Pagi ini saya keluar awal memenuhi temujanji dengan doktor pakar ortopedik seperti kebiasaanku sejak 2 tahun lalu, Alhamdullillah keadaan trafik agak lancar. Setibanya di persimpangan lampu merah mataku tertumpu pada seekor monyet@beruk yang berjalan di atas wayar elektrik. Seekor 'diri' sahaja, mungkin ia terpisah dari kumpulannya. Sudah lama aku tidak melihat monyet di kawasan kejirananku, namun ingatanku terhadap sekumpulan lutung yang pernah bermaharajalela di sini (zaman kanak-kanak hingga awal remajaku) masih kuat diingatan. Segala pokok menjadi mainan lutung-lutung itu, apa yang menyakitkan hati apabila buah pisang yang belum masak dipunahnya. Kerana takut kempunan, adakalanya rambutan yang masih hijau ku gokak...isinya tetap manis biarpun gigi rasa nyilu dek menggigit kulit rambutan yang masih hijau.
Tetapi walaupun pada 2013 lutung-lutung itu sudah tiada...muncul pula 'lutung kepala hitam' (manusia pengebas tanpa izin) yang lebih bijak menanti saat 'tuan rumah' keluar dan merembat licin mangga yang jumlahnya tak berapa nak banyakpun, tanpa rasa bersalah atau terfikir adakan tuan punya pokok dah merasa ?...ia membuatkan aku begitu merindui telatah 'keluarga lutung' tersebut kerana adakalanya mereka lebih berbudi daripada sifat sebahagian manusia yang tidak menghormati hak atau usaha orang lain...ketika sebatang pokok pelam yang terlalu tinggi dan tak tercapai dek sebarang galah mulai berbuah, lutung-lutung yang gemar memunah dan memakan pelam-pelam itu adakalanya agak cuai menyebabkan hasil makanan mereka jatuh. Buppp!!! Kedengaran jelas dek telinga, aku dan adik- beradikku yang lain pantas berlari menjejaki tempat pelam-pelam yang ranum itu jatuh. Adakalanya kami dapat merasa pelam yang masak ranum, adakalanya separuh tersisa dek lutung, tetapi kami tak kisah, mudah saja kami membuang sisa-sisa gigitan lutung itu dan memakan bahagian yang elok tanpa rasa geli atau jijik. Comel melihat anak lutung berwarna perang berkelip-kelip mata merangkul ibunya yang kelabu asap itu. Ketika itu kami memang berterima kasih dengan keluarga lutung itu, kehadiran mereka ketika pelam berbuah membuatkan harapan kami berbunga-bunga biarpun ada masa kami terpaksa menghalau mereka dengan suara-suara kami yang tak berapa nak garang. Geram melihat lutung-lutung mematahkan pucuk-pucuk sukun dan ubi kayu buat santapan mereka. Walaupun lutung tidak lagi kelihatan di kawasan rumahku setelah hampir 18 tahun peristiwa itu berlalu, namun di sebahagian kawasan hujung kampungku kelibat mereka masih ada dalam kumpulan kecil. Berjuang demi 'survival' mereka di zaman manusia membina rumah berdinding batu dan 'menyempitkan' lagi ruang permainan mereka.
Suasana di sini jauh lebih berbeza ketika 'era lutung' itu. Rumah- rumah tidaklah begitu 'rapat' tetapi tali persaudaraan agak erat. Boleh dikatakan setiap rumah memiliki pohon nyiur yang tinggi melampai, setiap kali hujan disulami angin kuat; lintang pukang berlari pulang bimbang dihempap kelapa atau buah kelapa menghujani kepala! Syukur kepadaNya situasi begitu tidak pernah berlaku ketika itu.
Kini, seperti di kebanyakkan kawasan lain di kampung-kampung pinggir bandar, suasana kejiranan tidak seerat dulu, 'orang kuat' kebanyakkannya telah pergi mengadap Ilahi, sebahagian pula sudah terlalu tua. Generasi seterusnya memenuhi masa dengan kerjaya demi keperluan hidup yang semakin tinggi. 'Rewang -merewang' sudah tidak begitu releven di kawasan kejirananku dan diganti dengan pelbagai tema katering bagi memudahkan kerja-kerja kenduri-kendara. Perubahan demi perubahan tetap akan berlaku, cuma aku harap perubahan seterusnya lebih membawa kepada kebaikkan. Apapun berbalik kepada kisah monyet@beruk tadi...' meniti wayar eletrik di saat manusia sibuk berkejar di dalam 'tunggangan' berenjin mahupun tenaga sendiri. Apakah nasib monyet tersebut agaknya, patutkah kita membencinya kerana bimbang ia akan mencederakan orang? Atau perlukah ia mendapat simpati kerana ia bukan pendatang...ia hanya berpijak di bumi yang sama tetapi suasana yang berbeza dek pembangunan? Bagi diri saya, saya hanya mampu berdoa agar monyet ini menemui tempat 'berteduh' yang sesuai jauh dari pengainayaan mahupun situasi yang menyebabkan ia terainaya.
Ops terhenti seketika penulisanku apabila jururawat memanggil namaku. Doktor peter mentertawakan aku yang leka tatkala nombor giliranku sudah terpancul di papan elektronik!
So...sorry....
#Sambungan.....kisah pokok pelam yang tinggi...tinggi sangat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan