Alhamdullillah kini genap 11 bulan usia mu anakku. Tubuhmu sederhana tetapi kental, kaki sudah mula meninggi bak kanak-kanak di usia setahun setengah, mengikut gen papa dan mamamu yang dalam kategori tinggi. Senyummu menambat hati kami menjadi penawar yang menghidupkan suasana. Setiap hari aku cuba untuk tidak lupa mendoakanmu, betapa hanya Allah yang Maha Mengetahui tentang hari-hari seterusnya. Cabaran mahupun ujian yang bakal diharungi.
Semoga dipermudahkanNya setiap nada detik yang menjadi irama kehidupanmu...
Sebagai seorang ibu, yang utama bagiku adalah mengharapkan keselamatan serta kejayaanmu di dunia dan akhirat...kuatlah wahai anakku...kuatlah jiwamu biarpun nalurimu selembut bayu, seringan kapas yang bebas melayan angin. Semoga hatimu cantik disirami keimanan dan rahmatNya.
Ketika di usia ini anakku banyak merengek di malam hari...tetapi mudah dipujuk dengan belaian dan perhatian. Rengekkanmu tak lama walaupun berulang...asalkan kau melihat aku disisi dan laparmu diisi...kau kembali tenang menyambung tidur. Bila kau lena ketika itulah aku terpaksa 'meninggalkan'mu seketika bagi melunaskan komitmen teratak kita berlindung...menjadi 'menteri' kesihatan...menjadi petugas 'PBT' bahagian kebersihan...mengemas dan mengemop lantai agar esok kau selamat semula meletakkan telapak tanganmu di lantai, dengan air liurmu meleleh terkadang hingus cair keluar. Memang comot tetapi sangat comel. Matamu yang tajam ketika ini bak x-ray mengesan sekelumit habuk dan rerambut yang ingin dirasai dengan deria lidahmu....sentuhanmu. Habuk memang tak lekang walaupun setiap hari disapu, entah dari mana datangnya namun aku tak jemu mendepaninya. Aku bersyukur kerana diberi waktu untuk melakukan kerja-kerja tersebut walaupun terhenti-henti bak keretapi LRT. Lampin tidak kubiarkan penuh,setiap kali tika malam bayi berkehendakkan susu,selepas itu juga aku akan tukarkan lampinnya agar dia selesa. Jika menukar lampin ketika tidur akan mengganggu lenamu, kau pasti akan menangis terkejut,jika dilakukann selepas menyusu dan kau terlena tidaklah kau terkejut sangat dan mudah menyambung tidur. Alhamdullillah sehingga hari ini tiada ruam ataupun melecet pada kulit bayi terutamanya di bahagian sensitif. Alhamdullillah syukur padaNya kerana pengasuh juga sangat mengambil berat hal kebajikan dan keperluan anakku. Pengalaman terlantar di hospital semasa pembedahan acl juga membuatkan aku tak sanggup membiarkan bayiku menggunakan lampin terlalu lama. Aku sendiri pernah menggunakan lampin, aku tahu betapa rimasnya jika ia tidak bertukar. Tugas ibu 24 jam....sesekali tertidur memang rumah bak tongkang pecah jika tak sempat menguruskannya. Aku harap aku sempat melihat anakku juga menjadi seorang ibu. Bukan untuk mengungkit...bukan untuk mengatakan...haaa dulu mama macam nilah...macam tu lah....' kata-kata sedemikian hanya melemahkan dan seolah-olah satu tamparan halus menyatakan 'padan muka' @haa baru tahu...' tanpa sengaja biarpun mungkin sebagai niat mahu rasa sedikit dihargai. Aku cuma mahu dia tahu yang mama memahami kesukaran dan pengorbanan yang sedang dilalui...sebagaimana aku mula mengerti pengorbanan ibu bapaku ketika membesarkan aku disaat aku sendiri mengandungkanmu. Aku mahu memberi semangat dan menyokongnya agar dia tahu ia bukanlah satu kerugian walaupun adakala ia sangat menguji perasaan....Biarlah penghargaan itu datang dari hati dengan pengertianmu sendiri. Kau adalah amanah Allah maka wajib ke atas diriku dan papamu memberi kasih sayang padamu dan melengkapkan keperluanmu seadanya. Syukur juga papamu seorang yang penyayang dan bertoleransi. Adakalanya papamu akan memandikanmu, beramain- main di dalam besen bersamamu...
Gigi susu sudah mulai kelihatan tumbuh bermula dari gigi hadapan sebelah bawah (kiri)diikuti sebelah kanan dan kini satu batang gigi atas (hadapan)mula muncul.... masuk 11 bulan termasuk hari ini sudah 3 kali mengalami selsema. Aku sedaya upaya memberikan penyusuan eksklusif agar proses penyembuhan akan menjadi lebih cepat Insya'Allah. Mujur bayi masih ada selera biarpun dalam keadaan tidak sihat. Langkah 'tahtih' pula semakin berani, kadang-kala 5 langkah membawa ke sepuluh langkah. Adakalanya juga berlari terhoyong-hayang sedangkan berjalanpun belum kukuh. Kawan-kawanku kata kau cepat berjalan dengan usia ketika ini. Mungkin kerana keinginan dan perasaan ingin mencuba yang tinggi. Kau juga mula menangkap butir kata papa dan mama biarpun ucapanmu kurang jelas tetapi sangat menarik kedengarannya.
Selama menerima suntikkan imunisasi pula, bayiku tidak pernah demam kerana suntikkan kecuali selepas suntikkan cacar dos pertama pada usia 6 bulan. Dos ke 2 akan menyusul sehari selepas hari kelahiran pertamanya bulan hadapan dan kali ini aku akan lebih bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Walaubagaimanapun sehingga kini sudah beberapa kali terkena jangkitan selsema. Alhamdullillah sembuh.
Pemakanan yang semulajadi seperti puri kentang/keledek masih aku amalkan. Adakalanya aku campurkan bersama 'nestum' beras putih, sesekali aku kisar nasi lembek bersama sedikit ikan bilis ataupun isi ayam. Untuk minuman pula selain susu kambing yang telah diproses aku akan 'sulam' bersama air mineral ataupun air zam-zam. Alhamdullillah setakat usia bayiku sehingga kini dia belum pernah mengalami kembung perut walaupun aku hanya mulai membeli bayi makan di usia selepas 6 bulan kelahirannya. Ada yang menganggap aku terlalu berhati-hati...terlalu ikut skrip doktor. Bayi kata mereka akan lapar dan memilih makanan jika lambat mengenalkannya pada makanan. Aku tidak mengecam mereka ... itu cara masing-masing tetapi apa yang aku lihat bayiku pada permulaan mungkin sukar nak makan sebab baru nak belajar tetapi kini Alhamdullillah bayi ku pemakan orangnya. Jangan takut kerana Allah telah memberikan sifat ingin mencuba yang kuat dalam diri anak-anak syurga ini. Bila kita buat sesuatu , anak akan cuba meniru...bila kita berkata-kata...anak cuba mengajuk....bila kita makan mereka melihat dan teringin tak semestinya teringin nak makan apa yang kita makan,kita boleh sediakan makanan bayi disisi kita. Bukan bermakna kita perlu beri segala yg kita makan...mungkin dah kerana perasaan belas yg tinggi terhadap erti 'kempunan' budaya masyarakat kita akan beri bayi rasa apa yang kita makan walau hakikatnya makanan tersebut tak sesuai untuk bayi. Bila bayi mula berak-berak dan sakit perut msyarakat cenderung menyalahkan hampir seratus peratus pada pemakanan si ibu yang menyumbang kepada penyusuan badan kepada si anak sedangkan 'susu badan' tersebut telah ditapis secara semulajadi dan merupakan makanan terbaik bagi bayi. Mungkin ada kebenaran terhadap cara pemakanan ibu tetapi pernahkah kita terfikir makanan yang kita beri secara langsung secubit sehari lama-lama jadi sepinggan. Biasanya aku akan sediakan makanan bayi bersama , bila aku makan makananku aku selang seli suap padanya. Makanan bayi adakalanya ku ceduk seolah-olah dari pinggan yang sama. Alhamdullillah, elok jer dia walaupun pada awal nampak keinginannya yang tinggi terhadap makananku. Mereka sedang belajar melalui pemerhatian , kitalah yang menilai,mencorak dah memberi 'lampu hijau & merahnya'. Setiap bulan aku akan dapatkan bekalan air zam-zam dalam kadar kemampuan kami untuk diamalkan sekeluarga. Setiap pagi selepas mandi kulumurkan kulit bayi dengan minyak zaiton. Selagi dalam kemampuan inginku isikan tubuh si anak dengan amalan sunnah. Insya'Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan