go' 3 hari sessi tersebut. Jika perasaan 'merana' itu dirasakan satu kemudaratan adalah lebi baik elakkan kerana penerimaan masing-masing  adalah berbeza.


Masakkan suami: siakap bakar bersama peria bening.
Walaupun tidak memenuhi kreteria dalam masakkan pantang, kekurangan itu berjaya 'mak' atasi dengan cara lain. 'Mak' sendiri tidak berkira ketika melakukan kerja-kerja asas di rumah. Bukan sahaja baju aku dan bayi 'mak' uruskan tetapi juga pakaian suami. Sepanjang 2 minggu bersama 'mak' membasuh pakaian kami dengan mesin basuh sebaliknya pakaian  sendiri dengan cucian  tangan. Kesian juga aku tengok, walaupun  aku pelawa agar basuh sahaja sekali ke dalam mesin basuh 'mak' lebih selesa  dengan caranya. Suatu pagi aku lihat mak baru selesai 'mengemop' lantai...tetapi dengan cara 'orang lama' tanpa mop (lap guna kain). Aku nak tunjuk jer mop yang ada mungkin mak tak pernah guna jadi aku biarrkan saja sebab makpun dah hampir selesai. Peranan 'mak' sebenarnya sama sahaja macam bidan-bidan yang lain cuma bezanya beliau tinggal bersama, mereka dibayar untuk  skop tugas/pakej mereka janganlah kita mengambil kesempatan lebih dari itu kecuali jika mereka sendiri yang mahu melakukannya.

Bayi seronok
Setelah beberapa hari bersama 'mak', Bayi juga sudah tidak menangis ketika diurut dan dimandikan. Semakin selesa dan serasi bayi di dalam dakapan 'mak'. Tubuh bayi semakin segar dan angin juga mudah keluar dari badan si kecil apabila bertunku pagi dan petang. Aku tak jemu melihat cara 'mak' memandikan dan mengurut bayi. Aku harap sepeninggalan 'mak' nanti ilmu yang ditinggalkan dapat aku praktikan dengan baik.

Walaupun dengan kehadiran 'mak',  bayi sentiasa bersamaku siang dan malam. Aku lebih selesa begini daripada menyerahkan bulat-bulat bayi kepada 'mak'. Bukan kerana tak percaya tetapi rasa tak sampai hati nak berenggang dengan anak tambahan pula bayiku kerap menyusu tak kira waktu, takkan sehari sepuluh kali mak bidan nak ketuk pintu bilik untuk 'sua' bayi padaku. Biarlah 'pampers' aku tukar sendiri ketika tidur bersama dan menyusu mengikut kehendaknya. Biarpun letih saat-saat ini terasa rugi untuk dilepaskan...

Tanggal tali pusat
Alhamdullillah  genap hari ke-7 tali pusat bayi tertanggal bersaksikan kunjungan mak saudara suami (mak teh). Selepas ini tugas memandikan bayi akan lebih mudah. Tidak risau sekiranya ada tekanan pada lampin. Namun begitu, menurut 'mak' kita masih perlu berhalus di kawasan pusat dan masih perlu membersihkan kawasan berkaitan dengan lembut. Untuk membenamkan pusat yang terjojol, 'mak' membalut duit 5sen dengan tisu untuk ditindih di atas barut bayi di kawasan pusat untuk beberapa  hari.

Cukur rambut

Demi sunnahmu ya Rasullullah  kekasih Allah....

Kami mencukur rambut bayi dengan bantuan 'mak'. Kalau boleh suami tidak mahu bertangguh tentang hal ini. Lagipun alang-alang sudah ada 'mak' yang berkebolehan  mencukur rambut bayi. Tenang sahaja bayi kami ketika 'mak' mencukur rambutnya hingga botak. Bagai dibelai untuk tidur. Tak nangis langsung!

Alhamdullillah  segalanya selesai dengan baik. 'Mak' tak letak harga untuk khidmat mencukur  rambut sebaliknya ikhlas seberapa  upah dari kita.

(Suami membawa rambut bayi ke pejabat zakat untuk timbangan dan urusan seterusnya).

Lulur

Setiap  kali  sebelum  membarut ,  tubuhku dilumur  pilis  ringan  yang  dicampur dengan  beras  tumbuk  dan  cengkur, tujuannya untuk membuang rasa bisa-bisa sendi  dan  tulang.  Kapur bersama perahan limau  nipis  turut dilumur pada perut. Tetapi aku kecualikan kawasan pusat kerana terasa pedih/lecur setelah beberapa hari. Kulit dalam pusat ni sensitif sikit. Biarlah buncit sikit sebab tak sanggup menahan pedih tu!!!hahaha. Akan tetapi perutku semakin kempis dengan jayanya.

Masuk hari ke-7 juga aku dilulur 'mak'. Tujuannya untuk membuang 'karat' kulit. Rasa macam kena urutpun ada,memang 'best'. Teknik lulur ''mak' juga 'ala-ala' urut...cuma bahan/skrub lulur yg digunakan agak 'kasar' untuk kulit aku (macam kertas pasir! mungkin kerana kulitku yang sensitif) mujur luluran 'mak' 'best' kalau tidak dah lama aku 'lari'(wakaka). Rasanya kalau guna skrub Mary Kay atau Mustika Ratu lagi selesa... Tetapi rasa tak puas dilulur 'mak' buat kali pertama apabila bayi mula menangis minta susu. Segala pujuk rayu oleh si suami tidak berjaya bila bayi berkehendakkan susu yang teramat biarpun selepas bayi dimandikan tadi susu telah diberikan. Begitulah yang terjadi ketika berurut, tak senang hati dibuatnya. Adakalanya terpaksa menghentikan urutan atau menyambung tunku kemudian.



Akhirnya  aku buat 'plan B' iaitu memerah susu badan ke dalam botol. Ternyata kaedah tersebut membantu, ketika aku sedang berurut dan bayi meragam susu, suami yang masih bercuti akan memberi susu kepada bayi. Mujur bayiku mudah menerima 'puting botol'dari papanya, maka sessi urutan tidak terhenti atau terganggu.


Bebas kuning


Tanpa amalan jamu: pengambilan susu kambing, madu dan kurma  masih ku amalkan untuk kesihatan dalaman.

Setiap kali ada temujanji klinik, ' mak' akan mempersiapkan kami lebih awal. Ironinya, walaupun nampak terlalu awal tetapi kami 'siap' tepat dan sesuai pada masanya. Bijak betul 'mak' mengatur masa.

Alhamdullillah  bayi telah bebas kuning. Setelah hampir 7 hari berusaha bacaan menurun kepada 121. Tidak perlu berulang ke klinik kesihatan selepas ini. Namun, cuaca panas menyebabkan ruam pada pipi bayi, adakalanya kami terpaksa memasang penghawa dingin untuk bayi (kadar perlahan). Sempat juga aku minta krim ruam untuk bayi di Klinik Kesihatan. Doktor juga tidak menggalakkan penggunaan bedak.



Kelebihan  sauna dan bertunku 
Sejak bersama ' mak' setiap hari aku bertunku. Jururawat  desa yang membuat pemantauan berkala juga kagum dengan perkembangan tubuhku terutamanya rahim yang sudah mengecut dalam jangka waktu yang singkat. Tiada masalah untuk aku mengenakan seluar lamaku yang sebelum ini kusimpan macam 'tukun tiruan'.  Air susu juga mudah kukumpulkan setiap kali bertunku.

Setiap pagi dan petang aku akan bersauna pula. Kadang-kadang rasa  sayang nak keluar dari sauna tu sampai berpeluh-peluh. Tapi tak sampai 10 minitpun aku dah tak tahan tetapi puas hati bila 'peluh jahat' tu keluar. Mujur ada ruang basuhan yang sesuai dan 'peribadi' untuk menempatkan alat sauna ni.

Sedia uncang: selepas 'pemergian mak' nanti, serbuk mandian herba pemberian seorang rakan setugas (jijah) akan digunakan menghabiskan baki hari berpantang.

Hari terakhir

Semalam merupakan hari terakhir 'mak' bersama kami. Cepat betul  masa  berlalu. Terasa macam  semalam 'mak baru tiba. Namun baru hari ini /keesokkan pagi (25.11.15)puan Suzy dapat menjemput 'mak'. Bayi masih diuruskan 'mak' seperti biasa manakala semalam untuk hari ke-14 ini aku dilulur buat kali yang ke-2. Banyak ilmu baru yang kuperolehi kian hari bersama 'mak'. Terasa keldil diri ini dalam menguruskan  bayi.  Walaupun sepatutnya khidmat mak telah berakhir tetapi pagi ini sebelum dijemput pulang 'mak' sempat memandikan dan menunku bayi atas dasar kasih sayang. Dapur juga dibersihkan dan 'mak' turut mencuci cadar serta sarung bantal yang digunakan. Sebolehnya 'mak' mahu meninggalkan kediaman kami dalam keadaan yang bersih dan teratur. Rasa terharu pula dengan komitmen 'mak'. Sebelum pulang sempat aku memeluk erat 'mak' dan bersessi foto bersama bayi. Suami juga sempat membelikan 'mak' kismis dan kurma sebagai buah tangan untuk mak kerana melihat 'mak' gemarkan buah kurma@tamar. Terasa berat pulak nak 'melepaskan' 'mak'.


Puan Suzy tiba untuk menjemput mak lebih kurang jam 11am. Sebelum pulang sempat juga beliau menurunkan tips berkaitan tunku kepada ku. Terima kasih kepada Puan Suzy yang 'menitipkan' bidan yang berpengalaman untuk insan 'baru' sepertiku. Aku doakan usaha Puan Suzy akan berkembang dan berjaya kerana perkhidmatan seumpamanya sangat diperlukan untuk ibu-ibu masakini.

...Semoga Allah mendorongkan kami untuk menjadi ibu bapa yang baik....

Secara  keseluruhannya aku berpuas hati dengan 'mak'. Walaupun waktu berpantang merupakan waktu 'rehat' untuk para ibu tetapi sebenarnya kita perlu mempersiapkan mental dan fizikal dalam sebuah 'perjuangan'. Memberikan bayi haknya (menyusu) dan menguruskan karenah 'kecilnya'.  Terkenang pula ibu bapa kita sendiri, perjuangan mereka saat membesarkan kita. Walaupun mengupah 'confinement  lady', adalah normal untuk kita tidak tidur lena, sakit badan dan sedikit 'stress' terutamanya ketika menyusu badan dan bayi pula kerap/kuat menyusu. Namun, kehadiran 'mak bidan' di sisi pada saat begini agak membantu dari segi fizikal dan emosi terutamanya jika anda adalah 'pasangan ibu bapa baru yang perlu berdikari' dalam situasi ini. Walaupun ibu bapa kita tinggal bersamapun rasanya tak salah untuk kita menyimpan  wang   bagi perkhidmatan  'mak bidan' seumpamanya ini terutama di awal masa berpantang. Sekurang-kurangnya  kita tidak terlalu'membebankan' orang tua terutamanya jika ibu/mertua kita sendiri sudah uzur ataupun mempunyai 'aktiviti' hari emasnya sendiri. Sekurang-kurangnya juga kita telah rasa sihat untuk melakukan sebahagian dari perkara-perkara yang perlu dalam menguruskan diri dan bayi.Namun begitu tidak dinafikan kehadiran orang tua menyumbang ke arah sokongan moral kerana bersifat lebih peribadi. Ibu mertuaku sendiri berbesar hati membantu setelah pemergian mak bidan. Sekiranya kewangan tidak mengizinkan, dengan atau tanpa 'confinement  lady' /orang tua, suami adalah insan utama memainkan peranan dalam membantu 'pengurusan' isteri dan bayi selain persediaan awal menimba ilmu melalui pembacaan mahupun pengalaman orang lain. Semoga segalanya dipermudahkanNya.


Jumaat, 20 November 2015

'Salam kaut' palsu



Sememangnya apabila merancang majlis perkahwinan akan timbul pelbagai cabaran dan ujian. Adakalanya  pasangan 'biasa-biasa' sahaja tetapi keharmornian bergoncang pula kerana mulut dan impian orang lain.


Istilah 'jaga tepi kain orang' sebenarnya
adalah sesuatu yang perlu jika ia digunakan untuk kebaikan, sebagai contoh mengambil-berat kehadiran 'orang lain/asing' di saat jiran tiada dirumah atau memberi nasihat terhadap kemungkaran yang terlihat di depan mata...
Tetapi masyarakat masih sinonim dengan 'pael' ambil berat tak bertempat. Lihat saja di majlis berbalas hantaran, jika sekadar membandingkan kecantikkan & kreativiti tidak mengapa tetapi siap serta dengan senyum sinis dan perbandingan jenama. Memenuhi undangan perkahwinan merupakan sebahagian tuntutan agama tetapi tidak lepas pula mengumpat perihal pelamin dan rasa masakkan...belum lagi hal cenderahati dan sebagainya. Paling sedih umpatan itu terpancul dikalangan orang yang sudah matang usianya, paling ngeri umpatan itu disebut  dihadapan tetamu-tetamu lain sehingga ada yang turut serta menambah perisa. Sepatutnya majlis tersebut dipenuhi dengan rasa gembira...yang besar diraikan dan yang kecil disyukuri, hargai undangan tuan rumah yang bersusah payah membuat persediaan berbulan-bulan untuk tetamu. Sebenarnya masyarakat  Melayu semakin terbuka tetapi pada masa yang sama ada juga yang masih tidak mahu mengabaikan sesuatu yang sedia maklum hanya syarat budaya...tanggapan...bukannya hukum agama.



Tidak dinafikan sebagai manusia biasa adakalanya kita 'nakal' dengan memenuhi undangan seraya memenuhi selera perut yang lapar (jimat makan tengahari). Maka tepat waktu makan tengahari berduyun-duyun juga manusia menyerbu majlis tersebut. Pernah satu ketika di sebuah majlis perkahwinan, nasi tetamu habis licin kecuali lauk pauk. Maka tuan rumahpun jadi kelam kabut menenangkan tetamu sambil memohon maaf. Selagi nasi baru belum siap wajah tuan rumah pucat lesu....hilang keceriaan wajah. Pakaian bapak dan mak pengantin yang tadi lip lap berkelip-kerlipan jadi pudar dek peluh. Nasi 'back-up' pula lembek dan antah. Ada sesetengah tetamu yang hadir mengadu lapar secara terang-terangan sedangkan bukannya tidak ada makanan lain seperti kuih muih,bubur, dan lauk pauk. Dalam hal ini sebagai tetamu yang juga merupakan ketua keluarga atau ibu bapa harus memujuk anak-anak, terangkan pada mereka bahawa ada rezeki lain untuk kita bukan turut serta menjadi kalut dan bimbang anak-anak 'mati' kebulur. Yang muda juga harus lebih sabar, salurkan rasa simpati pada tuan rumah dengan menerima seadanya. Jika situasi ini terjadi apa salahnya kita makan apa saja yang ada. Jika berkehendakkan juga nasi, selepas memenuhi majlis singgah saja ke mana-mana kedai. 'Duit salam kaut' jangan dijadikan sandaran sebagai ganti makan di majlis, ia adalah tanda ikhlas pemberian untuk pengantin/tuan rumah , begitu juga sebaliknya kepada tuan rumah yang memberi cenderahati...mengapa perlu dibeza-bezakan pemberian itu kepada yang bersalam 'isi' @ sebaliknya. Apabila 'duit salam' dijadikan ukuran maka semakin berkuranglah keikhlasan maka ada insan yang tidak berkemampuan atau 'rasa malu' dengan tangan kosong sanggup pula menipu dengan 'salam kaut palsu'(beri sampul kosong) demi menjaga hati tuan rumah ketika bersalam ...atau lebih 'buruk sangka lagi' teringin jugak nak cenderahati pengantin! Hahaha.

Info grafik : sumber perkongsian FB

Istilah 'salam kaut' : wang pemberian induvidu sebagai hadiah perkahwinan kepada ibubapa atau pasangan pengantin.

Isnin, 16 November 2015

Jurnal kehamilanku (6) : Tanda bersalin, dari Hospital Bersalin Razif ke HTAR.

Syukur hanya padaMu Ya Allah...
Amanah dariMu telah lahir ke dunia
8.11.2015...satu lagi fasa baru dalam hidupku... kami namakan si kecil ini yang diberi maksud  : 'yang hidup_orang-orang yang bersyukur' *



Anak sulong
Pengalaman  hamil  anak pertama memang mengujakan  namun tidak dinafikan ada waktu ia menguji keimanan dan ketabahan terutamanya  saat-saat melalui fasa mabuk/alahan kehamilan yang teruk ataupun ketika menghadapi detik-detik cemas ketika bersalin. Segala-galanya adalah sesuatu yang baru dan baharu.

Imbas semula (jurnal 5) :manusia merancang....
Seperti di jurnal kehamilanku  sebelum  ini, aku merancang dan  membuat persediaan bersalin sama ada di Hospital Bersalin Razif atau HTAR. Tujuan utama Hospital Bersalin Razif menjadi pilihan  adalah kerana ingin memilih doktor dan kakitangan  wanita bagi memeriksa  dan menyambut kelahiran nanti. Dalam erti kata lain... mencari lebih keberkatan dan menjaga aurat terutamanya usaha menabungku sejak beberapa tahun di ASB mengukuhkan kewangan untuk menggunakan khidmat swasta. Selain  itu juga,  kebetulan  suami tidak sihat dan masih perlukan rawatan harian berkaitan pembedahan  kecil di kepalanya maka adalah relaven untuk berada di Hospital swasta yang pada pandanganku  akan lebih memberi perhatian terhadap induvidu dan suami tidak perlu risau dengan 'kebajikan' ku di sana. Walaubagaimanapun aku tidak menolak  kemungkinan untuk bersalin  di HTAR jika keperluan lebih terarah ke situ.

Tanda-tanda bersalin: 




*Lendir bercampur  darah*Pecah air ketuban
*Sakit perut yang kerap dan mengeras

***peringatan  dari jururawat & doktor di klinik desa untuk lapor diri di hospital  jika ada di antara tanda-tanda tersebut.





Kucing bunting di Klinik 1Malaysia:

10 hari sebelum 'due date' tiada tanda-tanda yang  ketara. Sempat seharian di rumah mertua 'menumpang' kasih ibu. Badan  agak lesu mungkin kerana penat menemani suami membuat  rawatan harian dan berulang-alik di wad sebelum ini. Ketika di klinik  1Malaysia kelihatan seekor kucing betina yang sarat bunting. Inginku bawa pulang tetapi tak terdaya menguruskannya. Seorang kanak-kanak lelaki mengajuk-ajuk ibu kucing itu dan cuba menyentuh/pijak dengan kaki pantas aku bangun sehingga terasa senak tetapi suara tidak terkeluar. Ibu kanak-kanak-kanak  tersebut berada di situ tetapi  tidak berkata apa-apa, mujur ibu kucing itu bertindak garang pantas mengangkat kuku mempertahankan dirinya menyebabkan kanak-kanak  tersebut berundur kerana hampir dicakar. Aku bimbang kucing tersebut akan disakiti orang kerana terlihat cuba mencakar kanak-kanak tersebut selain  itu bimbang juga jika kanak-kanak itu turut tercedera dek tindakkan kurang matangnya...

Kebetulan  ada '99 Mart' bersebelahan lalu aku beli sekeping wetfood dan mengumpan ibu kucing tersebut keluar dari klinik. Kanak-kanak tadi turut mengekori jejakku ke luar pintu. Aku katakan pada kanak-kanak  itu dengan lembut sambil memberikan sekeping wetfood pada ibu kucing tersebut : kucingpun ada rasa sakit, macam orang yang datang nak jumpa doktor kat sini...




Alhamdullillah  kanak-kanak  itu mula menyantuni ibu kucing tersebut apabila melihat aku memberi wetfood tersebut. Ibu kucing itu kelihatan  sangat lapar dan sarat...tetapi sangat 'ramah' dengan manusia. Sejak itu, setiap kali aku menemani  suami, aku akan belikan wetfood pada ibu kucing tersebut yang kebetulan berada  di situ sekitar 10pagi.

'Miau...mungkin ini kali terakhir kita bertemu kerana aku juga akan bersalin pada bila-bila masa nanti, semoga Allah melindungimu...',  kataku pada ibu kucing tersebut.

Setiap makhluk dijanjikan Allah rezekinya masing-masing  dan aku hanyalah insan yang digerakkan hati olehNya sebagai perantaran. Semoga ibu kucing ini mendapat tempat yang sesuai dan selamat  untuk beranak nanti. Tiba-tiba rasa sayu...tolong jangan tanya kenapa tidak aku bawa pulang saja ibu kucing ini. Selagi aku ke sini dan terlihat kelibatnya Insya'Allah akan terus 'kusantuni' ia.


Mood kemas rumah & memasak


' ..dalam setiap doa kuselitkan permintaan agar proses bersalin berjalan lancar,terasa pantas pula masa berlalu. Kutitipkan hanya pada Allah diriku dan kandunganku, mohon keampunan agar bersih dari dosa...bebas dari noda...'


Aku semakin aktif mengemas rumah. Walaubagaimanapun aku tetap beringat dan kerja-kerja dilakukan dengan hati-hati. Apa-apa saja boleh berlaku andai cuai. Amalan pemakanan yang aku amalkan di saat-saat akhir  ini adalah meminum air kelapa pandan, buah delima dan kurma, selain meneruskan pengambilan kapsul minyak zaiton. Aku mula rasa muak dengan pil susu kambing namun aku cuba menggantikan tambahan kalsium dengan susu kotak pula. Suami perlu berpantang kerana luka pembedahan kecil di kepalanya belum sembuh sepenuhnya. Setiap hari walaupun lesu aku akan buatkan singgang dan ikan goreng kegemaran suami. Rasa puas dapat memasak untuknya. Aku 'buat kuat' dihadapannya agar dia tidak perasan kelesuan aku. Jika dah bersalin nanti banyak yang  suami perlu  buat sendiri. Biarlah air tanganku mengakhiri selera tekak suamiku sebelum aku melakukan perjuangan yang hanya Allah yang tahu awal dan pengakhiranya.

1 minggu sebelum 'due date' :11 am, asyik terkucil.


Air zam-zam menjadi pilihanku hari ini...

Entah mengapa  sepanjang hari ini tiba-tiba rasa nak terkucil. Agak kerap sehingga selepas buang air kecilpun aku terkucil sendiri sehingga terpaksa  pakai pad. Aku mula keliru adakah air ketumban yang mengalir kerana tiada bau hancing kencing tetapi berdikit-dikit  pula. Adakalanya terkucil setelah 'mengucil'. Aku terus menghubungi kakak untuk  kepastian. Kakak kata kebiasaannya air ketuban kalau pecah akan mengalir sekali bukan sikit-sikit, tetapi kalau was-was hari ini atau esok seeloknya buat pemeriksaan doktor. Aku sendiri tidak rasa apa-apa kontraksi kecuali sedikit senggugut ringan, maka aku abaikan saja dan menganggap rasa terkucil ini merupakan gejala akhir kehamilan kerana kepala bayi sudah berada di bawah dan menekan pundi kencing. Maklumlah seminggu lagi 'due date'nya.

 4 pm : tanda darah...

Sedang aku mulai baring tiba-tiba terasa ada satu tusukkan pantas tapi lembut dari dalam tempat peranakkanku. Ketika itu aku baru minum segelas air zam-zam. Terasa macam ada belon yang ditebuk dari dalam... tetapi tidak sakit. Kelihatan tanda darah! Aku cuba tenangkan diri. Pesanan dari klinik desa kalau ada petanda sebegini perlu laporkan diri di hospital. Aku terus ke bilik air mandi dan menukar baju...makanan si lola,lulu dan lala kupastikan terisi penuh. Aku ingat lagi perbincangan perkongsian pengalaman dengan kawan-kawan . ..jika tidak ada kontraksi walaupun ada tanda darah tak semestinya  bersalin ketika itu. Maka bertenang dan bersiap untuk buat pemeriksaan. Setelah siap baru aku kejutkan suami yang baru saja lena. Suami agak terkejut dengsn situasi tersebut. Pada mulanya aku ingin membuat  pemeriksaan di Poliklinik ibu dan anak (Alia) terlebih dahulu malangnya pada  hari  minggu  ia tutup sementara dan hanya  beroperasi semula jam 5pm. Kami mengambil keputusan  untuk terus ke Hospital Bersalin Razif. Jika diizinkanNya mungkin aku akan terus daftar untuk bersalin andai benar hari ini detiknya.

Kerana 'Ahad' : Kekecewaan  di sebalik tirai besi....

Pintu masuk utama Hospital  Razif  ditutup pada hari Ahad tetapi pintu kemasukkan bersalin terbuka 24jam dibahagian tepi. Akan tetapi kami perlu mendaki tangga 1 tingkat terlebih dahulu. Aku anggap ini senaman yang baik  di saat-saat akhir, namun aku mula bayangkan...'macam manalah nak  panjat tangga ni kalau tiba-tiba perut dah sakit?...

Tiba di tingkat satu geriji pintu berkunci. Mungkin atas dasar keselamatan. Kelihatan jururawat  melakukan  kerja-kerja  mereka. Aku mula rasa teruja. Aku menekan buzzer loceng dengan harapan dapat menemui doktor. Seorang jururawat  berbaju biru menghampiri kami di sebalik 'tirai besi' yang masih berkunci. Perbualan berlaku di situ sahaja walaupun aku membawa kad klinik. Aku sangka kami dapat masuk untuk membuat pemeriksaan kerana 'keluar tanda'. Perbualan berbunyi lebih kurang begini...

Saya : Assalammualaikum  cik, 'due date' saya 15hb ni (lagi seminggu) tapi baru tadi ada keluar tanda darah. Boleh tak saya jumpa doktor untuk pemeriksaan? (Niat hati nak 'comfirm'kan keadaan.)

Jururawat : Puan ada rasa kontraksi atau sakit-sakit?

