Khamis, 26 Disember 2013

Aduyaiiii widget follower.....'featuring' spicy carbonara

Yesss! Alhamdullillah dipertemukan kembali dengan widget follower yang hilang!  Pelbagai cara dibelek akhirnya pada hari ini 14. 4.2014 (0107 hr) berhasil juga. Aku 'membuang' widget ku dan alihkan di bawah tajuk blog ternyata berhasil, tak berani nak letak tempat lain dahhhhh :) kalau tak beginilah yang aku telah lalui sejak beberapa bulan lalu :

Opppssss!




Tidak...aku bukan menangis mahupun bersedih hati hari ini...walaupun lukisanku seolah-olah memberi gambaran sedemikian.


Pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, aku belajar untuk menjadi tenang dan redha di atas kekurangan ilmu  menyebabkan aku 'terjebak...' Sejak awal bulan lalu aku cuba mendapatkan widget follower pada blog ini namun menemui kebuntuan. 


Semalam percubaan diteruskan sehingga hari ini masih gagal biarpun sudah berbaris blog yang aku baca.


...blog sunah suka sakinah nampaknya hampir membantu...namun mungkin kerana perubahan masa (bentuk dashboard updated) ianya tidak dapat kulakukan.


Memang ada perasaan hampa dan kecewa tetapi aku percaya...insyaAllah ada jalannya...





...2304...malam ini menu makan malam ku ringkas sahaja. Mungkin kerana otak rasa agak padat dengan apa yang ku usahakan sejak semalam tatkala memburu jawapan perihal widget follower.


Walaubagaimanapun,  aku masih seronok untuk berkongsi menu masakkan ini...

Pastikan ada halal Jakim. Ini dikilangkan di Malaysia, kalau
 import faham-faham sahajalah...

Bila nampak tin nie mesti ramai yang tersenyum...MASAKKAN SEGERA...rasa macam sama sahaja tetapi jika kita olah sendiri dengan selera kita, carbonara ini macam 'hotel mari'!

Olahan ku macam biasa...ringkas dan ada ciri-ciri nusantara sikit.

Bahan-bahan:

Mi spegetti/makaroni yang telah direbus lembut.

1 tin carbonara (tin biru)
Seketul isi dada ayam diotong kecil
8 biji Cili api 'burung' dibuang biji dan potong halus




1 sudu kecil serbuk mix herbs (mc cormik @ tesco)
Bawang sederhana besar dipotong dadu
Sehelai daun bay jika mahu
Minyak zaitun 3 sudu besar
Air secawan
Garam secukup rasa

Cara-cara


Tumis isi ayam, cili, bawang, sehelai daun bay dan 'mix herbs'.
Masukkan krim carbonara bersama air dan. Masak sehingga mendidih dan perisakan dengan garam.


Setelah mendidih, bolehlah dituang terus kedalam pinggan bersama mi spegetti yang diingini.

Enak dimakan ketika panas...


Sekiranya ingin menghidangkan kuah berasingan kerana menanti tetamu atau yang tersayang, bolehlah masukkan kuah carbonara dalam termos comel nie (bagi mengekalkan kepanasan) manakala mi spegetti digaul bersama sesudu minyak zaitun bagi mengelakkan mi spegetti tadi melekat selain baik untuk kesihatan.


*boleh juga ditambah serbuk lada hitam jika mahu.



15.08.2014...untuk kelainan hidangan boleh juga tumis ringan mi speggetti terlebih dahulu:

Bahan-bahan:
Bawang putih dicincang kecil
Bebola ayam 
Lada hitam secukup rasa
Oregano atau mix herb sesudu kecil
Garam secukupnya
Setengah biji capsicum dipotong dadu
Minyak zaitun

Cara-cara: tumis semua bahan hingga gareng. Tutup api dan masukkan mi speggetti dan gaul rata. Siap! 





Khamis, 12 Disember 2013

Ubahsuai rumah: pecah dinding, pintu melopong 'featuring' resepi kentang mandi tuna bersama sayur tabur & masakkan dari 2 hati: kacang panjang masak kontang bersama sos tiram & ayam lebok lemak kerisik.


(20 . 12 . 2013)
Sebelum saya cerita perihal ubahsuai rumah, Saya nak kongsikan 'winning resepi' yang menjadi permintaan ketika pertandingan masakkan sihat yang telah dipertandingkan di Majlis perbandaran Klang. Saya tidak sempat memenuhi permintaan beberapa insan yang menghargai makanan ini jadi saya titipkan dalam blog sebagai perkongsian bersama.Saya olah sendiri resepi ini inspirasi daripada 'baked patatoes'. Makanan ini agak ringkas dan menyelerakan bagi peminat ikan tuna.


Kentang USA direbus empuk, tos dan potong memanjang @ dadu.(kentang biasapun boleh)

Bahan tumis: 

Minyak zaitun secukupnya untuk menumis

2 tin isi tuna (ketulan tuna dlm olive oil@in water)/toskan.
7 biji cili api(jika nak pedas)@ 1/2 biji capsicum @cili besar tempatan dibuang biji & potong halus/ikut citarasa.
Setengah sudu kecil serbuk lada hitam
Perisakan dengan 'dry mix herb/italian herbs'(gambar boleh didapati pada resepi spegetti yang lalu)
Segenggam daun sup@ketumbar dipotong kasar
3-4 biji bawang putih ditumbuk halus.

Sayur tabur:
Kobis beijing dipotong halus, tomato ceri dibelah dua, kismis & sebiji timun jepun dipotong bulat/halus. 

*bahan sayur tabur dicampurkan & digaul dengan sesudu minyak zaitun.

Cara-cara:


Renjis kentang dengan minyak zaitun dan perisakan bersama mix herbs@italian herbs (gambar mix herbs boleh rujuk pada resepi speggetti) Susun kentang yang telah dipotong. 

Cara lain:
Setelah rebus kentang & tos, boleh juga ditumis butter dan bawang putih yang ditumbuk . Tumis kentang sebelum memotongnya. Cara ini akan menjadikan kentang lebih wangi. :)


*Garengkan sebahagian tuna


Bahan tumisan ditumis separuh gareng. Taburkan bahan yang telah ditumis keatas kentang. Akhir sekali taburkan 'sayur tabur' tadi.





*menu ini juga sesuai disediakan ketika jamuan BBQ.



brokoli 
Kentang 'mandi' tuna

Coslow kobis+tomato ceri+kismis+lobak merah

Cadangan hidangan: 
'tapau' tanpa salad. Enak dimakan bersama coslow yang disediakan  berasingan.(Resepi coslow pada lebal).



* isi tuna boleh juga digantikan dengan ayam @ serunding mengikut citarasa sendiri :).

*untuk lebih 'kick' perisakan dengan sos thousand island dan sos coslow!

Selamat mencuba!!





Ubahsuai  rumah : kisah dinding melopong





Setelah hampir 6 tahun menduduki kediaman yang dibina atas tapak yang dipusakai dari arwah abah, baru tahun ini kami dapat menambahbaikkan keadaan di rumah.



Maklumlah, setelah menduduki beberapa tahun barulah dapat mengenal pasti beberapa kelemahan dan keperluan. Bumbung pula ada yang bocor manakala simen luar mulai pecah-pecah kerana tekanan kenderaan disebabkan menjadi tempat letak kereta. Banyak belanja yang telah dikeluarkan untuk membina rumah sebelum ini walaupun agak sederhana kami sangat bersyukur kerana tidak perlu menyewa dan lokasi kediaman pula tidak terlalu jauh dari tempat kerja. Mujur juga kami mengenali 'tukang buat rumah' tempatan yang agak komited dan berhati mulia. Sempat kami titipkan doa buat mereka semoga rezeki berterusan dan dikurniakan hidup gembira dan kesihatan yang baik. Bimbang juga bila mendengar kisah-kisah dari kawan-kawan tentang masalah ketika mengubahsuai rumah. Ada 'tukang' lari....kontraktor 'cekik darah'...buat lebih kurang dan macam-macam lagilah.
Tujuan aku menulis perihal ubahsuai rumah bukanlah tujuan untuk bersikap riak terhadap apa yang dikurniakanNya. Tetapi kerana ingin berkongsi pengalaman sepanjang proses pengubahsuaian dijalankan. Mungkin serba sedikit ia akan menjadi pengajaran mahupun petua berguna di kemudiaan hari.
Selain mendirikan pagar kerana penutup tiub kereta ku sering di'curi' kami sempat memecahkan dinding tepi untuk memasang pintu gelungsur (sliding door)
bagi ruangan santai kami. Proses menempah pintu gelungsur ini agak remeh kerana ada sebahagian kedai yang meminta agar hanya memanggil mereka ketika pintu telah dipecah kerana mahu ukuran yang lebih tepat. Perlu ada komunikasi yang baik dengan tukang tentang masa dinding akan dipecahkan, nak set masa kadang kala agak sukar untuk masa yang serentak kerana adakalanya waktu 'tukang' 'on' kedai pula tak dapat buat. Bila masa dah set, tetapi dinding yang dipecah tak sempat di 'slap' atau simen tak kuat maka hanya bingkai pintu yang dapat dipasang kerana cermin agak berat dan kesannya akan mengakibatkan bingkai pintu 'lari'. Bila mengenangkan apa yang dilalui memang kami agak serik, mungkin di hari lain kami akan serahkan hal menempah pintu gelungsur pada 'tukang'!
3 kedai kami pergi untuk menempah pintu gelungsur, mula-mula beri harga 'sekian' bila nak buat 'sekian' naik pula harganya. Akhirnya kami ke kedai cina 'muda' yang beri harga tetap. Walaupun harganya sama dengan kedai yang sebelum ini tetapi kami puas hati sebab tak ada main 'tarik tali' tentang harga!

Pintu dah sampai tapi.....

Apa yang berlaku pada kami adalah setelah dinding dipecahkan, dengan yakinnya kami memanggil pemasang pintu gelongsur dengan harapan ia akan siap pada hari tersebut. Malangnya ketika tiba, rupa-rupanya dinding tersebut harus slap & disimen bukan sekadar 'lubang'!  Oleh kerana itu beliau hanya boleh pasang bingkai kerana sekiranya pintu disimenpun ia belum cukup kering untuk menampung beban kaca pintu gelungsur tersebut. Maka jadi RELA lah kami malam ini tidur-tidur ayam kerana dinding melopong...maka timbullah idea giler-giler masa itu kerana bimbang akan keselamatan dari ancaman penyamun mahupun binatang berbisa seperti ular....
Kami menutup dinding yang melopong dengan langsir manakala kerusi disusun sambil meletakkan periuk dengan harapan sekiranya ada penyamun yang masuk akan wujud bunyi bising.


Sempat juga aku susun cawan, kulit pisang dan kaca tingkap sebagai perangkap ala-ala filem 'home alone'. Garam pula kutabur di lantai bimbing ancaman binatang berbisa seperti ular. Bila dilihat lucu pula tetapi ia mungkin dapat membantu mencegah dari perkara yang tidak diingini. Perihal dinding melopong tersebut memang membuatkan hatiku resah.


Namun begitu kami bertawakal pada Allah semoga tiada apa-apa yang buruk berlaku.


Terasa lucu bila mengenangkan saat ini...

Untuk ruangan dapur kami melakukan sedikit tambahan para merangkap tempat makan untuk menggantikan meja makan yang terpaksa dipindahkan ke ruang tamu kerana ruang yang terhad lebih-lebih lagi dengan pemasangan pintu gelungsur kaca yang dibimbangi akan pecah akibat kerusi terjatuh dan sebagainya.Selain itu kami inginkan 'trafik' yang lebih lancar untuk ruang dapur kami yang comel ini.

Meja makan 'evergreen' berusia 6 tahun ini dipindahkan ke sudut penjuru ruang tamu untuk memberi sedikit sentuhan deko peribadi bagi mewujudkan ruang yang ideal bagi dapur yang kecil.

Kos pembinaan para dan pemasangan jubin kurang RM400.
Berukuran 1.5 kps X 4.5 kps.
Untuk ruangan ini kami cuba keluar dari keadaan sebelumnya yang lebih memilih 'warna selamat' dan cuba berfikir secara lebih kreatif dengan budget yang terhad. Untuk mengurangkan kos segala urusan mengecat semula kami lakukan sendiri.

Apabila melihat 'reka cara' yang diingini siap, aku terkenang pada cerita filem yang menarik lakonan Tom Hanks dalam The Terminal tentang bagaimana beliau melalui hari-hari di lapangan terbang sehingga telah menghasilkan deko jubin yang cantik.

Pembinaan para melekat di dinding merangkap ruang santai dapur telah mewujudkan ruang yang lebih luas dari sebelumnya.

Latarbelakang pelita yang berwarna merah sebelum ini dicat biru untuk memberi sentuhan yang lebih segar.


Batu bunga yang ku perolehi daripada peraduan di majalah  akhirnya berjaya juga dijadikan penyeri tembok pagar yang yang baru dibina.Tidak sia-sia menyimpan batu bunga tersebut sejak 3 tahun yang lalu!

Jika berminat berperaduan beleklah tulisan saya sebelum ini dalam perkongsian  tips menang peraduan di majalah'.


Selepas penambahbaikkan rumah, cuti merupakan satu keperluan. Proses mengemas dan mengatur semula memang meletihkan. Rasa macam nak cuti sebulan!
Setakat 24.12.2013 90 peratus dari penambahbaikkan dan susun atur semula telah selesai. Malam tadi pula kami membuat masakkan ringkas secara bersama-sama...masakkan ini kami namakan masakkan 2 hati :

Ringkas + enak...masakkan dari hati seorang suami...

Bahan-bahan:

Sayur kacang panjang
 2-3 ulas Bawang putih diketuk, hirisan halia, 2 biji cili api diketuk.
Bebola ayam yang telah digoreng terlebih dahulu dan dipotong 4.
Sos tiram

Cara memasak: tumiskan sayur kacang panjang hingga kecut dan angkat. Kemudian tumiskan bawang putih, hirisan halia dan cili api bersama sos tiram. Masukkan kacang panjang bersama bebola ayam dan tumis sebati seketika. Siap!

Ayam lebok lemak kerisik-ku :

Bahan-bahan

Setengah ekor ayam dipotong kecil.
Kisar serentak 2 batang serai, 4 ulas bawang putih, setengah ibu jari halia, 10-15 biji cili api.
Sekeping asam gelugor.
Potong halus, 2 helai daun limau purut
Sebiji cili besar/merah ditumbuk kasar
2 helai daun kunyit.
Santan secawan
Garam secukup rasa
3 sudu besar kerisik
Cara memasak:

Lebok/masukkan ayam dan semua bahan kisar dan masak dengan api sederhana. Setelah empuk masukkan cili, asam keping, daun limau purut, daun kunyit, cili merah, santan dan kerisik. Siap setelah mendidih!

Rasa badan yang lemau kembali bertenaga bila menikmati masakkan bersama...


Berbalik tentang kisah pengubahsuaian/penambahbaikkan rumah,

*Sebelum ubahsuai kediaman dilakukan kami akan....


-bincang pelan, keperluan dan kehendak mengikut budget.
-rangka perbelanjaan yang bakal dikeluarkan.
-rujuk kawan@orang berpengalaman tentang tempat mendapatkan bahan seperti jubin yang menjual pada harga yang berpatutan.
-rujuk majalah @bahan bacaan lain untuk pelbagai idea dan tip.
-kenalpasti  kontraktor/tukang yang ingin digunakan.
-pastikan tukang rumah amanah dan mempunyai 'track record' yang baik agar kita tidak terainaya.
-bersemuka dengan'tukang'/kontraktor untuk perbincangan yang lebih jelas.
-tetapkan masa yang sesuai untuk memulakan pengubahsuaian.
-beli terlebih dahulu jubin yang diinginkan dengan membuat pengiraan yang diperlukan untuk mengelakkan pembaziran.
-kosongkan/lapangkan kawasan yang ingin diubahsuai lebih awal agar proses dan tugas pengubahsuaian dapat djalankan dengan lancar.


Cuci mata & mengkagumi dengan ciptaanNya....

Diari alam 3

Resmi semut sering dijadikan tauladan.