Selasa, 30 Julai 2013

raya dengan lontong....



Hanya lontong daun pisang yang mampu ku buat bagi meneruskan legasi makanan tradisional sejak turun temurun yang pernah dihidangkan di dalam keluarga ku sempena aidilfitri.Kenapa aku sebut lontong daun pisang? Sedangkan memadai lontong sahaja...sebab ada sebahagian generasi hari ini yang tidak begitu mengenali lontong kerana kebanyakkan lontong yang dijual merupakan nasi impit yang dimakan bersama kuah lodeh sedangkan lontong sebenarnya adalah beras yang direbus dalam gulungan daun pisang selama 5 hingga 6 jam. 



Aku pernah ditertawakan orang apabila aku mengatakan bahawa masak lontong nie ambil masa 5-6 jam, aku tak salahkan dia sebab mungkin lontong yang dimaksudkan olehnya adalah 'nasi impit' yang hanya perlu masa 1-2 jam sahaja. Ada juga kedai yang jual lontong ori nie, tapi mungkin jenuh maka digantikan nasi impit. Disebabkan inilah juga ada orang yang tak kenal lontong ori. Isinya sama sahaja iaitu beras nasi tetapi nasi yang dimasak dalam daun pisang meninggalkan aroma dan warna yang menarik. Pernah sekali aku teringin sangat nak makan lontong ori masa bukan raya, malangnya ia hampir basi walaupun bungkusannya masih panas, entah sudah berapa minggu sudah lontong itu. Lontong sebenarnya sangat tahan lama kerana ia dimasak lama, sebab itulah ia perlu dimasak banyak barulah berbaloi. Lontong yang telah dimasak boleh tahan lebih seminggu asalkan pada hari kedua kita masukkan dalam peti ais. Didihkan air dan rebus semula beberapa minit dan tos, maka rasanya masih sedap seperti baru tau! Mak pernah buat lontong nie dan menjadikan batang ubi bagi menggulungnya dengan tujuan bentuknya sama saiz tetapi saya pula tidak menggunakan acuan kerana mengikut gaya saiz daun pisang dan saya gemar membentuknya kecil-kecil tetapi besar sikit dari lepat memandangkan pokok sendiri tak banyak manakala daunnya tak 'standard' kedai....tatkala ku tulis perihal lontong terkenang arwah abah yang pernah terkenal dengan dodol dan lemangnya di kalangan saudara-mara...mak yang ketika sihat suatu masa dulu tak kalah dengan kuih2 raya seperti bahulu yang dipukul didalam pasu dan dibakar pula dengan kaedah sabutnya. Kuih bangkit air tangan mak sangat sedap dan wangi sehinggakan ia cair sebaik sahaja menyentuh lidah.
....dahulu ketika bertukar juadah jiran dan saudara, lauk pauk penuh sedulang...bila 'time' malam raya, aku dan kakak yang masih muda berasa agak tersiksa dengan limpahan tugas yang 'terpaksa' dibuat, cemburu melihat adik yang 'terlepas' ataupun abang-abang yang mula membakar bunga api. Airmata kepenatan berlinangan dalam hati. Masa itu mana ada pengisar, semuanya 'manual', seawal usia 11 tahun aku sudah berjinak dengan mesin parut kelapa. 30 biji kelapa ku parut selamba untuk dodol setiap tahun, pada mulanya agak kekok dan tersagat juga jari-jemariku yang cilik, tapi kerana seronok menggunakan mesin itu sedikitpun aku tak mengeluh sehinggalah kelapa yang ke 18...emmmmm...(nasib baik dah ada mesin parut ketika itu), yang jenuh sekali masa nak menumbuk kerisik untuk rendang...kelapa yang telah disangai perlu ditumbuk sehingga keluar minyak, banyak pula tu nak kena buat, fuh!
...semua itu adalah kenangan yang terjauh, walaupun dahulu tampak menyeksakan ia kini merupakan pengalaman yang beharga buatku. Ada kebaikkan pada setiap ilmu yang kuterima, setidak-tidaknya ia melekat kemas diingatan dan teknologi masakkan hari ini memudahkan kerja-kerja memasakku. Bila sudah pernah belajar dari asas yang sukar maka ia tidak menjadi sesuatu tekanan yang 'extra' pada hari ini. Kretiviti dan alternatif cara masakan juga dipelbagai mengikut keperluan dan selera. Rindu dengan arwah abah dan dodol arwah abah...malangnya resepi yang pernah ku salin darinya diratah anai-anai.Apapun salam aidilfitri, resepi lontong caraku, ku hadiahkan sebagai ganti diri. Kemaafan kupohon andai sepanjang penulisanku ini telah menyakiti hati sesiapa.
Lontong:
Beras cap rambutan @ apa-apa beras nasi kampung asalkan jenis yang tak cepat basi.
Daun pisang 'awak' atau 'pisang abu/kapas'. Jenis daun pisang lain kena refer kat orang 'dulu2' yer. Tapi biasanya daun pisang yang dijual dipasar boleh diguna untuk lontong, jangan guna daun pisang emas atau pisang nangka sudah...sebab ia agak keras dan rapuh.
Ambil daun pisang dan jemurkan diampaian agar mudah dilentur, nak guna kaedah layur atas apipun boleh.
Setelah lembut daun pisang ditarik seperti nak buat lepat cuma besar sikit, agak2 boleh digulung 2 atau 2 1/2 lapis.lap bahagian bawah (daun belakang) kerana itulah bahagian dalam lontong yang akan dimasukkan beras.
Gulung daun pisang, hujung daun dimatikan dengan lidi/tali@apa2 jer.
Masukkan beras yang telah dibasuh sebanyak 2 per 3 dari sarung tersebut dan dimatikan hujung atasnya.
Rebus dalam periuk antara 5-6jam atas dapur gas ataupun dapur kayu. Air perlu dijaga supaya tak kering dan perlu diisi semula.
Setelah 5 atau 6jam bolehlah diangkat dan tos. Guna dulang yang dilapik suratkhabar agar lontong cepat kering. Apabila sejuk atau suam barulah ia jadi keras sedikit dan sesuai dipotong.....selain kuah lodeh, ia juga enak dimakan dengan rendang kuning berkuah.
Resepi  rendang kuah kuning nie mudah saja boleh guna ayam atau daging.
Seekor ayam dibuang kulit dan dipotong ikut saiz yang disukai.
1. Bawang besar 2 biji, serai 4 batang, halia sebesar ibu jari, 10 biji cili api, dua sudu cili giling, kunyit hidup 2 atau 3 ulas. (Kisar dan tumis hingga naik bau).
1-2 biji cili merah dipotong kecil@dadu tumis bersama bahan kisar.
Masukkan ayam sehingga empuk beserta air ikut suka. Masukkan sekeping asam gelugor dan 2 sudu kerisik.
Akhir sekali masukkan 1 cawan santan, 2 helai daun limau purut dan 2 helai daun kunyit yang diramas atau digunting halus. Garam secukup rasa.
Selamat mencuba!
*tahun ini kali pertama guna tuku gas setelah bertahun-tahun guna kayu api.



Ramadhan...

Ramadhan datang lagi bersama RahmatNya...di kedewasaan ini aku mulai terasa betapa indahnya Ramadhan dan betapa singkatnya ia hadir. Segalanya tak tergambar dek penulisanku yang lemah ini. Aidilfitri pula kian hampir melambangkan sebuah kemenangan. Tidak terduga juga saat hati menghitung diri apakah nafas ini masih diberi izinNya, pemergian beberapa insan yang ku kenali mengadap Ilahi menambah lagi rasa insaf disanubari...walaupun aku tidak menafikan, kekilafanku sebagai insan yang lemah adakalanya membuat aku 'tersadung' dalam melangkahkan kaki ke  jalan yang lurus. Semoga kita semua diberi hidayahNya dan sentiasa yakin dengan RahmatNya.


Sempena ramadhan ini saya ingin kongsikan resepi ringkas sesuai kepada sesiapa yang masih memiliki sedikit ruang masa menyediakan hidangan ringan untuk berbuka puasa. Satu rencah 2 masakkan:

Roti bakar keju (ayam)
&
Speggetti goreng


Tumis bahan utama: (dipotong dadu kecil-kecil)

Minyak zaitun secukupnya
Setengah biji capsicum
Secubit serbuk lada hitam
1 biji cili api
1 biji bawang besar
I biji tomato besar
1 ketul dada ayam
Garam secukup rasa
2 sudu pes tomato
1 sudu kecil bawang putih sedia goreng
Perisakan dengan mix herbs

Setelah ditumis, bahagikan kepada 2 bahagian untuk roti & speggetti

roti bakar ayam berkeju:

Saya menggunakan kuali magic pan 


Bahan-bahan lain: sekeping keju slice, 2 keping roti, sebiji telur ( jika mahu)

Celur 2 keping roti dengan telur(macam nak buat roti telur) 




Bakar roti, setelah masak letakkan keju dan bahan tumisan. Kepitkan roti dan letakkan keju di lapisan atas sekali lagi, tutupkuali@pan & bakar untuk mencairkan keju. Siap!

Speggetti goreng:




Rebus speggetti hingga lembut dan tos. Tumis speggetti dengan minyak zaitun bersama setengah senduk pes tomato@sos pasta,gaul bersama bahan-bahan tumisan. Perisakan dengan garam dan mix herbs.Siap! :) 



*enak juga sekiranya menggantikan tumisan ayam kepada tumisan ikan tuna (tin) untuk inti roti.




Inspirasi ramadhan....






Ahad, 21 Julai 2013

ayam bakar timur barat@Dongengland vs Disneyland...Legoland, anyland? featuring gallery 5




Sebelum saya nak cerita tentang kisah 'dongengland' ada masakkan yang ingin ku kongsikan iaitu ayam bakar timur barat. 'Fusion' masakkan 'ongputih' citarasa melayu.Sesuai dibuat kalau berkelah juga...tapi ketika ia dibuat its dinner for 2... :)


Bahan yang diperlukan:

2 potongan ayam (bahagian ikut suka)
3 biji bawang *potong 2
Serbuk lada hitam *secukup rasa
Sesudu besar santan kotak
4 biji bawang putih yang dicincang dan digoreng
3 biji cili api *dibuang biji dan dipotong halus
3-4 sudu minyak zaitun

Tumbuk separa:
Halia muda@tua *besar ibu jari
Setengah sudu kecil biji ketumbar
Secubit jintan manis
2 ulas bawang putih
Serbuk mix italian herbs *secukup rasa

Gaulkan semua bahan-bahan bersama ayam dan perap seketika 10-15 minit.

Menumis...
Sumbat sebahagian halia di bawah kulit ayam dan pastikan bahagian kulit ayam diletak pada bahagian bawah terlebih dahulu ketika menumis.



Tumis ringan hingga naik bau...

Kemudian masukkan ayam bersama tray@dulang ke dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu.

Setengah jam pertama bakar dalam suhu 150-170celcius, manakala seterusnya selama 250celcius.


Apabila ayam sudah masak dan keperang-perangan bolehlah dikeluarkan dari oven dan 'rehatkan' ayam sebelum dihidangkan jika ingin memotongnya.

Setelah dipotong dan hidang dipinggan, tuangkan lebihan jus ayam didulang yang digunakan ke atas ayam tadi.



Siap, Bolehlah dimakan bersama salad kegemaran!





Baru boleh layan kisah 'mydongengland...'





'Fofularrr' (Popular) betul Disneyland nie ya...terkenal di Amerika dan kini banyak 'tumbuh' di negara asia sendiri seperti di Hong Kong, Singapura dan extra-extra...yang terbaru di negara kita juga tak kalah dengan 'Land'nya sendiri iaitu Legoland.


Waktu zaman kanak-kanak dulu ada juga terliur gak nak ke Disneyland tetapi keinginan itu seolah-olah tak 'diperasan'pun di kedewasaan ini sehinggalah terbelek gambar-gambar mengkagumkan daripada struktur binaan 'Land-land' tu. Kehadiran Legoland pula belum menjadi tajuk utama dalam jadual cuti-cuti Malaysiaku. Mungkin di masa hadapan dengan izinNya....


Sememangnya 'Land-land' begini memang menjadi satu tarikkan dan 
pelaburan jangka masa panjang sesebuah negara.



Ia menjadi tajuk perbualan dan 'trigger'menyuntik rasa seronok kanak-kanak walaupun pada masa yang sama sebahagian keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana garu kepala antara senyum dan kelat.


Tidak dinafikan ada secalit tanda tanya dan rasa ingin tahu tentang Legoland di negara kita namun disebalik perasaan itu timbul juga satu impian di mindaku seandainya negara kita memiliki 'Land-land' kita yang tersendiri...


Maksud saya, sebuah taman tema seumpama Disneyland atau Legoland tetapi dengan imej kita yang tersendiri. 



Jika di barat ada kisah Cindarella kita pula dengan kita bawang putih bawang merahnya....jadikan 'Land' kita dengan imej dongengan nusantara untuk ditonjolkan pada dunia. Struktur bangunan yang gah bak istana zaman silam ataupun imej fantasi tersendiri...diadaptasi dari filem P.Ramlee, Hang Li Po, Hang Tuah,mahupun kisah Lagenda-lagenda atau pelbagai mitos seperti kalung ajaib, Batu Belah Batu Bertangkup     (dijadikan gua rumah misteri)...watak-watak kartun Upin Ipin...Boboboy...hero Aliman, cicakman atau apa-apa sahaja berkaitan kita sendiri yang tidak kurang mengujakan.



Untuk mencomelkan lagi keadaan, wujudkan penempatan/perkampungan khas kucing@anjing tempatan beserta ilmu berkaitan sifat dan keistimewaan mereka di Dongengland selain mempromosi kucing sebagai haiwan kesayangan Rasullullah serta mewujudkan sifat belas ehsan sesama makhluk. Nampak macam tak glamer jer letak kucing@anjing tempatan, tetapi sekiranya mereka dijaga dengan kasih sayang pastinya pengunjung akan terpegun melihat betapa istimewanya kucing dan anjing tempatan. 




Sesungguhnya makhluk Allah ini juga punya hak untuk disayangi dan dihargai. Mungkin ada pembaca berasa pelik mengapa saya turut menyelitkan perihal 'anjing tempatan'.Ini adalah kerana pengalaman saya sendiri melihat seekor anjing tempatan yang memiliki sifat yang mengkagumkan di sebuat kejiranan di Klang. Anjing tempatan ini dimiliki oleh seorang lelaki Cina yang OKU mental dan fizikal.Berkerusi roda setiap hari dan ditolak oleh seorang anak dewasanya yang juga lembam.Setia hari si bapa berkeinginan untuk membeli air bungkus meskipun di rumah beliau ada orang yang boleh menyediakannya minuman. Setiap kali keluar mereka turut diiringi oleh seekor anjing tempatan yang setia.Anjing tersebut akan berhenti di tengah jalan untuk memastikan tuannya selamat melintas. Anjing tersebut kelihatan sangat gembira setiap kali dapat menemani tuannya...bayangkan tanpa latihan khusus anjing tersebut bertindak sebagai 'anjing pemandu'.Anjing tersebut juga tidak kisah untuk menyertai kawanan lain ketika waktu senggang malah jika ada anjing yang mahu berkawan dengannya, anjing yang lain pula terpaksa 'lepak' bersamanya. Anjing setia itu juga tidak kisah perihal orang lain ataupun menyalak tak tentu pasal.




Apabila si anjing setia mahu 'melepaskan najis/hajat' ia sendiri akan pergi jauh dari kawasan perumahan tersebut dan 'melepas' disemak. Suatu hari aku ternampak muka anjing tersebut bengkak dan disapu ubat kuning, tak pasti adakah kerana kemalangan atau dipukul. Mungkin juga kemalangan kerana anjing tersebut seringkali dilihat menggadaikan keselamatannya demi tuannya di jalanan. Pada mulanya aku rasa kecewa kenapa tuannya tidak bawa ia ke vet....kemudian kelibat anjing setia itu tidak kelihatan hampir seminggu, aku agak ia telah mati rupa-rupanya seorang wanita menurunkan ia dari van di depan rumah mereka dan menurunkannya. Oh, dia baru balik dari vet! Ternyata ia memang disanyangi!Sejak itu juga anjing tersebut tidak dibenarkan mengikut tuannya.Sayu aku lihat pandangan anjing itu tatkala tuannya keluar membeli sebungkus air. Dia mungkin rasa tidak diperlukan tetapi aku tahu pastinya tuannya tidak mahu anjing tersebut sakit. Tetapi kelibat anjing tersebut tidak lama...mungkin ia benar telah mati akibat kecederaannya...ketabahan dan kesetiaan anjing tersebut sangat menyentuh hatiku. Kadang-kala aku rindu pada kelibat anjing setia itu, ironinya aku terserempak seekor anjing yang memiliki karektor sama dengan anjing setia yang kuceritakan cuma ia agak muda. Warna dan bentuk fizikal juga sama, aku agak mungkin jenis anjing sedemikian memiliki corak dan warna yang tak jauh berbeza. Anjing tersebut mengikut seorang gelandangan yang sibuk mencari bahan kitar semula. Walaupun sebagai umat Islam anjing adalah najis tetapi Islam tidak mengajar umatnya mengainaya  atau membenci haiwan tersebut, mereka juga punya perasaan dan rasa sakit.Mereka juga wajar diberi ruang mereka tersendiri dan bukan dibenci kerana Allah bukan sahaja mahu kita menjaga hubungan sesama manusia tetapi juga sesama haiwan dan tumbuhan. Anjing juga ada karektor yang tersendiri walaupun hanya anjing tempatan aku percaya setiap anjing ada keistimewaannya dan tak salah andai ada pihak membuat kajian perilaku dan keistimewaan mereka mungkin dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat 'because cats & malaysian dogs' does deserves better!


Berbalik kepada 'angan-angan' dongengland tadi, Teknologi hijau digunakan hampir 100 peratus tenaga solar di samping tadahan hujan bagi tujuan penjimatan air (menggunakan sehabis mungkin sumber kitar semula).

promosi produk hijau mampu milik kepada rakyat


Segalanya di Dongengland adalah berkaitan produk kita yang tersendiri, budaya setempat dan menarik minat rakyat Malaysia terhadap apa yang selama ini kita terlepas pandang.





Kita juga boleh 'membawa Imiginasi' kita yang tersendiri, dengan memberi peluang kepada rakyat 'berkarya'...


Pastinya kewujudan peluang pekerjaan tetap buat warga Malaysia yang cintakan alam sekitar dan komited sebagai kelayakkan utama.


...bayangkan keadaannya dengan binaan yang kreatif, comel ataupun artistik mistik pada masa yang sama mesra kanak-kanak dan mempunyai kemudahan Islamik yang disegani.

rumah cendawan bukit



Tidak ketinggalan juga penglibatan kreativiti mewakili pelbagai kaum  di Malaysia menghasilkan taman fantasi masing-masing bertemakan flora dan geometri.
Di 'Dongengland' itu juga akan ada pasar pagi dan pasar malam yang meriah dan tersusun bagi menonjolkan lagi kegemaran warga kita di mana saya percaya warga asing juga pasti kagum dan tertambat dengan makanan-makanan kita!!!


So.....yang utama juga bayaran masuk dengan harga 'bukan dongeng' dan bukan 'international' kepada warga tempatan kerana warga tempatan wajar dihargai lebih-lebih lagi pengorbanan mengharungi tol-tol merentasi negeri dan mampu  bagi yang berkeluarga besar.





...bayangkan juga nusantara/Dongengland menjadi rebutan pula untuk di 'wujudkan' di negara asing?  Wow....rasa macam nak gi jumpa PM jer untuk bagi cadangan....hehehe....(macam dongeng jer...)




Jom santai di galeri (5) Kampung Pondok Fantasi