Isnin, 25 November 2013

d.i.y 'projek' pagar 'feat' mihun goreng sempoi.

Si lola sempat tinggalkan 'tanda' sebelum lantai di 'tiles'.


Ruang anjung hadapan terpaksa ku kosongkan untuk memberi ruang kepada 'tukang rumah' memasang jubin pada simen yang mulai pecah. Selepas membina kediaman ini 6 tahun yang lalu kini, ia mula memerlukan perhatian. Bumbung mula mempunyai masalah kebocoran, grill perlu dicat semula, pam tandas perlu diperbaiki dan 'tangki najis' perlu 'disedut' (indah water) mujur tangki ku jenis 'kampung' /kolongkong bulat maka kos sedutan hanya RM40 oleh Indah Water. Kira oklah untuk penyelenggaraan selepas 6 tahun! Selepas ini perlu maintain 2 tahun  sekali.

Tetamu bertandang....

Kucing ini agak manja dan 'bertuan' :Sempat menerima kunjungan kucing-kucing di sekitar
Kejiranan sebelum memulakan kerja...

Pakai celak Arab ke? :)

Otai: gemuk dan bulat, tetapi tewas dengan kucingku si bulat. Namun yang
Buat aku suka dengan kehadirannya kerana ia tidak suka cari 'pasal'.


Mengosongkan ruang hadapan bermakna aku perlu kreatif untuk menempatkan pasu pasuan orkid yang pastinya akan memadatkan ruang belakangku yang hanya berkeluasan 8x28kps (termasuk ruang tangki tadi). Apa yang merisaukan aku adalah jika orkid-orkid yang sudah subur di anjung 'merajuk' apabila bertukar lokasi.

Susunan yang padat akan nampak berserabut sekiranya tidak 'diadun' tatarias taman dengan kreatif.


Separuh dari pokok bungaku yang tahan panas pula teraksa menumpang di halaman rumah abang bujangku yang hanya tinggal disebelah. Suka abang bila ku atur umpama pagar sepanjang kawasannya, dapat pokok free merangkap tukang kebun sekali (aku) :-)


Taman cilik antara kediaman aku dan abang kini tampil lebih peribadi dari pandangan awam.


Ketika keluar mendapatkan pasu besar untuk mengalih pokok aku sempat mendapatkan kayu katil yang agak bersih di jalanan. Ada insan yang membuangnya. Terkenang pulu aku di zaman sekolah rendah, aku suka bila cikgu beri tugasan mengarang bermula dengan tajuk "aku sebatang....pen/aku sehelai baju.... (dan yang seangkatan dengannya....)Bila 'abe' tengok yang kayu tersebut kelihatan baru, barulah dia izinkan aku membawanya balik. Maklum sahajalah....'sayang kereta'...


Dengan kayu katil yang kudapati ini bolehlah aku melakukan projek (D.I.Y/ do it yourself) untuk membuatkan taman kecil di belakang rumah kelihatan lebih menarik. Pening juga nak susun pasu yang banyak untuk ruang yang terhad.



Kayu katil tadi ku cat putih agar kelihatan lebih menarik atas saranan 'abe'. Bila dia tengok kerja tangan mengecatku yang serba tak kena, dia pula ambil-alih (hihihi). Bagus juga kerana sementara itu dapatlah aku membuat susunan seterusnya.

Berjaya menyusun atur semula. Terkilan pula sebab terlupa
Ambil gambar sebelum susun atur semula dibuat.


Batu-batu pemijak di anjung ku alihkan ke laman belakang. Walaupun kerja berat kutabahkan hati juga kerana sayang jika ia ditimbus 'si tukang' bila memasang jubin.


Kalau nak harapkan tukang mengalihkan batu-batu ini pasti kerja-kerja pemasangan akan tergendala dan kos pula akan meningkat....jadi D.I.Y jugalah.

Cantik tak? Comel tak? Walaupun tampil ringkas dengan menggunakan bahan-bahan
Terbuang, sekiranya ditambahbaikkan semula dengan sentuhan
Kreatif ia nampak agak menarik jugakan?

Sebelum itu saya turut menggunakan besi katil terpakai sebagai
Pagaran.

Alhamdullillah, selepas seminggu berlalu pokok-pokok yang kualihkan membesar dengan subur. Aku menggunakan baja buatan sendiri dari air sisa sayuran. Faktor kekerapan hujan bulan ini juga mungkin menjadi menyumbang kepada kesuburan pokok-pokok tersebut yang mendapat 'kesihatannya' secara semulajadi.


Walaupun baru dialihkan seminggu,
Daun baru 'babby rose' kelihatan subur.

Daun orkid yang pada mulanya mulai kekuningan kini subur
Dan menghijau!


Bila dah penat berkebun bolehlah 'pekena' mihun goreng udang yang sempoi dan ringkas nie :)


Mihun goreng sempoi...

Bahan

1. Setengah bungkus mihun yang direndam dengan air panas hingga lembut dan toskan.

2. Blender 3 ulas bawang putih+5 ulas bawang merah@sebiji bawang besar.

3. 4 sudu cili giling

4. Udang kering rm1 yang ditumbuk kasar.

5. Sawi@kobis ikut selera nak banyak mana.

6. 10 ekor udang basah dibuang kulit.

Cara-cara:

Tumis bahan 2, 3 & 4 dengan minyak secukupnya hingga naik bau. Perisakan dengan garam. Kemudian masukkan sayur dan udang sehingga lembut. Setelah itu gaul bersama mihun hingga serasi dengan api sederhana. Siapppp!

Isnin, 11 November 2013

Diari lulu & lala : Antara kasihan...keterpaksaan dan kasih sayang?


Pagi minggu yang lalu aku teruja untuk mengerjakan pokok-pokok bunga di hadapan rumahku. Segala pasu-pasuan harus kupindahkan di bahagian belakang dan sebahagiannya menumpang 'kasih' laman di rumah abang bujangku yang tinggal bersebelahan. Sebolehnya aku mahu 'menyelamatkan' seberapa mampu pokok-pokok bunga yang menjadi terapi mindaku biarpun ia agak mustahil memandangkan ruang yang terhad. Anjung hadapan rumah perlu 'kosong' bagi memberi laluan untuk 'tukang' memasang tiles yang bakal menutupi kehodohan simen yang sudah mula pecah-pecah. Memang banyak tugas hari ini menyebabkan aku mengambil cuti pada hari isnin. Mujur selasa berikutnya ada cuti am!

Tetamu...

Sebaik sahaja aku membuka daun pintu sepasang mata penuh bernanah memandang tepat ke wajahku. Badannya 'kering' dan menunjukkan segala batang tulangnya manakala telinganya dilitupi nanah-nanah keras yang merimaskan....macam seram jer...tapi ini bukan kisah seram tetapi kisah sedih yang adakalanya amat mengecewakan walau pada masa yang sama aku redha.



Aku syakki sekujur tubuh anak kucing yang tercegat dihadapan pintu utamaku ini tidak datang dengan sendirinya, lebih-lebih lagi baru semalam muncul seekor anak kucing yang terketar-ketar di belakang tayar keretaku.Hampir sahaja menjadi mangsa lenyek.Sebelum itu juga aku terdengar suara-suara manusia yang agak mencurigakan bagai terhendap-hendap meninggalkan makhluk malang itu. Ini bukan kali pertama, kedua atau ketiga anak kucing sengaja ditinggalkan di perkarangan rumahku. Walaupun aku menyanyangi makhluk ini tetapi kemampuan aku memeliharanya agak terhad bukan semata-mata kewangan tetapi banyak hati yang perlu dijaga. Kerana simpati ku ambil juga anak kucing yang tidak berdaya itu kerana harapan untuk makhluk itu hidup secara berdikari ketika ini nampak tipis. Oh dunia...dunia...aku tidak salahkan makhluk ini kerana muncul disini...tetapi menyesali sikap segelintir insan yang mudah melepaskan rasa bersalah di bahu orang lain. Sukar sangatkah untuk mereka berbuat setakat daya terhadap makhluk ini...sekurang-kurangnya kongsi sedikit rezeki biarpun duduknya nanti di kawasan semak rumah kita? Apakah mereka berasa aman dengan membisikkan kata-kata 'lebih baik letak rumah orang daripada tinggalkan di jalanan!" Mungkin itulah yang berlegar di minda insan-insan sedemikian...
Ahh, lupakan semua itu. Aku tidak mahu berbicara perihal itu walaupun terlalu banyak yang mahu ku utarakan. Aku anggap semua ini dugaan dan masih ada lagi ruang kasih sayang untuk dikongsi bersama kucing-kucing ini.

Keadaan si kecil...

Keadaan anak kucing-kucing tersebut yang kedua-duanya betina memang tidak sihat. Kedua-duanya sakit mata dan selsema. Ada hikmah rupanya cuti Isnin maka dapatlah aku membawa anak-anak ini ke klinik. Perlu dapatkan ubat cacing dan rawat selsema mereka kerana selsema kucing memang agak lambat sembuh lebih- lebih lagi dengan keadaan mereka. Aku tidak berani menggunakan petua tradisi air kelapa kerana mereka masih kecil dan lemah.

Nama@panggilan

Sebelum itu sempat juga aku bersihkan mereka sikit-sikit. Setelah mendapat keizinan hubby beliau sendiri menamakan anak-anak kucing tersebut. Aku rasa sangat lega kerana hubby yang keberatan itu sebenarnya memiliki kasih sayang yang besar di sudut hatinya.

Lala

Lulu

Keadaan lulu & lala selepas dibersihkan sebelum dibawa ke veterina.
Kedua-duanya sangat gelojoh kerana kelaparan.

Rawatan awal

Banyak juga rawatan yang diterima lulu dan lala. Suntikkan cacing, ubat selsema dan suntikkan kurap. Mujur ada vet di Kg.Raja Uda. Kalau ke swasta untuk rawatan begini memang aku tak mampu.Mungkin terpaksa rawat sendiri dan beli ubat di kedai haiwan.Syukur sangat-sangat pada Allah.


Seperti yang dijangka selepas rawatan lulu
dan lala 'pengsan'. Walaupun lala lebih tua dan besar dari lulu namun lala lebih lemah dan tidak bermaya. Mungkin kerana tahap kesihatannya yang kurang baik. Mereka tidak boleh ku mandikan bagi tempoh 2 minggu ini atas nasihat doktor vet kerana menerima suntikkan.

Lala : 28.12.14

Lala


Setelah beberapa bulan selsema lulu tidak berubah, akan tetapi kurap pada lulu dan lala telah hilang. Hanya pada sekitar awal Disember 2014 lala berjaya divaksin manakala hasrat memvaksinkan lulu terpaksa ditangguhkan kerana kesihatannya yang tidak stabil. Namun begitu mereka kelihatan sihat dan gembira.