Saya : sikit-sikit macam sesunggut. Tapi ini anak pertama saya, agak keliru sikit perasaan ni sebab tengahari  tadi asyik terkucil dan ada air jernih mengalir selepas itu, tak tahu sama ada terkucil atau air ketuban pecah.

Jururawat  : doktor tak buat 'klinik' hari ni melainkan kes bersalin. Kita hanya boleh wadkan puan dulu. Ataupun puan datang esok pagi bila rasa dah sakit baru datang. Lagipun puan tak ada sebarang kontraksi...biasanya pengalaman  anak pertama ni lambat sikit.

Saya : (aik aku ni bukan kes bersalin ker? Serba salah, macam mana kalau tanda darah ni membawa kepada saat-saat bersalin? Atau dibuatnya aku masuk wad lepas tu seminggu baru bersalin tak ke kes haru. Tiada penjelasan yang lanjut tentang ertikata/atau apa yang aku akan terima jika 'diwadkan'. Sekurang-kurangnya  kalau dapat buat pemeriksaan oleh mereka yang bertauliah taklah aku kalut, ini borak disebalik tirai besi berdasarkan pengalaman saja).." err jadi kes saya ni macam mana ye, kalau boleh nak 'comfirm'kan dulu dengan doktor".

Jururawat  : rasanya datang esok pagi sahaja untuk pemeriksaan atau bila dah rasa kontraksi.


Naluri seorang suami....

Perbualan  dengan jururawat tadi diakhiri dengan senyuman. Akupun beralah saja lagipun perut tak rasa sakit. Malu pula rasa nak kembali ke sana. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aku cadangkan pada suami agar pulang  sahaja. Mungkin aku terlalu berlebih-lebihan nak buat pemeriksaan. Akan tetapi suami  pula rasa terkilan dan tak sedap hati. Kata beliau sekurang-kurangnya dapatkan kepastian dan pemeriksaan doktor bukannya menerima cadangan jururawat berdasarkan pengalaman beliau semata-mata.

'Bukankah klinik desa dah pesan kalau ada tanda jer buat pemeriksaan nanti kalau jadi apa-apa menangis tak berlagu', suami memujuk agar kami ke HTAR saja memandangkan lokasinyapun berhampiran dengan kami ketika itu.

Seram sejuk rasanya. Kata-kata suami ada kebenarannya.

Serah diri di HTAR, Klang.

Tiba di HTAR kami melaporkan  diri di bilik kemasukkan  ibu bersalin (saringan). Sebelum itu sempat berjalan jauh dari parkir. Bukan suami tak mahu turunkan hampir di pintu masuk tetapi aku sengaja mahu beriringan dengannya walaupun berjalan jauh. Alhamdullillah dipermudahkanNya  untuk mendapat parkir. Aku pegang erat tangan suami. Manalah tahu...kena masuk wad. Mujur GL telah kusediakan sejak awal bulan lalu.


Kurang lebih jam 4.40pm

Tiba di bilik saringan aku ditemubual tentang keadaanku. Aku turut menceritakan dari A-Z berkaitan cecair dan tanda darah. Melihat pada keadaanku yang 'tidak luarbiasa' jururawat  HTAR juga menyatakan  jika ada tanda darah sedikit tak semestinya akan bersalin. Melainkan jika aku tidak berpuas hati  dengan  tindak balas  bayi maka mereka akan membuat pemeriksaan. Kalau diikutkan  memang aku puas hati dengan kandunganku tetapi aku tak puas hati dengan kekeliruan ini. Lalu aku beritahu saja aku tak puas hati dengan  pergerakkan bayi sebab tak mahu ia berpanjangan. Yang penting kami dapat penjelasan dan diperiksa oleh mereka yang bertauliah. Lagipun aku jelaskan pada mereka bahawa aku hanya mengikut arahan/nasihat klinik desa agar melaporkan  diri  ke  hospital  jika keluar sebarang tanda yang berkaitan tanpa atau dengan kontraksi. (Aduh datang salah, tak datangpun salah...mmm, mungkin aku yang 'berlebih-lebih'?, nyesal lak menyerah diri).


Konstraksi pertama
Ketika  itu  jururawat  sibuk dengan urusan lain, namun mereka terima juga permintaan  aku untuk diperiksa walau kelihatan aku biasa-biasa sahaja. Ini yang buat aku kagum dengan petugas HTAR. Akupun tukar baju pink. Bila dah tukar baju aku diminta berbaring di katil saringan dan diberi 'talipinggang' elektronik berwarna hitam. Ada beberapa orang bakal ibu baru dan baharu sedang diperiksa. Aku dibiarkan seketika dan seorang doktor wanita cina yang comel persis budak sekolah menengah menemubualku. Dalam perbualan itu tiba-tiba aku rasa sakit yang agak luar biasa tetapi seketika sahaja. Jururawat  kata ada sedikit kontraksi. Dia 'menggosok-goncangkan' perutku. Tak ingat pula kenapa. Hati mula berdebar-debar. Kemudian aku ditinggalkan semula. Dan dalam masa setengah jam rasa sakit mula menujah...rasa macam nak buang air besarpun ada, nak putus pinggangpun ada. Dalam pada itu seorang lagi doktor menemuramah kali ini suara aku dah tersekat-sekat menahan sakit.Tangan mula memegang besi sisi katil. Aku diam seribu bahasa cuba 'menikmati' detik-detik ini setelah perbualan tamat. Takut nak mengadu. Seorang doktor lelaki asyik melirik ke arah aku. Bukan lirikkan manja (jangan salah faham) tetapi jelas terpampang kebimbangannya terhadap aku. Aku pula hanya berpaut pada besi katil menahan sakit.Bimbang menyusahkan petugas kerana perasaan ini mungkin normal.
'Err cepatlah masukan patient  ni ke wad, ada yang terberanak kat sini nanti...'akhirnya doktor tersebut bersuara.
Jururawat  tenang sahaja dan memaklumkan  bahawa belum dapat lampu hijau ke wad(wad penuh). Salah seorang dari mereka siap pujuk aku agar bersabar. 'Lagipun ini anak pertama, lambat sikit',seorang jururawat  berseloroh. Sama jer kata2 mereka. Aku buat2 faham walau hakikatnya  aku sendiri tak faham dengan tubuhku yang semakin 'tenat' nie!

Sakit kuat
Seorang doktor memeriksa  'laluan' ... katanya ada bukaan. 'Ini 'fast delievery nie'..kata doktor tersebut. Tetapi tiada tindakkan diambil memandangkan aku sedang menunggu kemasukkan  wad. Mungkin bukaan tidak membimbangkan mereka.Tetapi aku mula rasa sangat tersiksa. Semakin kuat debaran seiring dengan rasa sakit yang menjadi-jadi dalam masa kurang sejam...ia datang dan pergi. Setiap kali rasa sakit itu pergi rasa lega sangat...namun baru nak rasa selesa ia kembali...hanya Allah yang tahu perasaanku. Aku tak lepas mengucap...berzikir dan menyebut namaNya Ya Fatah...Ya Muhaimin...Laillahaillahantasubhanakainnikuntuminalzolimin....mohon kekuatan, perlindungan...keampunan dan kemudahan...di saat kesakitan ini aku redhakan hati menerima sebarang kemungkinan  yang  bakal kuterima. Jururawat  turut mengingatkan aku tentang zikir. Aku sedar tiada siapa yang mampu 'mengubat' rasa sakit ini. Tak guna mengadu pada doktor dan jururawat hatta suamiku sendiri melainkan mengadu padaNya. Aku juga sempat memujuk hati...ini baru tanda, mungkin aku akan melalui perasaan ini sepanjang hari sebelum  bersalin.

Seorang  jururawat  senior  yang  melihat pautanku pada besi katil pula bersuara 'dah nampak macam sakit kuat tu...' lantas doktor yang tak senang duduk tengok aku tadi menghampiri sambil diiringi  seorang jururawat.

'Maaf puan, saya terpaksa  periksa....'

Aku relakan saja di saat kesakitan  ini, walaupun rasa macam baru 10minit doktor pertama memeriksa bukaan. Hanya tawakal dan berigstirfar  di dalam hati. Mohon segalanya  dipermudahkanNya.
Tiba-tiba keadaan jadi kelam kabut selepas doktor tersebut membuat  pemeriksaan.

'Cepat hantar kat labour  room!!!' -doktor
'Ha cepatnya!!!' - 2 orang jururawat mula menggelabah.

6.00-6.15pm
Macam tak percaya aku akan mulakan perjuangan sebentar lagi. Tanpa sedar airmata kesakitan telah mengalir. Tangan yang berpaut pada besi katil  dilepaskan dan diminta oleh jururawat untuk menampung perut. (Rasa macam nak meneran tapi kutahankan jebat! ) ketika diusung keluar aku sempat tersenyum apabila melihat suamiku disisi turut mengiringi jururawat  yang kelam-kabut mengejar lif. Soalan dari suami hanya dapat kubalas dengan senyuman yang terketar-ketar, pasti suami sendiri terkejut kerana sebelum ini aku biasa-biasa sahaja, tiba-tiba suasana dah bertukar.

'Puan tahan dulu, puan....sabar!' Pujuk seorang jururawat .

Rembat lif
Ketika itu keadaan agak sibuk kerana waktu melawat. Mana-mana lif yang terbuka dahulu walaupun sudah ada orang diminta untuk keluar. (Rasa istimewa pulak...hihihi) jururawat  menjerit minta tolong agar orang ramai tidak menekan butang lif yang lain untuk melancarkan perjalanan ke dewan bersalin.

Ketika memasuki sekitar dewan bedah, aku sudah tidak mempedulikan suasana sekeliling. Orang kata ada rasa 'horror' jika di HTAR kerana sempat melihat wanita-wanita lain bersebelahan tetapi yang aku perasan aku dimasukkan di satu ruang tidak berpintu namun begitu tidak ternampak pula kelibat wanita lain melainkan suara-suara bidan dan doktor yang sedang berusaha keras menyambut kelahiran. Ia macam sebuah tempat yang ada bilik-bilik kecil untuk bersalin.

Seterusnya dalam 'perjuangan'  tersebut tidak perlulah aku perincikan tentang cm bukaan, jahitan dan sebagainya. Rasa agak peribadi untuk dicatatkan disini. Tepat jam 6.40pm aku berjaya melahirkan seorang seorang hamba Allah...umat nabi Muhammad  S.A.W...bersyukur kehadratNya kerana jangka waktu antara konstraksi dan bersalin tidak terlalu lama. Alhamdullillah dipermudahkanNya. Aku terharu dan sebak di atas rezeki yang Allah berikan pada kami di saat-saat genting ini. Bersyukur kerana Allah menggerakkan hati suami untuk membawa aku ke HTAR setelah gagal mendapatkan jawapan yang memuaskan hati sebelum ini. Walaupun aku tidak dapat meneruskan hajat pertama untuk bersalin  di  Hospital Bersalin Razif, ini juga sebahagian dari rezeki pemberian Allah...untuk selamat melahirkan pada masa dan tempat yang betul. Kita hanya mampu merancang tetapi perancangan dari Allah itu lebih baik. Insya'Allah  duit untuk bersalin di Hospital Razif akan digunakan untuk akiqah anak. Selain itu aku kagum dengan petugas perubatan HTAR yang membantu sepanjang proses bersalin dan bantuan di wad. Biarlah tidak dilayan bak v.i.p asalkan keperluan dan pemeriksaan yang perlu dapat diterima. Jururawat  di wad bersalin pula agak komited dan tidak lokek membantu aku yang terkapai-kapai menguruskan  bayi buat pertama-kali. Cuma pinggang agak sakit ketika mengambil anak di sisi katil yang agak tinggi di HTAR.

Aku harap hospital-hospital bersalin akan lebih mengambil-berat  tentang hal berkaitan tanda-tanda bersalin yang nampak 'ringan', terutama petugas di Hospital Bersalin Razif. Bukan aku mahu memburukkan hospital  ini, tidak dinafikan Hospital Bersalin Razif  menjadi pilihan pertama aku sebelum ini. Barisan doktor di Hospital  swasta berkenaan juga telah berjasa menyambut ratusan insan ke dunia ini. Aku harap pihak mereka dapat menilai semula tentang pemeriksaan pesakit ketika hari cuti berkaitan tanda-tanda bersalin kerana kita tidak tahu bila kita akan bersalin sama ada waktu kerja...cuti ataupun lewat malam. Tidak semestinya anak pertama tanpa kontraksi awal seseorang wanita itu lambat bersalin. Biarpun nampak remeh dengan kehendak dan kuasaNya situasi  yang biasa akan jadi 'luarbiasa' dengan sekelip mata! 'Kun fayakun....'


Rezeki masing-masing  :   tak sangka setiap ibu dapat cenderahati ni di HTAR dari wad bersalin. :) memang seronok dapat 'jajan' tajaan. Taklimat dari jururawat  tentang kepentingan penyusuan ibu turut diadakan di sebelah pagi.


Ingatanku kembali pada suasana tegang di bilik bersalin. Walaupun aku tidak memperolehi 100 peratus petugas perubatan wanita & muslim tetapi aku redha dengan mudarat ini Allah mempermudahkan segalanya. Walaupun bernada tegas, Petugas/jururawat pula sering mengingatkan aku tentang igstirfar sepanjang tempoh perjuangan  tersebut malah ketika doktor bukan muslim mahu memotong tali pusat anak, petugas/jururawat   muslimah sempat memintaku/mengingatkan   agar berselawat ke atas junjungan besar Muhammad  S.A.W semasa proses tersebut. Terima kasih semua semoga Allah memberi balasan yang baik di atas tugas mulia kalian.

Alhamdullillah.




Rabu, 4 November 2015

Cekodok? Cucur@jemput-jemput? (Udang)

Ada yang panggil jemput-jemput,ada yang panggil cucur....waktu kecil apa saja yang berkaitan 'makanan'  bermotif tepung yang dibancuh dengan air@gumpalan nie aku gelar cekodok...cekodok pisang,cekodok udang,cekodok manis...cekodok kelapa...cekodok bilis...apapun panggilannya terpulanglah kepada asal-usul kita. Jangan gaduh-gaduh yek asalkan tak lari 'tema' kannnn...




Sekarang cekodokpun ada yang segera dan dipasarkan atas nama cucur. Hidangan yang dulu-dulu dah tentu 'segera' kini disegerakan lagi. Tinggal bancuh dan goreng.

Kat sini aku nak kongsi cekodok udang versi ku. Kekadang nak rasa juga perasaan yang resepi bergoreng nie ada tema kesihatan. Hero yang aku gunakan adalah udang (namapun cekodok udang) tetapi kalau nak tukar heronya kepada ikan bilispun boleh.

Ok bahan-bahan :

3 cawan tepung gandum,udang basah dibuang kulit (kuantiti dalam 20 ekor-lagi banyak lagi sedap), 2-3 batang daun sup dicincang, 2 biji bawang kecil, 1 biji cili besar dan sedikit lobak merah dipotong dadu kecil & halus.

Selain itu... tumbuk dan goreng udang kering (segenggam*basuh dan rendam seminit dua sebelum itu)  berasingan :


goreng dalam tapis besi supaya udang kering senang diangkat dan terkumpul.


Kemudian 'lebok' semua bahan-bahan di atas dalam satu adunan dan bancuh dengan air mengikut sukatan yang kita suka...saya buat bancuhan ala-ala lempeng tetapi likat sikit.




Bolehlah goreng....


Siap untuk hidangan... :)

Perisakan dengan garam halus. *Saya akan tabur garam berselerak dari atas dan meratakan ia dengan melambung-lambungkan cekodok selepas diangkat dari kuali menggunakan penapis.*enak juga dihidangkan  bersama sos.