Selasa, 30 Julai 2013

raya dengan lontong....



Hanya lontong daun pisang yang mampu ku buat bagi meneruskan legasi makanan tradisional sejak turun temurun yang pernah dihidangkan di dalam keluarga ku sempena aidilfitri.Kenapa aku sebut lontong daun pisang? Sedangkan memadai lontong sahaja...sebab ada sebahagian generasi hari ini yang tidak begitu mengenali lontong kerana kebanyakkan lontong yang dijual merupakan nasi impit yang dimakan bersama kuah lodeh sedangkan lontong sebenarnya adalah beras yang direbus dalam gulungan daun pisang selama 5 hingga 6 jam. 



Aku pernah ditertawakan orang apabila aku mengatakan bahawa masak lontong nie ambil masa 5-6 jam, aku tak salahkan dia sebab mungkin lontong yang dimaksudkan olehnya adalah 'nasi impit' yang hanya perlu masa 1-2 jam sahaja. Ada juga kedai yang jual lontong ori nie, tapi mungkin jenuh maka digantikan nasi impit. Disebabkan inilah juga ada orang yang tak kenal lontong ori. Isinya sama sahaja iaitu beras nasi tetapi nasi yang dimasak dalam daun pisang meninggalkan aroma dan warna yang menarik. Pernah sekali aku teringin sangat nak makan lontong ori masa bukan raya, malangnya ia hampir basi walaupun bungkusannya masih panas, entah sudah berapa minggu sudah lontong itu. Lontong sebenarnya sangat tahan lama kerana ia dimasak lama, sebab itulah ia perlu dimasak banyak barulah berbaloi. Lontong yang telah dimasak boleh tahan lebih seminggu asalkan pada hari kedua kita masukkan dalam peti ais. Didihkan air dan rebus semula beberapa minit dan tos, maka rasanya masih sedap seperti baru tau! Mak pernah buat lontong nie dan menjadikan batang ubi bagi menggulungnya dengan tujuan bentuknya sama saiz tetapi saya pula tidak menggunakan acuan kerana mengikut gaya saiz daun pisang dan saya gemar membentuknya kecil-kecil tetapi besar sikit dari lepat memandangkan pokok sendiri tak banyak manakala daunnya tak 'standard' kedai....tatkala ku tulis perihal lontong terkenang arwah abah yang pernah terkenal dengan dodol dan lemangnya di kalangan saudara-mara...mak yang ketika sihat suatu masa dulu tak kalah dengan kuih2 raya seperti bahulu yang dipukul didalam pasu dan dibakar pula dengan kaedah sabutnya. Kuih bangkit air tangan mak sangat sedap dan wangi sehinggakan ia cair sebaik sahaja menyentuh lidah.
....dahulu ketika bertukar juadah jiran dan saudara, lauk pauk penuh sedulang...bila 'time' malam raya, aku dan kakak yang masih muda berasa agak tersiksa dengan limpahan tugas yang 'terpaksa' dibuat, cemburu melihat adik yang 'terlepas' ataupun abang-abang yang mula membakar bunga api. Airmata kepenatan berlinangan dalam hati. Masa itu mana ada pengisar, semuanya 'manual', seawal usia 11 tahun aku sudah berjinak dengan mesin parut kelapa. 30 biji kelapa ku parut selamba untuk dodol setiap tahun, pada mulanya agak kekok dan tersagat juga jari-jemariku yang cilik, tapi kerana seronok menggunakan mesin itu sedikitpun aku tak mengeluh sehinggalah kelapa yang ke 18...emmmmm...(nasib baik dah ada mesin parut ketika itu), yang jenuh sekali masa nak menumbuk kerisik untuk rendang...kelapa yang telah disangai perlu ditumbuk sehingga keluar minyak, banyak pula tu nak kena buat, fuh!
...semua itu adalah kenangan yang terjauh, walaupun dahulu tampak menyeksakan ia kini merupakan pengalaman yang beharga buatku. Ada kebaikkan pada setiap ilmu yang kuterima, setidak-tidaknya ia melekat kemas diingatan dan teknologi masakkan hari ini memudahkan kerja-kerja memasakku. Bila sudah pernah belajar dari asas yang sukar maka ia tidak menjadi sesuatu tekanan yang 'extra' pada hari ini. Kretiviti dan alternatif cara masakan juga dipelbagai mengikut keperluan dan selera. Rindu dengan arwah abah dan dodol arwah abah...malangnya resepi yang pernah ku salin darinya diratah anai-anai.Apapun salam aidilfitri, resepi lontong caraku, ku hadiahkan sebagai ganti diri. Kemaafan kupohon andai sepanjang penulisanku ini telah menyakiti hati sesiapa.
Lontong:
Beras cap rambutan @ apa-apa beras nasi kampung asalkan jenis yang tak cepat basi.
Daun pisang 'awak' atau 'pisang abu/kapas'. Jenis daun pisang lain kena refer kat orang 'dulu2' yer. Tapi biasanya daun pisang yang dijual dipasar boleh diguna untuk lontong, jangan guna daun pisang emas atau pisang nangka sudah...sebab ia agak keras dan rapuh.
Ambil daun pisang dan jemurkan diampaian agar mudah dilentur, nak guna kaedah layur atas apipun boleh.
Setelah lembut daun pisang ditarik seperti nak buat lepat cuma besar sikit, agak2 boleh digulung 2 atau 2 1/2 lapis.lap bahagian bawah (daun belakang) kerana itulah bahagian dalam lontong yang akan dimasukkan beras.
Gulung daun pisang, hujung daun dimatikan dengan lidi/tali@apa2 jer.
Masukkan beras yang telah dibasuh sebanyak 2 per 3 dari sarung tersebut dan dimatikan hujung atasnya.
Rebus dalam periuk antara 5-6jam atas dapur gas ataupun dapur kayu. Air perlu dijaga supaya tak kering dan perlu diisi semula.
Setelah 5 atau 6jam bolehlah diangkat dan tos. Guna dulang yang dilapik suratkhabar agar lontong cepat kering. Apabila sejuk atau suam barulah ia jadi keras sedikit dan sesuai dipotong.....selain kuah lodeh, ia juga enak dimakan dengan rendang kuning berkuah.
Resepi  rendang kuah kuning nie mudah saja boleh guna ayam atau daging.
Seekor ayam dibuang kulit dan dipotong ikut saiz yang disukai.
1. Bawang besar 2 biji, serai 4 batang, halia sebesar ibu jari, 10 biji cili api, dua sudu cili giling, kunyit hidup 2 atau 3 ulas. (Kisar dan tumis hingga naik bau).
1-2 biji cili merah dipotong kecil@dadu tumis bersama bahan kisar.
Masukkan ayam sehingga empuk beserta air ikut suka. Masukkan sekeping asam gelugor dan 2 sudu kerisik.
Akhir sekali masukkan 1 cawan santan, 2 helai daun limau purut dan 2 helai daun kunyit yang diramas atau digunting halus. Garam secukup rasa.
Selamat mencuba!
*tahun ini kali pertama guna tuku gas setelah bertahun-tahun guna kayu api.



2 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum; kuah lontong yang dibuat itu macam rendang cair pula ya? Dan tidak letak bermacam sayur, tempe dan suhun.

teratak molek berkata...

Waalaikummussalam,t.q, betul tu...ringkas jer...kalau rindu kat kuah lodeh yg bertempe dan suhun boleh gak buat asing.