Rabu, 8 Oktober 2014

Nasi ambeng




Nasi ambeng sebenarnya tidak asing dari  hidupku sejak kecil yang membesar di kalangan saudara mara jawa sebelah arwah abah. Tetapi bezanya ketika aku membesar lauk dan sayur sampingannya agak berlainan dengan kebiasaan yang ku temui di kedewasaan ini. Kalau dahulu nasi ambeng disediakan istimewa ketika kenduri doa selamat, tahlil ataupun pemberian kepada tetangga kerana kesyukuran, kini ia menjadi salah satu makanan yang boleh dibeli pada bila-bila masa dan dibungkus ala nasi lemak.
Nasi ambeng yang biasa ku temui kini dihidangkan bersama mee goreng dan ayam masak kicap.



Percaya atau tidak walaupun makanan ini pernah menjadi sesuatu yang sinonim dalam kehidupanku tetapi hidangan nasi ambeng+mee goreng+ayam kuah kicap adalah sesuatu yang baru bagiku. Bukanlah untuk menidakkan hidangan tersebut tetapi ingin berkongsi kisah bahawa nasi ambeng juga ada dihidangkan dengan cara yang berlainan mengikut kehidupan dan cara masing-masing.

Hero & heroin
Walaupun zaman kanak-kanakku agak jauh, tetapi hidangan nasi ambeng sangat kuat diingatan. Jangan terkejut pula jika terjumpa nasi ambeng yang tidak dihidangkan dengan mee goreng.
Persamaan hidangan sampingan adalah sambal goreng jawa, tempe goreng dan pastinya ikan masin bulu ayam & serunding kelapa udang kering@ikan bilis sebagai hero & heroinnya.

Elemen kejutan
Ketika kenduri tahlil arwah abah suatu ketika dulu, nasi ambeng dihidangkan diatas dulang bulat berlapik daun pisang dan ditutup dengan daun pisang untuk hidangan tetamu. Selain membangkitkan aroma daun pisang tujuan menutup dulang tersebut merupakan elemen kejutan istemewa untuk tetamu. Hidangan penuh disajikan ketika hidangan kenduri manakala jika hidangan untuk dihantar/bungkusan panjang daun pisang adalah lebih ringkas dan antara hidangan sampingan penuh yang dibuat selain serunding, sambal goreng jawa dan ikan masin bulu ayam adalah :

-Ikan goreng kembung & tempe goreng  yang disalut sedikit tepung.
-sayur asam garam : merupakan terung panjang yang dimasak lemak putih hingga pecah santan tetapi pekat, diletakkan cili besar diperisakan dengan garam dan asam keping.
-sayur kekacang : kacang soya yang dimasak lembab dengan sedikit santan dan su'un.
-nasi putih ditanak dengan daun pandan dan serai ketuk.
Buat masa ini memang aku tak temui cara hidangan seperti di zaman kanak-kanakku. Kebanyakkannya lebih kepada berlaukkan ayam kicap dan mee goreng hitam. Walaubagaimanapun aku tetap menggemari cara hidangan lain yang mengikut cara masing-masing malah kini aku juga lebih menggunakan ayam kicap sebagai lauk utama memandangkan ia adalah 'fav abe'.

Resepi serunding kelapa
Untuk kali ini saya nak kongsi resepi asas serunding kelapa iaitu hero untuk nasi ambeng ni:




Bahan dan cara:

1 biji kelapa parut (bahagian putih sahaja)

Blender kering:

Setengah sudu kecil jintan putih, jintan manis dan biji ketumbar.
1 1/2 genggam udang kering(basuh&perah)

Tumbuk lumat:

3 biji bawang putih
4-5 biji bawang kecil
1/2 inci lengkuas
Gula melaka secukup rasa
halia & kunyit (lebih kurang 1-2 cm) dan 2 batang serai.

Lain-lain:

1/2 sudu asam jawa
1 cawan santan pekat
Garam secukup rasa

Campurkan semua bahan diatas dan sangai atas kuali dengan api perlahan sehingga separuh kering@berkilat/keluar minyak. (Makan masa lebih setengah jam juga proses ini...)

Tiada ulasan: