Isnin, 9 Jun 2014

Rutin selepas acl recon 2 : suntikkan hyoluronun ('cartilage defect' treatment)


3 tahun berlalu selepas pembedahan acl recon. Keadaan dan kemampuan lututku masih terhad walaupun selepas pembedahan kerana selain kecederaan tersebut aku juga mengalami 'cartilage defect' yang mengakibatkan kesakitan dan ketidakselesaan 'patellafemoral'. Aku kini juga menderita akibat keradangan kedua-dua tumit yang menyebabkan kesakitan ketika berdiri tegak@berjalan lama. Penggunaan 'insole' kini perlu setiap kali memakai kasut. Cabaran selepas acl recon sebenarnya adalah mengekalkan rentak senaman berkaitan untuk menguatkan otot .


Aku bakal menerima suntikkan buat kali yang kedua terus ke dalam lutut. (Untuk rawatan ini)Mengenangkan picagarinya umpama picagari kuda memanglah mendebarkan lebih-lebih lagi kerana aku menerima dos yang agak besar.Ada 2 cara suntikkan sama ada suntikkan diberi sebanyak 3 minggu berturut-turut(dos kecil) ataupun sekali suntik. Dr.Devamalar menyarankan suntikkan tunggal kerana menurut beliau ia lebih praktikal dan kandungannya lebih 'istimewa' berbanding cara sebaliknya memandangkan keperluan kecederaan lutut dan kemampuan kewangan (suntikkan dibiayai oleh majikan)Akhirnya aku memilih suntikkan tunggal biarpun ada yang memberitahu bahawa suntikkan tunggal 6ml yang bakal kuterima agak sakit. Biarlah sakit sekali memandangkan dengan tahap kecederaan rawan lututku yang telah retak dan berlubang aku perlu menjalaninya setiap tahun. Ia perlu bagi memberi perlindungan maksima terhadap kecederaan yang kualami.





Aku teringat ketika kali pertama Dr.Devamalar menyarankan aku tentang suntikkan terus ke lutut...rasa ngeri mengenangkan saat itu. Aku terkenang juga  cerita Dr.Devamalar tentang seorang pesakit yang menjerit ketika menerima rawatan tersebut. 'U jangan menjerit pula, nanti saya terkejut!' Seloroh Dr.Devamalar bersahaja.



Tertelan air liur aku. Setelah aku menjalani pembedahan dan beberapa siri kesakitan, rasanya seperti jatuh semangatku untuk menerima suntikkan yang sedemikian lebih-lebih lagi ada seorang ibu kepada salah seorang rakanku menyatakan yang suntikkan tersebut menyakitkan. Ironinya, Dr.Devamalar juga menyatakan demikian dan sering mengusikku setiap kali ada temujanji sebelum suntikkan dijalankan...siap berkata yang tiada bius digunakan! Aku tak pasti apakah usikkan beliau bertujuan agar aku mempersiapkan mental dan emosiku atau sebaliknya kerana sifat tenangku sebenarnya menyembunyikan gelora yang tak bertepian.



Sebenarnya seminggu sebelum suntikkan tersebut hatiku agak berdebar-debar...rasa macam nak cabut lari saja sebelum suntikkan dijalankan, tetapi mengenangkan pergerakkan lutut yang kian terhad aku pasrah sahaja, aku juga meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap kepakaran Dr.Devamalar yang memiliki karektor yang berwibawa itu (Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Kementerian Kesihatan Negeri Selangor 2011)selain berdoa ke hadrat Allah agar aku dapat menjalaninya tanpa sebarang kesulitan. Rasa pelik dan curigapun ada kerana selalunya doktor akan memberikan semangat ataupun menerangkan tentang kesakitan yang bakal diterima, mungkin wujud satu hubungan 'keakraban' antara pesakit maka gurauan tersebut tercetus tanpa disedari. Mungkin kerana beliau yakin aku dapat menghadapinya.mmm...Namun begitu, terubat rasa takut apabila doktor akan berikan 'mc' selama 5 hari. Dengar macam seronok tapi 5 hari kenapa??...setiap kesukaran ada kemudahan....yang penting tak duduk wad...dan selesai dengan selamat.




catatan 10.06.2014
Oleh kerana esok adalah kali kedua aku akan menerima suntikkan tahunan maka saya ingin berkongsi pengalaman ketika pertama kali menerima
suntikkan ini, semoga ia dapat menjadi rujukkan atau perkongsian ilmu bagi sesiapa yang bakal mengharunginya...

Pada hari rawatan, aku pastikan untuk memakai seluar yang bersesuaian. Lebih elok berseluar pendek ketika suntikkan dilakukan.(ketika datang pakailah baju yang sopan dulu...) Persedian mental amat perlu agar tugas doktor dipermudahkan. Bertenang, berisgtirfar di dalam hati, jangan bercakap ketika suntikkan dijalankan.

....pastikan kaki bersih dan bebas dari sebarang sapuan minyak. Ketika awal suntikkan memang ada rasa sakit tetapi jangan risau ia bersifat sementara. Bergantung kepada tahap kecederaan ataupun kemampuan tubuh kita ...

Sebelum suntikkan Dr.Devamalar meminta agar aku bertahan selama 20saat dan aku membuat kiraan tersebut di dalam hati sambil berigstirfar, ketika merasakan tusukkan jarum panjang yang menembusi 'laluan' ruang lututku; terasa saat kandungan picagari memenuhi ruang dalaman lutut yang sempit tetapi entah bagaimana naluriku menyakini laluan jarum itu di landasan yang betul dan kepakaran Dr.Devamalar melenyapkan rasa sangsiku. Apabila sampai kiraan 12saat...segalanya selesai, pandai betul Dr.Deva bermain psikologi denganku. Segala usikkan dan perasaan tentang kesakitan berlalu saat tusukkan jarum itu berakhir tanpa ku sedari. Kesakitan yang kubayangkan tidak seperti yang ku terima.  Lega dan lega kerana akutelah mempersiapkan emosiku untuk 20 saat...mungkin kerana tidak membayangkan kesakitan yang amat menyebabkan kesakitan yang kuterima berjaya diharungi dengan tenang. Dr.Devamalar sangat prihatin selepas suntikkan dibuat, beliau akan mewajibkan pesakitnya berehat selama 1 jam di kerusi menunggu(menurut jururawat tidak semua doktor arahkan sedemikian) ini untuk memantau sekiranya ada sesuatu yang tidak kena selepas proses tersebut. Oleh itu jangan lupa pastikan bawa majalah, buku atau penuhkan bateri telefon anda untuk menghilangkan kebosanan tahap 3. Setelah berehat selama satu jam aku 'lapor' diri kepada Dr.Devamalar dan diberi izin untuk pulang setelah berpuas hati dengan keadaanku. Aku diberi 'mc' selama 5 hari (ruginyerr sebab termasuk Sabtu & Ahad...hihihi). Sepanjang tempoh tersebut kurangkan pergerakkan, elakkan tangga dan hentikan sementara sebarang senaman berkaitan bagi tempoh seminggu dan kembali melakukan rutin wajib secara berperingkat. Memang akan ada ketidakselesaan pada lutut untuk beberapa tempoh terdekat tetapi Insya'Allah ia hanya sementara bergantung kepada keadaan seseorang. Sekiranya kesakitan muncul selepas 5 hari rujuk kepada doktor pakar yang merawat. Mungkin juga kita akan disarankan menggunakan tongkat untuk menyokong pergerakkan bagi jangka masa pendek jika perlu.

Bersambung esok di sini untuk suntikkan kali ke 2 dan hari ini aku harus mempersiapkan mental&emosiku...moga semuanya berjalan lancar.





Hari suntikkan...
untuk kali dan tahun ke 2 : Dr.Devamalar tiada pada hari yang ditetapkan kerana komitmen yang lebih memerlukannya dan rawatan dijalankan oleh doktor pakar lain.Serba sedikit ia menggugat persediaan mentalku kerana tidak tahu bagaimana halnya pula dengan cara doktor ini. Apapun aku tetapkan kenyakinan pada Allah dan bersangka baik bahawa semua doktor akan buat yang terbaik.

Aku diminta menandatangani borang bagi melaksanakan rawatan ini agar tiada dakwa dakwi di kemudian hari. Nampaknya ia merupakan langkah baru.

Doktor K.Vijayandran memberi penerangan yang baik dan membuka soalan padaku. Antara penerangan beliau:

1.hentikan sebarang senaman rutin untuk seminggu.
2.untuk sehari dua akan ada rasa sakit, berdenyut atau ketidakselesaan, itu normal terutamanya suntikkan tunggal yang kuterima lebih pekat dan kandungan berbeza berbanding suntikkan berdos kecil yang perlu dilakukan 3 kali. (Seminggu sekali)
3.Jika demam segera ke klinik kerana mungkin menerima jangkitan dari suntikkan tersebut.
4.jika tidak tahan sakit jangan makan ubat tahan sakit yang kuat. Boleh guna panadol.
5.Tempat suntikkan perlu kering dan elakkan kelembapan untuk 2 hari.
6.Boleh buka balutan selepas 2 hari dan gantikan plaster ditempat suntikkan memandangkan lubang suntikkan lebih besar dari picagari biasa bagi mengurangkan risiko kuman dan sebarang jangkitan.
7.tidak perlu bertongkat sebaliknya cuba jalan seperti biasa dengan cara berperingkat.

*Suntikkan dibuat tanpa sebarang bius.

Namun begitu, jika ada permintaan pesakit, bius akan diberi tetapi merasalah 2 kali suntikkan...dan doktor lebih menyarankan tanpa bius dan aku akur sahaja mana yang terbaik.Mula-mula sekali kawasan lutut dibersihkan dan disapu povidon bagi mengelakkan risiko jangkitan. Sambil itu doktor K.V tidak jemu memberi penerangan padaku.

Ketika suntikkan hanya nama Allah yang kusebut...aku cuba abaikan pengetahuan tentang suntikkan tanpa bius kerana ia hanya akan mengarahkan perasaanku tentang rasa sakit...tiada daya upaya kita melainkan dengan pertolongan Allah Tuhan yang Esa...

Berbeza dengan ingatan ketika suntikkan pertama  setahun setengah yang lalu, kali ini memang terasa agak sakit namun aku mengelak dari mengeluh 'aduh' dan menyebut namaNya bila terasa tusukkan yang menyakitkan. Aku terasa gel yang ditekan dari picagari Dr.K.V agak pekat dan 'berat' seolah-olah 'batu yang dihempapkan ke lutut' memenuhi ruang sasaran, terasa agak lama proses tersebut mungkin kerana kesakitan yang sedang kutanggung. Apabila doktor menarik jarum ia bagai menyentuh otot/tulangku...'sorry' kata doktor...akupun kata sorry juga kerana gagal mengabaikan rasa sakit walaupun tidaklah sampai tahap menjerit.Mungkin juga kerana keadaan lutut yang 'uzur' menyebabkan kesakitan itu lebih ketara dari pengalaman sebelum ini.

Balutan selepas proses suntikkan tunggal ke lutut


Apabila selesai doktor membuat sedikit pergerakkan terhadap kaki ku, mungkin untuk 'menyebarkan' gel tersebut walaupun sakit masih terasa(macam nak merayu mc sebulan jerr!) tapi aku cuba bertenang dan kuatkan hati.  Terasa sakit untuk turun dari katil dan aku mengambil langkah berhati-hati. Doktor meminta agar aku duduk setengah jam di ruangan menunggu sebelum pulang ke rumah. Suami yang masih setia di sisi menjadi teman bicara ku petang itu.

Tiba di rumah, ada rasa denyutan dan 'panas'...apapun ia sakit yang normal maka ia tidak merisaukan aku. Aku harap tiada jangkitan kuman atau sebagainya.2 minggu lagi aku akan mengulangi temujanji doktor. Thanks Dr.K.V!

8.15pm
Kepala mula terasa pening, aku tak pasti adakah kerana suntikkan ini ataupun kerana cuaca yang kurang selesa...yang pastinya rasa sakit di lutut membuatkan kepala semakin pening. Kalau boleh aku nak elakkan dari kebergantungan kepada panadol.



Kepada yang bakal menerima suntikkan ini, jangan takut...persiapkan emosi insya'Allah semuanyanya O.k...

Kesan suntikkan

Pergerakkan lebih lancar dan kesakitan dari hentakkan berkurangan. Ia membantu dalam melaksanakan senaman rutin yang perlu kulakukan. Walaupun ia tidak kekal lama suntikkan   dibuat  atas saranan pakar dan ia berfungsi sebagai 'makanan tambahan' pada kawasan rawatan dan perlindungan untuk keadaan yang diperlukan. Maka kita hanya perlu mempersiapkan mental menghadapinya kerana keadaanku menyebabkan aku terpaksa menerimanya setiap tahun!




Tiada ulasan: